Di Malaysia, kita mempunyai pelbagai gua yang menarik untuk diterokai dan dibuka kepada orang ramai. Antara gua yang boleh dimasuki adalah Gua Tempurung (Perak), Gua Kela (Perlis), Gua Nasib Bagus (Taman Negara Mulu), Gua Niah (Miri) dan banyak lagi.

Sesetengah gua ini boleh dimasuki secara percuma dan ada yang mengenakan bayaran masuk. Bagi peminat dan peneroka gua, setiap gua menjanjikan keunikan dan cabaran yang tersendiri. Malah, struktur dalamannya juga berbeza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi sedikit fakta menarik mengenai Gua Krubera yang terletak Abkhazia, Georgia. Kawasan ini kini berada di bawah pengaruh dan penguasaan Russia. Bagi yang tidak tahu, Gua Krubera atau Gua Voronya merupakan gua paling dalam dunia yang pernah dijejaki manusia.

Lebih dalam daripada ketinggian Gunung Tahan

laluan masuk gua krubera

Daripada ekspedisi-ekspedisi penerokaan yang dilakukan, kedalaman gua ini dikatakan mencecah 2197 meter, menjadikannya satu-satunya gua yang mencapai kedalaman melebihi 2000 meter. Sebagai perbandingan, Gunung Tahan yang merupakan Gunung Tertinggi di Semenanjung Malaysia mempunyai ketinggian 2187 meter.

Sementara itu, nama gua ini pula diambil sempena nama seorang ahli Geografi Russia yang bernama Alexander Kruber. Sebagai alternatif, gua ini juga dikenali sebagai Crows Cave. Perkataan "crows" merupakan perkataan daripada bahasa Inggeris yang bermaksud burung gagak dan nama ini diberikan kerana ahli speleologis pada tahun 1980-an yang menemui kelibat burung gagak di ruang masuk gua ini.

Usaha mengukur kedalaman Gua Krubera

gua krubera georgia 228

Usaha mengukur dan menjejaki kawasan terdalam gua ini bukanlah tugas yang mudah kerana faktor laluan dan sistem gua ini yang kompleks. Antara tahun 1910 hingga 1960, kebanyakan ahli geologi yang mengkaji kawasan pergunungan dimana gua ini terletak tidak memberikan banyak fokus terhadap gua ini.

Pada tahun 1960-an, ahli pengkaji berjaya meneroka dan mengukur kedalaman gua ini sehingga kedalaman 310 meter. Pada tahun 1980-an, explorasi gua ini dilakukan dengan lebih agresif dimana misi ini diketuai oleh Alexander Klimchuk. Menjelang tahun 1987, bahagian gua ini telah diterokai dan diukur sehingga kedalaman 340 meter.

Usaha ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Menjelang tahun 2010, gua ini berjaya diterokai dan diukur sehingga kedalaman 1710 meter.  Pada tahun 2012 satu pasukan penyelam gua telah membina kem sementara di dalam gua ini dan rekod baru 2,197 meter telah berjaya diukur. Misi ini diketuai oleh Gennadiy Samokhin.

Gua Krubera merupakan sistem gua yang kompleks dan dalam dimana sebahagian besar laluannya adalah menegak. Laluannya juga tidak sekata ada yang luas dan ada yang begitu sempit dan sukar dilalui oleh manusia. Sesetengah laluan dalam gua ini juga terpaksa diperbesarkan bagi memastikannya boleh dilalui oleh manusia dengan selamat.

Bagi membolehkan gua ini diterokai dengan selamat, selain alat kelengkapan diri, peneroka juga perlu membawa masuk peralatan menyelam skuba memandangkan sesetengah bahagian gua ini mempunyai risiko untuk banjir sekiranya berlaku hujan lebat.

Lokasi kegemaran peneroka gua dari seluruh dunia

gua krubera

Diiktiraf sebagai gua paling dalam di dunia, gua ini semestinya menjadi tumpuan bagi peneroka gua dari seluruh dunia. Pada kedalaman 200 meter daripada laluan masuk, laluan ini akan berpecah kepada dua laluan iaitu laluan utama dan laluan Non-Kuybyshevskaya.

Laluan utama ini akan membawa peneroka ke bahagian paling dalam gua ini iaitu sehingga kedalaman 2,197 meter. Sementara itu, laluan Non-Kuybyshevskaya pula akan membawa peneroka sehingga ke kedalaman 1293 meter yang diterokai pada tahun 2008.

Laluan masuk ke gua ini terletak di kawasan pergunungan pada ketinggian 2,256 meter. Apabila ditolak kedalaman gua ini iaitu 2,197 meter, bahagian paling dalam gua ini sebenarnya masih lagi berada pada bahagian atas lapisan bumi.

Gua Krubera mungkin gua terdalam di dunia pada masa hadapan

gua veryovkina 969

Tidak seperti kawasan pergunungan dimana ketinggian sesebuah gunung boleh diukur menggunakan satelit dan pelbagai teknologi terkini. Sebaliknya, ahli geologi dan speleologis percaya mungkin terdapat ratusan atau ribuan lagi gua yang belum ditemui dan diterokai sepenuhnya. Oleh itu terdapat kemungkinan wujudnya gua yang lebih dalam daripada Gua Krubera.

Mengikut sumber National Geographic, Gua Veryovkina yang terletak di kawasan pergunungan yang sama dengan Gua Krubera mungkin diisytiharkan sebagai gua paling dalam yang terbaru. Kajian dan penerokaan yang dilakukan pada Mac 2018 menunjukkan gua ini memiliki kedalaman 2,212 meter.

Sebagai perbandingan, kedalaman Gua Krubera adalah 2,197 meter. Walau bagaimanapun, kajian masih dilakukan untuk mengesahkan ukuran ini. Selain itu, terdapat beberapa lagi bahagian takungan air (dikenali sebagai sump) dalam gua ini untuk diterokai yang mungkin membawa penemuan ke bahagian gua yang lebih dalam.

Kredit:

  1. Gizmodo
  2. Wikipedia
  3. Wondermodo
  4. National Geographic



Hakcipta iluminasi.com (2017)