perkampungan malana

Jauh di tengah-tengah kawasan pergunungan Himalaya India, terdapat sebuah kawasan perkampungan yang dikenali sebagai Malana, sebuah kampung yang berkembang pesat yang menjana pendapatannya dengan menjual produk berasaskan ganja.

Dengan ketinggian 9939 kaki dari permukaan laut, ia hampir terpisah dari dunia luar tetapi pelancong masih dapat menjejakkan kaki ke sini dengan berjalan kaki 3 - 4 jam. Tiada jalan untuk kenderaan dan satu-satunya cara untuk ke sini adalah dengan berjalan kaki.

Malana adalah sebuah kampung kuno yang terkenal dalam sejarah, tetapi boleh dikatakan dengan alasan yang "pelik". Terletak di negeri Himachal Pradesh dan di sebelah timur laut Lembah Kullu, penduduk kampung disini bergantung pada penghasilan produk berasaskan ganja untuk meneruskan hidup dan bukannya untuk tujuan "rekreasi".

perkampungan ganja

Ekonomi Malana secara tradisionalnya didasarkan pada pembuatan bakul, tali dan sandal secara tradisional. Sementara itu, produk berasaskan ganja pula telah diusahakan selama berabad-abad. Bermula pada tahun 1980-an, Malana menjadi destinasi pelancongan untuk pelancongan disebabkan kewujudan dadah rekreasi ini.

Kampung ini juga menghasilkan jagung dan kentang. Projek empangan dikenali Empangan Stesyen Janakuasa Malana telah memudahkan akses Malana lebih dekat dengan dunia luar. Pembinaan jalan baru telah memendekkan masa berjalan dari beberapa hari menjadi hanya 4 jam.

Malana dikelilingi oleh tebing curam dan gunung yang diliputi salji. Pelancong telah lama tertarik ke kampung ini yang memiliki penduduk berjumlah hampir 1,700 penduduk, tinggal berhari-hari di tengah-tengah angin yang sejuk dan deretan pohon ganja, sesuatu yang dilihat oleh penduduk kampung sebagai herba tetapi dilihat  orang luar sebagai cara untuk berekreasi.

Cuaca yang sesuai untuk tanaman ganja

malana1

Walaupun secara undang-undang tempatan ianya haram dijual, di Malana ianya dijual secara terbuka oleh penduduk kampung. Malah, sekiranya ke sini anda juga boleh menyaksikan kanak-kanak akan memujuk anda untuk membelinya dari mereka.

Berada di satu lokasi beraltititud tinggi, kampung ini mempunyai suhu dan cuaca yang optimum untuk penanaman ganja. Boleh dikatakan kebanyakan penduduk kampung mahir "mengekstrak" tanaman ini untuk menghasilkan produk berasaskan ganja. Kebanyakannya dijual kepada pelancong dan golongan kaya di bandar-bandar besar seluruh India.

Sudah tentu pihak polis cuba untuk menghalang penjualan produk berasaskan ganja yang diharamkan di India ini. Namun, disebabkan tumbuhan ini tumbuh secara semulajadi di kawsan perkampungan ini dan lokasinya yang sukar diakses, mereka jarang dapat mensabitkan sesiapa atas kesalahan mengedar ganja.

Penduduk kampung mengatakan bahawa pihak polis pernah datang dan memusnahkan pokok-pokok ganja yang ada di sana sebanyak dua kali. Namun, usaha tersebut ternyata sia-sia memandangkan tumbuhan tersebut hidup meliar di kawasan tersebut, maka usaha untuk mengekang penanamannya adalah hampir mustahil.

Produk ganja terbaik dunia

krim malana 35

Bagi yang tidak tahu, Malana terkenal dengan produk berasaskan ganja yang dikenali sebagai krim Malana. Walaupun diharamkan penjualannya oleh kerajaan India, krim Malana yang dihasillkan disini sangat terkenal di seluruh dunia kerana kualitinya.

Resin ganja disini terkenal kerana teknik menggosok tangan yang digunakan untuk menghasilkannya dan kerana kesan memabukkan yang luar biasa. Setelah menuai cannabis indica, petani akan menghabiskan berjam-jam dengan perlahan-lahan menggosok resin dari bunga tanaman untuk membuat "charas", sejenis hash yang dianggap sebagai yang terbaik di dunia.

Harganya boleh mencecah sehingga 20 dolar per gram di Barat. Ganja adalah haram di India, tetapi banyak penduduk kampung telah beralih ke pembuatan "charas" kerana keperluan kewangan. Charas menjadi semakin berharga setiap tahun, tetapi para petani di sini masih menjalani kehidupan yang serba sederhana.

Sebilangan besar ladang hanya mempunyai keluasan yang kecil dan 50 tanaman ganja hanya boleh menghasilkan 10 gram charas.

Mitos, budaya dan gaya hidup

Hidup jauh daripada penempatan manusia sejak dahulu, Malana mempunyai budaya dan gaya hidup yang sangat unik. Penduduk Malana bertutur dalam bahasa Kanashi / Raksh (kononnya dialek syaitan yang tinggal di sana)  yang hanya difahami oleh penduduk kampung.

Kanashi, bahasa Malana, tidak menyerupai mana-mana dialek yang dituturkan di sekitarnya tetapi dipercayai merupakan campuran bahasa Sanskrit dan beberapa dialek Tibet.

Walaupun pelancongan kini menjadi sumber pendapatan utama Malana, baru-baru ini larangan telah dibuat untuk mengelakkan para pelancong bermalam di kampung tersebut. Tindakan ini telah dilakukan untuk melindungi penduduk kampung dari pengaruh dunia luar yang merosakkan.

Akibat pengharaman ini, hotel dan rumah tumpangan yang dibina oleh orang luar di Malana telah ditutup. Pelancong boleh berkunjung pada waktu siang dan berangkat pulang sebelum gelap atau mereka boleh menginap di beberapa rumah yang dimiliki oleh penduduk tempatan.

Penduduk Malana sangat tegas mengenai peraturan untuk tidak menyentuh atau bersentuhan dengan orang luar. Sekiranya hampir tersentuh, mereka akan segera menjauhkan diri atau mengarahkan anda untuk menjauhkan diri. Bukan hanya orang, tetapi termasuklah barang-barang mereka, dinding tempat mereka tinggal, semuanya berada di bawah zon tanpa sentuhan untuk para pengunjung.

Selain itu, mereka turut tidak membenarkan orang luar untuk mengunjungi kuil-kuil yang ada di kampung itu yang dianggap terlalu suci dan tidak mahu dicemari orang luar.

Kredit:

  1. National Goograpics
  2. BBC
  3. Native Planet


Hakcipta iluminasi.com (2017)