Oleh pada 06 Jul 2018 kategori

Kami mendapat satu pertanyaan daripada salah seorang jutaan pembaca Iluminasi setiap hari. Beliau bertanya - "kenapa negara-negara atau kerajaan berebut hendak menganjurkan pertandingan Piala Dunia?"

Menarik persoalan itu. Kita rakyat Malaysia juga kerap meletakkan kejayaan penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Sukan SEA sebagai satu kejayaan besar. Nostalgia penganjuran Sukan Komanwel 1998 tetap menjadi salah satu kenangan indah yang diceritakan generasi terdahulu pada anak-anak muda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di sebalik semua perkara positif yang disebutkan, timbul persoalan mengapa negara-negara di dunia mahu menjadi tuan rumah temasya sukan? Untuk menjawab soalan itu, kami fokuskan kepada acara Piala Dunia yang dianjurkan setiap empat tahun sekali.

Piala Dunia sebagai pemangkin ekonomi negara?

rombongan england beckham prince william tewas

Ramai antara kita mempunyai satu salah anggap besar tentang penganjuran Piala Dunia. Kita mengandaikan dengan menganjurkan Piala Dunia, kegiatan ekonomi di dalam negara tersebut akan menjadi rancak serta membantu meningkatkan pendapatan negara.

Tidak. Tanggapan ini tidak benar.

Majoriti negara yang menganjurkan Piala Dunia sebenarnya mengalami kerugian dalam jumlah yang amat besar, bukan sahaja dalam proses penganjuran semata-mata.

Proses bidaan bagi mendapatkan hak penganjuran juga memerlukan kos yang sangat tinggi, dengan trend zaman sekarang memerlukan negara yang mahu membida hak penganjuran melobi serta mengadakan kempen, bagi membuktikan kelayakan mereka sebagai bakal tuan rumah.

Dengan menggunakan contoh bidaan England bagi kempen Piala Dunia 2018, duit cukai orang ramai digunakan dalam usaha memastikan England dapat menjadi tuan rumah. Peruntukan dana sebanyak RM112 juta digunakan dalam proses bidaan yang hanya memberikan England menang 2 undian daripada 22 jumlah keseluruhannya.

Kerajaan Australia turut sama menghadapi nasib serupa selepas gagal dalam bidaan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, tewas kepada Qatar. Mereka membelanjakan lebih RM150 juta dana awam namun hanya mengutip satu undian.

Itu baru proses bidaan. Kita belum masuk ke bahagian penganjuran di mana semua negara tuan rumah mengalami kerugian berkali-kali ganda lebih besar.

Piala Dunia adalah pelaburan merugikan

penonton menyaksikan perlawanan piala dunia tepi jalan

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh ahli ekonomi Dennis Coates berkaitan kesan penganjuran Piala Dunia 1994 ke atas ekonomi Amerika Syarikat, beliau mendapati secara keseluruhannya kerajaan US mengalami kerugian sebanyak $9.6 billion sepanjang temasya itu.

Kerajaan Jerman hanya betul-betul balik modal selepas penganjuran Piala Dunia 2006 dan penganjuran Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, turut menerima nasib serupa dengan Piala Dunia 1994.

Walaupun menerima kemasukan hampir 300,000 orang pengunjung di Afrika Selatan, kerajaan Afrika Selatan telah pun membelanjakan $3.9 billion hanya untuk membangunkan atau menambah baik fasiliti yang akan digunakan. Itu hanyalah anggaran kasar.

Sekiranya kemasukan pelancong dianggap mampu menjana ekonomi, setiap seorang daripada mereka wajib membelanjakan lebih $13,000 sepanjang mereka berada di sana namun situasi ini sah-sahlah tidak mungkin berlaku.

Apa yang membimbangkan, kebanyakan negara yang memenangi hak penganjuran telah pun mengeluarkan belanja pembangunan fasiliti yang kebanyakannya diabaikan selepas tamat acara. Perkara ini berlaku di Afrika Selatan serta banyak negara lain, dengan kemudahan yang dibangunkan menjadi projek gajah putih.

Pemenang sebenar perniagaan Piala Dunia

pengajuran piala dunia 1994 amerika syarikat

Realitinya, menurut Dennis Coates - pemenang sebenar yang mengaut keuntungan berkali-kali ganda penganjuran Piala Dunia adalah FIFA. Ini dibuktikan dengan kes penganjuran Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, apabila FIFA menghulurkan dana hanya sebanyak $482 juta kepada kerajaan Afrika Selatan untuk menjadi tuan rumah.

