kenapa kita rasa gatal

Sedang anda duduk khusyuk menghadap kerja, tak semena-mena datang sensasi gatal di bahagian belakang tubuh anda.

Anda cuba garu, tapi tangan anda tak mampu mencecahnya. Nasib baiklah anda ada pembaris panjang yang anda gunakan untuk menggaru bahagian yang masih meminta-minta untuk ditenyeh-tenyeh.

Ah leganya rasa. Anda teruskan kembali kerja anda. Tak pernahkah anda terfikir, kenapa anda rasa gatal?

Sensasi gatal dari segi sains

garu badan akibat gatal

Tahu tak apa nama sensasi kegatalan atau itch yang ada rasai, apa istilahnya dalam bidang saintifik?

Dari segi bahasa saintifiknya, kegatalan digelarkan sebagai 'pruritus' merujuk kepada rasa kurang selesa yang akan timbul pada mana-mana bahagian tubuh anda yang membuatkan anda rasa wujudnya keperluan untuk menggaru.

'Pruritus' ini boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diundang dan sehingga kini masih menimbulkan banyak tanda tanya pada penyelidikan saintifik.

Sehinggakan satu ketika dahulu, para penyelidik beranggapan rasa gatal yang hadir sebenarnya adalah satu bentuk sensasi yang sebenarnya sama dengan kesakitan - cuma hadir dalam bentuk lebih ringan.

Namun kajian yang menjalankan mendapati sensasi gatal yang berlaku sebenarnya tidak berkongsi reseptor pada kulit yang serupa dengan reseptor kesakitan pada kulit.

Dalam erti kata lain, kegatalan mempunyai 'sistem lebuhraya' nya sendiri yang menghubungkan kulit kita yang dihubungkan dengan sistem saraf melalui tulang belakang dan otak untuk memberikan kita isyarat-isyarat kegatalan.

Kenapa kita rasa gatal tanpa sebab?

tabiat menggaru akibat gatal

Setiap rasa gatal yang anda rasai sebenarnya merupakan satu proses semulajadi tubuh anda, yang berlaku apabila wujudnya perubahan kepada kulit anda.

Kebiasaannya punca kita rasa gatal tanpa sebab adalah disebabkan oleh wujudnya situasi radang kulit, masalah kulit kering atau kulit sedang mengalami kerosakan.

Apabila timbul sebab-sebab tersebut, tubuh kita akan mengaktifkan sel-sel saraf khas yang tugasnya hanya untuk menghantarkan sensasi gatal pada tompok-tompok yang terjejas ini menyebabkan kita rasa hendak sangat menggarunya.

Tindak balas kita untuk menggarunya pula sebenarnya menyebabkan kita mengaktifkan reseptor-reseptor yang mengesan rasa sakit, menyebabkan gangguan kepada saraf yang mengawal kegatalan.

Rasa sakit itu seterusnya 'memberhentikan' rasa gatal, memberikan kita kelegaan yang sangat enak untuk dirasai. Tetapi kita semua tahu, kelegaan itu sebenarnya hanya bersifat sementara bukan?

Tidak lama selepas kita rasa lega, rasa gatal itu akan wujud di tompok-tompok lain pula di kulit kita, menyebabkan kita kembali menggaru dan memulakan apa yang dinamakan sebagai 'pusingan garu-gatal' (itch-scratch cycle) yang sehingga kini masih membingungkan penyelidik.

Ini kerana kita masih belum memahami bagaimana tubuh kita menentukan ke mana destinasi sensasi gatal itu akan berpindah dan apa yang menentukan turutannya.

Tugas sensasi gatal pada badan kita

kulit kesan kehadiran nyamuk

Seperti yang disebutkan di atas, rasa gatal yang hadir berlaku disebabkan oleh faktor seperti kekeringan kulit yang berlaku akibat faktor dalaman.

Namun dalam masa yang sama, kegatalan juga boleh hadir akibat daripada rangsangan dari luar, seperti kehadiran serangga nyamuk atau semut.

Sensasi gatal akibatkan kewujudan bendasing pada kulit menimbulkan rasa gatal pada lokasi di mana wujudnya faktor-faktor luaran, untuk membolehkan kita menghindarkannya bagi melindungi diri kita.

Apa yang menakjubkan, dalam masa yang sama kulit kita seakan-akan tahu untuk membezakan apa yang 'selamat' dan apa yang 'tidak selamat.'

Kita tidak merasa gatal akibat sensasi sentuhan kulit kita dengan pakaian tetapi seandainya ada lipas dalam seluar kita - tubuh kita mampu membezakan kedua-duanya secara serentak.

Tak dapat penulis nak bayangkan seandainya semua rangsangan pada kulit turut membawa kepada kegatalan. Pasti sukar hidup kita nak kena menggaru setiap masa.

Merbahayakah kegatalan?

garu kulit badan tercalar

Secara logiknya, kegatalan tidak akan membawa masalah besar pada majoriti orang - melainkan dia seorang penggaru yang ekstrim, suka sangat menggaru sehinggakan menyebabkan jangkitan pada kulit.

Namun wujud beberapa jenis abnormaliti yang disebabkan rasa gatal berlaku pada sesetengah individu kurang bernasib baik.

Antaranya adalah 'brachioradial pruritus' di mana seseorang kerap mengalami rasa kegatalan yang amat sangat pada bahagian lengan, di bahagian otot brachioradialis. Kebiasaannya penyakit ini berlaku pada golongan wanita yang aktif serta sering terdedah kepada cahaya matahari.

Lebih teruk, rasa gatal yang sentiasa berlaku itu menjadi simptom awal berlakunya masalah tulang belakang pada individu tersebut.

Selain itu ada sesetengah individu yang mengalami kondisi yang dinamakan sebagai 'aquagenic pruritus', di mana kulitnya akan mengalami kegatalan tahap teruk hanya disebabkan kulit tersentuh dengan air yang boleh berlaku selama beberapa jam.

Sindrom ini akan hilang sendiri. Dalam kes-kes lebih ekstrim, kegatalan membawa kepada risiko sangat besar.

Seorang wanita yang dijangkiti AIDS menghadapi masalah kayap pada bahagian kulit kepalanya. Disebabkan oleh rasa gatal yang amat sangat, setiap masa tangannya akan menggaru dan menggaru dan menggaru.

Termasuklah ketika dia tidur. Sehinggalah pada satu hari apabila dia bangun tidur, dia mendapati ada lendir berwarna kehijau-hijauan mengalir di mukanya.

Wanita itu terus ke klinik, menemui doktor yang merawat penyakitnya. Melihat kondisi itu, pihak perubatan mengesahkan wanita tersebut telah menggaru terlalu kuat sehinggakan kukunya telah menggaru habis tempurung kepalanya di bahagian hadapan sehingga ke otak.

Kulit wanita tersebut telah gagal membezakan sensasi sakit dan sensasi gatal, mengakibatkan tubuhnya tidak merasai sakit yang merupakan 'penamat' kepada aktiviti menggaru, sebaliknya terus menghantar isyarat rasa gatal kepada otak wanita tersebut tanpa henti.

Rujukan

Intractable postherpetic itch and cutaneous deafferentation after facial shingles



Hakcipta iluminasi.com (2017)