Kisah inspirasi ini adalah mengenai seorang pemuda, pelajar dan atlet yang bernama Terry Fox. Lelaki ini berjaya membuktikan bagaimana untuk mengatasi pelbagai halangan terbesar dalam hidupnya walaupun serba kekurangan.

Terry Fox adalah pelajar kinesiologi (kajian tentang otot dan pergerakan otot) di Universiti Simon Fraser, Canada. Dia juga adalah ahli pasukan bola keranjang universiti. Dia sememangnya aktif bersukan sejak dari kanak-kanak lagi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada tahun 1976, Terry telah mengalami kemalangan kereta tetapi kecederaannya tidaklah begitu teruk. Dia hanya mengadu mengalami sedikit sakit di bahagian lutut tetapi mengabaikannya.

Lima bulan kemudian, dia akhirnya pergi ke hospital dan didiagnosis dengan osteosarkoma iaitu sejenis kanser yang biasanya muncul di bahagian lutut.

Malangnya, kaki atlet muda itu terpaksa dipotong dan dia diberitahu hanya mempunyai peluang 50 peratus sahaja untuk hidup. Dia tidak merasa kecewa sebaliknya menganggap ia adalah dugaan. Hanya tiga minggu selepas menjalani pembedahan, Terry kembali berdiri dengan bantuan kaki palsu.

terry fox ketika muda

Sikap positif dan kemoterapi yang dilaluinya selama 16 bulan di Badan Kawalan Kanser British Columbia telah meningkatkan tahap kesihatan Terry. Ketika menjalani rawatan, dia juga belajar bagaimana untuk bermain bola keranjang kerusi roda sehingga menyertai satu pasukan yang bersaing di peringkat kebangsaan.

Selepas memenangi tiga gelaran kebangsaan dengan pasukannya, Persatuan Bola Keranjang Kerusi Roda Amerika Utara menamakan Terry sebagai bintang sepanjang masa pada tahun 1980.

Selama menjalani kemoterapi juga, Terry melihat ramai pesakit kanser di sekelilingnya yang menderita dan meninggal dunia. Diinspirasikan oleh pengalamannya, Terry memutuskan bahawa dia akan melakukan sesuatu bagi meningkatkan penyelidikan dan menjadikan kehidupannya sebagai inspirasi kepada pesakit lain.

Pada tahun 1979, Terry Fox telah meminta sokongan daripada Persatuan Kanser Canada untuk memulakan larian Marathon of Hope. Pada 12 April 1980, Terry memulakan perjalanannya di St. John's, Newfoundland.

terry fox melakukan maraton

Dia berlari sekitar 42 km sehari meredah pelbagai rintangan seperti ribut ais, angin kencang dan cuaca panas melalui pelbagai perkampungan dan bandar di Canada.

Tujuannya melakukan maraton ini adalah untuk mengumpul dana sebanyak $ 1 juta bagi tujuan penyelidikan kanser. Presiden Four Seasons, Isadore Sharp, adalah yang pertama menyumbang kepada Terry sebanyak $ 10,000 dan mencabar 999 syarikat korporat lain untuk berbuat demikian. 

Rakyat Canada yang terkesan dengan semangat Terry juga telah menyumbang ke dalam tabung dananya. Ada yang menghulurkan wang terus kepadanya ketika dia melintasi kampung dan bandar mereka.

Larian yang dilakukan Terry adalah sesuatu yang luar biasa. Ia bukan sahaja menguji ketahanan fizikal tetapi ketekunan dan sifat kemanusiaan yang ditunjukkan Terry telah memberi inspirasi kepada berjuta-juta orang lain.

kaki palsu terry fox

Terry yang percaya bahawa dia berjaya mengatasi kanser yang dialaminya telah mengabaikan rawatan susulan. Selepas 143 hari berlari tanpa henti, dia mengalami batuk teruk dan rasa sakit berterusan. 

Kira-kira 28 km dari Thunder Bay, Terry Fox akhirnya terpaksa berhenti berlari dan dikejarkan ke hospital. Doktor kemudian telah mengesahkan bahawa kanser yang dialami Terry telah merebak dari kakinya hingga ke bahagian paru-paru.

Apabila ibu bapanya tiba di hospital di Thunder Bay, Terry yang cuba bangun untuk menyambut mereka jatuh rebah. Dalam keadaan yang penuh emosi itu, ibunya menangis dan bapanya pula berkata "Ini tidak adil, tidak adil sama sekali." Terry berkata kepada ibu bapanya :

"Itulah kanser dan saya bukanlah satu-satunya. Ia berlaku setiap masa kepada orang lain juga. Saya bukannya istimewa tetapi inilah yang saya mampu lakukan untuk memberi makna dan inspirasi kepada orang lain. Saya boleh memilih untuk membiarkannya sahaja tetapi saya tidak akan menyerah kalah."

Sebulan sebelum ulang tahunnya yang ke-23 iaitu pada 28 Jun 1981, Terry Fox telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Royal Columbian, British Columbia.

Pelbagai penghargaan dan anugerah yang diberikan ke atas mendiang Terry. Sebuah gunung di British Columbia telah dinamakan sempena namanya dan Terry merupakan warga Canada termuda yang dinamakan sebagai Companion of the Order of Canada.

Akhbar Canada juga menamakan Terry sebagai Newsmaker of the Year dan dia disenaraikan oleh Guinness Book of Records sebagai antara pengumpul dana terbanyak.

Pada 13 September tahun yang sama, satu larian yang dinamakan sebagai Terry Fox Run telah diwujudkan. Lebih daripada 300,000 orang menyertainya dengan berjalan, berlari atau berbasikal seluruh Canada sebagai tanda penghormatan kepada Terry Fox.

monumen terry fox

Pada tahun 1988, Terry Fox Run telah didaftarkan sebagai satu badan amal. Pada tahun 1992, pertandingan Terry Fox Run peringkat antarabangsa telah diadakan. Pada tahun 2006 pula, Yayasan Terry Fox telah mengumumkan bahawa mereka telah berjaya mengumpulkan lebih daripada CAD 715 juta (RM 2.243 billion) untuk penyelidikan kanser.

Rujukan:

1. Kisah pelari kanser yang kudung - Terry Fox

2. Kisah inspirasi Terry Fox

3. Berlari 5,000 km untuk mengutip dana kanser




Hakcipta iluminasi.com (2017)