Pada penghujung temasya itu selepas semuanya reda, FIFA melaporkan keuntungan bersih $1.9 billion telah mereka capai, majoritinya daripada dana penaja-penaja.

Selain itu, kajian Coates berkenaan proses bidaan Piala Dunia 2018/2022 mendapati dengan kukuh Piala Dunia tidak akan membawa sebarang keuntungan ekonomi kepada negara penganjur, kecuali bagi mereka yang mempunyai kepentingan dalam acara sukan bola sepak.

Majoriti pihak yang menyertai proses bidaan penganjuran adalah badan-badan yang mempunyai potensi untuk menjana keuntungan sekiranya negara mereka terpilih menjadi tuan rumah.

Kita harus menerima secara fakta, dari segi ekonomi tidak wujud sebarang keuntungan dapat dijana daripada pembidaan dan penganjuran temasya Piala Dunia pada negara-negara penganjur.

Jadi, mengapa banyak negara berebut menganjurkannya?

Faktor utama penganjuran jadi rebutan

vladimir putin gembira dengan penganjuran piala dunia

Sebab utama sesebuah negara sanggup menghabiskan dana bagi mendapatkan hak penganjuran perlu dilihat daripada sudut emosi dan psikologi, bukan lagi daripada sudut ekonomi - walau apa pun alasan ahli politik gunakan untuk memberikan justifikasi mendapatkan hak penganjuran.

Hujah paling kerap digunakan dalam memenangi penganjuran Piala Dunia adalah disebabkan kesan positif yang wujud ekoran menjadi tuan rumah, kepada masyarakat negara itu. Perkara itu tidak boleh diukur dengan wang ringgit.

Qatar mengatakan penganjuran Piala Dunia akan memberikan dimensi baru kepada negara mereka; bakal menjadi negara Arab pertama menganjurkan Piala Dunia, lebih awal berbanding Arab Saudi. Temasya itu akan meletakkan Qatar dibibir masyarakat seluruh dunia, yang selama ini dibayangi negara-negara Arab lain walaupun hanya untuk tempoh sebulan.

mengapa negara berebut menganjurkan piala dunia

Kajian-kajian juga membuktikan penganjuran acara besar mampu meningkatkan tahap kegembiraan penduduk negara tersebut, tanpa mengambil kira prestasi pasukan negara mereka sendiri.

Penyelidikan menggunakan maklumat daripada 1974 sehingga 2004 mendapati semua negara yang menjadi penganjur, melaporkan tahap positif masyarakat meningkat pada tahun penganjuran Piala Dunia di negara mereka.

Bagi penganjuran di Afrika Selatan, majoriti masyarakat di sana percaya penganjuran Piala Dunia 2010 membolehkan dunia dapat menyaksikan sendiri bukti Afrika Selatan adalah negara yang selamat, jauh berbeza dengan apa yang digambarkan dalam media. Pada mereka, pengorbanan wang ringgit untuk membantu meningkatkan imej negara adalah sesuatu yang berbaloi.

Apa yang dapat disimpulkan di sini - banyak negara mahu menganjurkan Piala Dunia kerana dalam tempoh sebulan itu masyarakat dunia dapat belajar tentang negara penganjur, seterusnya menyebarkan kesan positif pada penduduk setempat, biarpun hanya sementara.

kelebihan negara jadi penganjur world cup

Atas sebab itulah kerajaan-kerajaan dunia berusaha menganjurkan bukan sahaja Piala Dunia, bahkan acara-acara lain seperti Olimpik, Sukan Asia, Sukan SEA atau apa saja bentuk pengajuran sukan bertaraf antarabangsa yang melibatkan penyertaan negara-negara luar.

Apa yang penting, usaha menjadi tuan rumah haruslah dilakukan dengan perancangan jangka panjang bagi mengelakkan fasiliti yang telah dibangunkan terabai, agar dapat terus memberi manfaat pada masyarakat setempat.

Cuma satu sajalah - jangan ditanya ke mana hilangnya jumlah keuntungan penganjurannya. Yang itu kita kena tanya pada FIFA.

Rujukan

Why on earth do countries want to host the FIFA World Cup?




Hakcipta iluminasi.com (2017)