lelaki 3 kaki

Anda tahu 'Air Cap Badak' penawar demam panas? Mesti tahu kan. Pengeluar produk air itu adalah sebuah syarikat bernama Cap Kaki Tiga.

Logo syarikat itu walaupun kini telah dimodenkan, masih lagi memaparkan ilustrasi tiga kaki bersambung ibarat roda. Logo tersebut mungkin hanyalah rekaan imaginasi perekanya satu masa dahulu.

Tetapi tahukah anda kisah seorang lelaki yang dilahirkan mempunyai tiga kaki, cukup mirip dengan logo syarikat di negara kita itu?

Lahir dengan organ kembar yang tidak sempurna

frank lentini manusia berkaki tiga muda

Bagi Francesco 'Frank' Lentini, dapat lahir ke dunia sudah merupakan satu perkara hampir ajaib berlaku kepadanya. Ini kerana situasi dia unik sejak dari dalam rahim lagi.

Semasa dalam kandungan janin yang sepatutnya membentuk dua bayi kembar berbeza berlaku tidak normal, menyebabkan keganjilan yang dinamakan kembar heteropagus atau kembar parasitik, boleh menyebabkan kelahiran kembar siam yang bercantum berlaku.

Bagi sesetengah kembar yang lebih ganjil situasinya, akan wujud kemungkinan di mana bayi yang selamat akan menyerap bahagian tubuh kembarnya sehingga dia mengalami penambahan organ yang sukar dijangka.

Keganjilan genetik ini amat jarang berlaku dianggarkan hanya ditemui dalam nisbah 1 per 1 juta kelahiran.

Lentini lahir pada 18 Mac 1889 di Sicily , Itali merupakan anak kelima daripada 12 orang adik beradik. Berbeza dengan adik-beradiknya, Lentini lahir dalam keadaan unik mempunyai kembar tidak sempurna bercantum dengan badannya di bahagian pinggang. Sindrom ini secara saintifiknya dinamakan kembar jenis 'dipygus.'

Kembar dipygus membuatkan janin yang selamat terbentuk, akan mengalami pencapahan pada tulang belakang membentuk organ tambahan pada bahagian tertentu.

Bagi Lentini, dia lahir dengan tiga kaki, 4 tapak kaki dan dua zakar hasil organ kembarnya yang tidak menjadi, bersambung di bahagian pinggul.

Sukar diterima keluarga pada awal usia

frank lentini masa kecil

Menerima anak yang luar biasa, kedua ibu bapanya pada awalnya sukar menerima takdir apa yang berlaku.

Bagaimanapun, mereka cuba menjaga Lentini dengan baik, membawa bayi itu menemui pakar perubatan untuk sekurang-kurangnya membuang kaki ketiga yang terbentuk.

Kedua-duanya dimaklumkan sekiranya tindakan diambil, nyawa Lentini bakal berdepan risiko maut. Lentini membesar dalam suasana sukar berkaki tiga, diherdik dan dihina kerana keadaannya.

Keadaan ini memaksa kedua ibu bapanya membuat keputusan sukar menghantar Lentini tinggal dengan makciknya. Bagi membantu anak saudaranya, makciknya mendaftarkan Lentini ke dalam sekolah orang-orang kurang upaya.

Di sinilah Lentini mula menyedari situasinya walaupun aneh, jauh lebih baik berbanding ramai lagi pelajar lain yang senasib sepertinya. Apa yang memperkuatkan azamnya, pelajar-pelajar ini yang jelas lebih kritikal tahap kurang upaya mereka, mampu hidup dengan baik.

Perspektif baru ini membuatkan Lentini berubah pandangan terhadap kecacatannya. Apa yang selama ini dirasakan beban, boleh dilihat sebagai satu kelebihan.

Pertemuan Lentini ketika berusia 6 tahun dengan seorang pengurus persembahan bernama Vincenzo Magnano mengubah hidup Lentini. Buat pertama kali, seorang individu lain melihat potensi besar dalam kecacatan Lentini.

