Oleh pada 11 Mar 2018 kategori

Kredit foto: Instagram UNIC 

Penyanyi rap Caprice akui kesal dengan tindakan kumpulan nasyid UNIC yang menuduhnya tidak berdisiplin dalam rangka promosi lagu duet mereka berjudul Sedar yang dilancarkan akhir tahun lalu.

Tidak hanya itu, Caprice juga mempertikaikan kenyataan UNIC kononnya dia tidak membalas mesej Whatsapp yang dihantar mereka.

Sedangkan, kata penyanyi hip-hop ini, dia baru sahaja muncul di sebuah stesen radio minggu lalu atas tujuan promosi lagu berkenaan.

“Seminggu yang lalu saya di Hot FM bersama mereka dan tiba-tiba mereka muncul dalam temubual di televisyen minggu berikutnya mendakwa saya membaca mesej yang dihantar tetapi tidak membalas.

“Anda buat andaian saya baca tetapi tidak balas mesej anda? Itu penipuan dan cara paling murah untuk mempromosikan lagu anda," tulisnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Instagram.

Terdahulu, Fakhrul mewakili kumpulan UNIC mendakwa Caprice hanya memberi kerjasama dalam sesi promosi beberapa kali sahaja, manakala selebihnya tidak hadir.

Kata Fakhrul lagi, apa yang membuatkannya lebih terkesan apabila semua mesej Whatsapp yang dihantar kepada penyanyi rap itu iaitu sejak 22 Februari lalu, tidak dibalas sedangkan ia sudah dibaca kerana mempunyai dua tanda biru.

UNIC antara lain dianggotai Wan Najdi dan Bazli.

Sementara itu, Caprice bertanya kembali kepada UNIC akan dakwaan kononnya mereka mendapat dua tanda biru walhal dia belum membuka mesej berkenaan.

Carpice turut memberitahu dia mempunyai 999 mesej lain yang belum dibaca gara-gara terlalu sibuk.

“Tiada tanda biru. Saya kecewa kerana perkara ini boleh selesai dengan hanya satu panggilan tetapi anda pilih cara dramatik untuk buat kenyataan.

“Bagaimana anda mendapat tanda biru apabila saya tidak buka pun mesej berkenaan? Saya mempunyai 999 mesej yang masih belum dibuka.

“Maafkan saya. Saya minta maaf kepada 999 individu lain jika saya lambat atau tidak membalas mesej berhubung persembahan pentas atau pun temu bual,” katanya.

Kenyataan Caprice itu turut mendedahkan kesibukannya dalam menjayakan pembangunan empat aplikasi keagamaan hingga belum berkesempatan melancarkan single baharunya berjudul Abang Gurau Je.

“Jika anda tidak tahu, saya sibuk dengan pembangunan empat aplikasi iaitu mengaji.com, RajinApp, Umrakloka dan sistem untuk masjid. Saya sampai tiada masa untuk diri sendiri.

“Pada masa yang sama saya sedang dalam program jelajah untuk Jihad in Education di Kedah, Penang, Melaka dalam masa empat minggu.

“Saya cuba yang terbaik untuk puaskan hati semua pihak tetapi saya bukannya robot,” katanya.

Entri itu disertai bukti paparan skrin yang menampakkan 999 mesej Whatsapp termasuk daripada Fakhrul yang belum sempat dibuka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)