Nabi Ibrahim AS merupakan seorang nabi dan rasul yang penting di dalam agama Islam, Nasrani dan Yahudi. Baginda telah mendapat gelaran Khalil Ullah yang bermaksud "Sahabat Allah".

Selain itu Nabi Ibrahim AS juga terkenal kerana membangunkan Kaabah bersama anaknya Nabi Ismail AS. Baginda juga tergolong dari salah seorang daripada 5 nabi Ulul Azmi (gelaran kepada nabi yang mempunyai ketabahan dan kesabaran luar biasa dalam berdakwah).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun seperti yang kita ketahui, pada hari kiamat manusia akan meminta agar diberikan syafa'at. Kesemua nabi bermula dari Adam AS tidak dapat membantu dan menyuruh pergi meminta kepada nabi seterusnya sehinggalah sampai kepada Nabi Muhammad SAW.

Namun, ketika manusia sampai kepada Nabi Ibrahim AS, mereka berkata:

“Wahai Ibrahim, engkau adalah Nabi dan kekasih Allah dari penduduk bumi, syafa’atilah kami kepada Rabb-mu! Tidakkah kau lihat apa yang menimpa kami?” 

Maka Ibrahim berkata:

“Sesungguhnya Rabb-ku pada hari ini marah dengan kemarahan yang tidak pernah marah seperti ini sebelumnya, dan tidak akan marah seperti ini sesudahnya, dan sesungguhnya aku telah berbohong tiga kali. Nafsi nafsi, pergilah kalian kepada selainku, pergilah kalian kepada Musa AS!”

[HS Bukhari 7510]

kubur nabi ibrahim 403

Apakah 3 perkara yang Nabi Ibrahim AS pernah bohongi itu? Rasulullah saw. bersabda:

"Nabi Ibrahim as. tidak pernah berdusta kecuali sebanyak tiga kali, dua di antaranya menyangkut Dzat Allah"

[HS Muslim 2371]

Namun, tidak satupun pembohongan yang dilisankan oleh Nabi Ibrahim AS adalah sebenar-benar bohong melainkan sebuah Tauriyah (dusta yang dibolehkan dalam keadaan darurat). Berikut adalah 3 kisah di mana Nabi Ibrahim AS 'berbohong'

1. Sesungguhnya aku sakit

Ketika Nabi Ibrahim AS diajak kaumnya untuk menyambut penyembahan berhala, dia melisankan pembohongan pertama :

Kemudian ia berkata: “Sesungguhnya aku sakit”.

[Surah As-Saffat, Ayat 89]

Kerana ucapan itu, kaum Nabi Ibrahim AS meninggalkan Baginda seorang diri di kampungnya. Pada waktu itu jugalah Nabi Ibrahim AS menghancurkan kesemua patung-patung berhala sembahan kaumnya menggunakan kapak.

Ucapan itu bukanlah dusta. Apa yang dimaksudkan Nabi Ibrahim AS bukanlah sakit fizikal tetapi sakit dalam jiwanya kerana melihat kesyirikan kaumnya menyembah berhala dan menolak seruan dakwahnya menyembah Allah.

2. Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya

patung berhala di kota urfa

Ketika kaumnya pulang dari hari perayaan, mereka terkejut apabila mendapati patung-patung berhala hancur kesemuanya kecuali patung yang paling besar dengan kapak di tangannya.

Mereka mengesyaki Nabi Ibrahim AS yang melakukannya kerana Baginda seorang sahaja yang tinggal dan tidak mengikuti perayaan. Lalu Nabi Ibrahim dipanggil dan ditanya, "Adakah engkau yang menghancurkan tuhan-tuhan kami, wahai Ibrahim?"

Pada ketika inilah Nabi Ibrahim AS melisankan pembohongan keduanya:

Ibrahim menjawab: "Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya, maka tanyakanlah kepada berhala itu, jika mereka dapat berbicara".

[Surah Al-Anbiya, Ayat 63]

Kaumnya tidak berpuas hati dan menangkap Nabi Ibrahim AS. Mereka membuat unggun api besar lalu dicampakkan Nabi Ibrahim AS ke dalamnya. Dengan kekuasaan Allah SWT, ia tidak sedikitpun membakar tubuh Baginda.

3. Dia adalah saudara perempuanku

unta padang pasir

Ketika Nabi Ibrahim AS dan isterinya Sarah melakukan hijrah, mereka memasuki satu wilayah yang dipimpin oleh seorang raja yang zalim. Maka tersebarlah berita di mana seorang lelaki telah tiba bersama seorang wanita yang sangat cantik.

Seorang pegawai raja telah memberitahu hal ini kepada raja yang zalim itu. Nabi Ibrahim AS dan Sarah telah dijemput hadir ke istananya. Nabi Ibrahim AS segera melaksanakan solat dan berdoa kepada Allah SWT agar isterinya Sarah dilindungi.

Setibanya di istana, raja yang zalim bertanya kepada Nabi Ibrahim AS, "Siapakah wanita yang bersamamu?" Kemudian Nabi Ibrahim AS melafazkan pembohongan yang ketiga:

"Dia adalah saudara perempuanku."

Walaupun Sarah sebenarnya bukanlah saudara tetapi isteri Baginda, apa yang dimaksudkan oleh Nabi Ibrahim AS adalah Sarah juga merupakan saudara seiman dengannya. 

Nabi Ibrahim AS berbohong demikian kerana tahu niat raja zalim itu yang ingin mendekati Sarah. Jika diberitahu bahawa Sarah adalah isterinya, pasti raja zalim itu akan membunuh Baginda untuk mendapatkan Sarah.

Setelah Nabi Ibrahim AS beredar dan meninggalkan Sarah dengan raja itu, raja itu kemudian terus cuba mendekati untuk memeluk Sarah namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana tangannya tiba-tiba menjadi kaku seakan-akan lumpuh.

masjid nabi ibrahim

Raja itu telah meminta Sarah berdoa supaya dia dilepaskan. Setelah Sarah berdoa kepada Allah, raja itu pulih kembali. Namun, dia terus mengambil kesempatan dengan cuba memeluk Sarah buat kali kedua. Serta-merta dia merasakan tangannya menjadi kaku dan lebih berat dari yang sebelumnya.

Akhirnya raja itu berkata, "Berdoalah kepada Tuhan dan aku tidak akan mengganggumu lagi."

Setelah tangannya pulih, raja zalim itu akur dan memanggil pegawainya sambil berkata, "Sesungguhnya kamu membawa kepadaku seorang wanita syaitan dan bukannya manusia. Usirlah dia dari negeriku dan berikanlah Hajar kepadanya.”

Siti Hajar telah diberikan kepada Sarah sebagai hamba yang kemudiannya berakhir menjadi isteri kedua Nabi Ibrahim AS.

[HS Bukhari 2217]




Hakcipta iluminasi.com (2017)