Selepas Magnano berjaya meyakinkan kedua ibu bapa Lentini untuk membenarkan Lentini ke Amerika Syarikat bagi menyertai kumpulan persembahannya, Lentini ke Amerika Syarikat pada usia 8 tahun.

Kedua ibu bapanya turut berhijrah ke sana, kerana itulah syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan persetujuan mereka.

Mula digelar 'Lentini Yang Hebat'

the great lentini kaki tiga

Lentini memulakan latihan bagi memastikan dirinya bersedia. Selepas kempen promosi dijalankan, Lentini dipilih menyertai karnival teater jalanan kendalian Magnano.

Penampilan Lentini individu berkaki tiga menarik perhatian ramai yang berpusu-pusu hadir.

Selepas cakap-cakap orang tentang keanehan Lentini bermain bola dengan tiga kaki tersebar - reputasi Lentini yang unik, aneh dan jarang dapat dilihat mula membolehkan Lentini melompat ke arena sarkas lebih besar.

Dia menyertai kumpulan sarkas Ringling yang ketika itu merupakan antara kumpulan sarkas terbesar. Di sinilah Lentini diberikan identiti pesona pentas pertamanya - 'Lentini Yang Hebat' atau 'The Great Lentini' untuk membina kerjaya dengan lebih serius.

Bergelar selebriti kecil, Lentini mula lebih membiasakan diri menjalani temubual, tidak malu dan segan untuk berbicara menceritakan anekdot berkaitan keanehan tubuh badannya secara terbuka. Otaknya juga mula ligat mencari peluang untuk menjana pendapatan.

Sedar statusnya mampu menarik perhatian awam, Lentini menulis sendiri risalah enam muka yang diberikan judul The Life History of Francesco A. Lentini, Three-Legged Wonder menceritakan tentang kondisinya, asal-usul dirinya serta pengalaman hidupnya.

Risalah itu dijual pada harga 25 sen setiap satu, menjadi antara sumber pendapatan sampingan yang mendapat sambutan hangat.

Usia panjang yang tidak disia-siakan

frank lentini manusia berkaki tiga greatest showman 825

Bagi kebanyakan orang yang senasibnya, pasti tekanan dan persepsi masyarakat akan menjadi penghalang mereka berjaya - tetapi Lentini mampu menggunakan 'kelebihannya' itu membina kerjaya yang sangat gemilang.

Menyedari usia semakin lanjut, Lentini berhijrah ke sebuah pekan bernama Gibsonton yang terletak di Florida; lokasi popular 'orang-orang aneh' sepertinya menetap menunggu hujung usia bersama pasangannya dalam perkahwinan kedua, seorang wanita bernama Helen Shupe.

Di sana Lentini meneruskan kerjayanya sehinggalah penyakit paru-paru mula membataskan pergerakannya. Lentini mula kurang aktif sehinggalah dia mengumumkan persaraannya dari bergelar seorang penghibur akibat jangkitan paru-paru tahap kritikal.

Usaha untuk menyelamatkan beliau gagal. Lentini meninggal dunia pada 21 September tahun 1966 ketika berusia 77 tahun.

Reputasinya sebagai penghibur terus diingati sehingga ke hari ini, khasnya di pekan kelahirannya Rosolini yang terletak di Sicily.

Sebuah festival selama 2 hari dianjurkan penduduk tempatan setiap tahun bagi meraikan kejayaan anak tempatan mereka itu menjadi seorang yang berjaya,  walaupun jelas berbeza jika dibandingkan dengan orang biasa.

Berikutan sumbangannya kepada dunia hiburan, Frank Lentini turut diabadikan dalam filem 'The Greatest Showman' yang membariskan pelakon terkenal Hugh Jackman, di mana kerjaya dan gelagat Lentini (wataknya dalam gambar di atas) sebagai penghibur dilakonkan semula untuk tontonan masyarakat moden - yang tidak sempat mengenali lelaki berkaki tiga ini.

Rujukan

Maklumat pusara Frank Lentini



Hakcipta iluminasi.com (2017)