Pedro Martin Ureta adalah seorang peladang pada tahun 1970-an dan dia memiliki kawasan padang rumput yang luas (dikenali sebagai Pampas) di timur Buenos Aires, Argentina.
Ureta adalah seorang peminat seni yang gemar mengembara. Apabila dia pulang daripada Eropah pada tahun 1960, dia telah jatuh cinta dengan seorang wanita bernama Graciela Yraizoz yang berumur 17 tahun ketika itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Mereka akhirnya memutuskan untuk berkahwin, walaupun ramai yang tidak menyangka seorang wanita cantik seperti Graciela akan menerima Ureta yang berumur 28 tahun ketika itu dan dilihat tidak secocok. Suatu hari, Ureta bersama isterinya Graciela telah menaiki pesawat dan terbang di daerah berdekatan.
Graciela Yraizoz
Ketika itu isterinya melihat dari atas udara, terdapat sebuah ladang yang direka seumpama sebuah baldi susu lembu. Kagum dengan idea itu, Graciela telah mencadangkan kepada suaminya agar mereka juga melakukan sesuatu seumpama itu agar dapat dilihat dari atas udara.
Secara terperincinya, Graciela telah meminta suaminya sama ada mereka boleh menanam hutan berbentuk gitar di ladang milik mereka. Mendengar cadangan isterinya itu, Ureta hanya ketawa kerana menyangka ia adalah satu jenaka.
Walau bagaimanapun, Ureta bersetuju dengan cadangan itu tetapi tuntutan kerja dan kesibukan membesarkan anak-anak menyebabkan pasangan itu sukar merealisasikan impian mereka dan tidak mempunyai peluang menjadikannya satu kenyataan.
Malangnya, Graciela telah meninggal dunia pada tahun 1977 ketika berusia 25 tahun akibat aneurisma otak. Ketika itu juga Graciela sedang mengandungkan anak kelima mereka. Hati Ureta menjadi hancur remuk. Dia menyesal kerana tidak dapat memenuhi permintaan isterinya dan telah memutuskan untuk menunaikan hajat isterinya itu.
Dia telah mereka bentuk sebuah ladang yang menyerupai sebuah gitar seperti yang diminta mendiang Graciela, memandangkan itu adalah alat muzik kegemaran isterinya yang merupakan peminat muzik sejak dahulu lagi.
Sebagai seorang duda yang mempunyai empat orang anak yang masih kecil, Ureta secara perlahan-lahan melaksanakan projek itu dan ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Rakan-rakannya menyangka Ureta mungkin sudah hilang akal kerana cuba melakukan sesuatu yang begitu rumit, terutamanya tanpa sebarang bantuan daripada pereka landskap profesional.
Pampas Argentina
Ureta tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam merancang sebuah projek yang besar ini. Jadi, dia belajar dengan sendiri melalui percubaan dan daripada kesilapan.
Untuk memastikan dia dapat menandakan jarak yang betul di antara setiap pokok yang ditanamnya, dia menggunakan anak-anaknya sendiri dalam projek itu. Ureta akan menyuruh anak-anaknya berdiri pada jarak tertentu supaya dia boleh mengukur ruangan pokok yang ditanamnya secara sama rata.
Bagi mencapai kesan yang sempurnya, Ureta memilih untuk menanam pokok Siprus bagi menandakan bentuk, leher, badan dan lubang di tengah gitar gergasi itu. Bagi tali gitar pula, dia menanam lima barisan pokok Eucalyptus Biru yang memberikan kesan berwarna-warni yang cantik jika dilihat dari atas.
Menurut majalah Conde Nast Traveller, percubaan awal Ureta untuk menanam hutan berbentuk gitar itu tidak berjaya. Ini kerana makhluk perosak di kawasan padang rumput itu telah menyerang dan merosakkan anak-anak pokok yang ditanamnya, sekaligus membantutkan usahanya.
Walau bagaimanapun, Ureta tetap bertekad untuk mencari penyelesaian yang bijak bagi masalah itu. Dia telah memagari anak-anak pokok itu dengan logam terpakai agar dapat menghindari serangan haiwan perosak sekaligus membentuk pertumbuhan pokok seperti yang diinginkannya.
Secara keseluruhannya, Ureta telah menanam lebih daripada 7,000 pokok. Selepas bertahun-tahun lamanya bekerja keras, kini hutan berbentuk gitarnya boleh dilihat dari udara dalam bentuk yang sempurna.
Pedro Martin Ureta
Saiz hutan gitar yang ditanamnya itu melebihi dua pertiga batu daripada idea asal yang dicadangkan oleh isterinya. Ureta kemudian menjadi selebriti tempatan kerana projek luar biasanya itu telah dihebahkan ke seluruh dunia.
Namun, apa yang anehnya ialah Ureta sendiri hanya melihat hasil hutan gitar rekaannya itu melalui gambar. Ini kerana dia takut untuk menaiki pesawat dan tidak dapat melihat hasil usahanya yang hebat dari udara. Kini, Ureta dan semua orang bernasib baik kerana dapat melihat hutan gitar itu melalui Google Earth.
Penghormatan Ureta kepada isterinya itu adalah sebuah kisah cinta sejati dan menjadi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang terbang dalam pesawat merentasi padang rumput yang luas di Buenos Aires miliknya.
Ureta yang kini berusia lebih dari 70 tahun memilih untuk tidak berkahwin semula walaupun pernah menjalinkan hubungan dengan wanita lain pada tahun 1990.
Mungkin juga hutan gitar ini akan menjadi inspirasi kepada petani-petani lain untuk membina reka bentuk yang rumit dalam ladang milik mereka, sama seperti ladang yang berupa tong susu yang menjadi ilham mendiang Graciela bertahun-tahun yang lalu.
Rujukan:
2. Medium
3. Monga Bay