Kredit foto: Instagram Fakhrul Unic 

Gema Gegar Vaganza (GGV) Musim Pertama melabuhkan tirai semalam dengan menobatkan kumpulan UNIC sebagai juara program realiti tersebut.

UNIC di peringkat akhir mempertaruhkan persembahan lagu Ainul Mardhiah dalam segmen solo, diikuti Kalah Dalam Menang menerusi segmen battle.

Kemenangan tersebut sekaligus melayakkan mereka untuk membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 bersama trofi sumbangan Astro.

Tidak ketinggalan kumpulan Hijjaz selesa di tangga kedua dengan pertaruhan lagu Fantamorgana dalam persembahan solo, diikuti Alhamdulillah di segmen battle, sekaligus membawa pulang wang tunai RM30,000 dan trofi sumbangan Astro.

Hijjaz juga dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Persembahan Pilihan Penonton yang penjuriannya ditentukan melalui undian - dibuka di laman web GGV. Menerusi kemenangan tersebut, Hijjaz menerima ganjaran wang tunai RM5,000 sumbangan Serai Mas.

Tangga ketiga pula diungguli kumpulan Mirwana menerusi dendangan lagu Ya Rasulullah, diikuti Alhamdulillah dalam pusingan battle. Mirwana membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000 dan trofi sumbangan Astro.

Azmi Caliph Busker terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat melalui penyampaian lagu Damai Yang Hilang dan Aku Maafkan Kamu (pusingan battle). Azmi membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 serta trofi sumbangan Astro.

Azmi turut mengungguli Anugerah Gema Terindah, kategori Gempak Gempur yang membawanya kepada kemenangan wang tunai sejumlah RM15,000 sumbangan Kopi Pak Belalang. Hadiah tersebut akan disalurkan kepada badan amal atau individu yang memerlukan.

Manakala, tangga kelima menjadi rezeki Hafiz Hamidun yang mempertaruhkan persembahan lagu Nur Kasih dan Aku Maafkan Kamu pada pusingan battle. Hafiz meraih wang tunai sejumlah RM10,000 serta trofi sumbangan Astro.

Tempat terakhir atau kedudukan keenam menjadi milik kumpulan Saujana yang mendendangkan lagu Penerang Hati diikuti Kalah Dalam Menang dalam pusingan battle. Saujana menerima wang tunai sebanyak RM5,000 serta trofi sumbangan Astro.

Konsert Akhir Gema Gegar Vaganza bersiaran daripada Pusat Konvensyen CIDB Cheras dan menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai hos.

Komposer Farihin Abdul Fattah dan pelakon Indonesia, Oki Setiana Dewi pula diberi peranan sebagai juri tetap GGV musim ini. Konsert akhir tersebut diserikan dengan penampilan khas penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sebagai juri undangan. 

kumpulan unic juara gema gegar vaganza raih rm100 000 3

kumpulan unic juara gema gegar vaganza raih rm100 000 2

kumpulan unic juara gema gegar vaganza raih rm100 000 4

Kredit foto: Instagram Fakhrul Unic 




Hakcipta iluminasi.com (2017)