Oleh pada 27 May 2021 kategori

Haiti adalah sebuah negara yang terletak di kepulauan Greater Antilles di Laut Caribbean. Haiti merupakan negara ketiga terbesar dan paling ramai penduduknya di kepulauan Caribbean dengan populasi seramai 11.4 juta orang.

sejarah kemerdekaan haiti

Mungkin ramai yang mengenali Haiti sebagai sebuah negara yang sering dilanda bencana alam seperti gempa bumi, ribut taufan dan banjir.

Bukan itu sahaja, Haiti juga terkenal sebagai salah satu negara yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi, pasukan polis paling korup, antara bandar paling kotor, kadar kebuluran yang tinggi dan banyak lagi.

Namun, ramai yang tidak mengetahui mengenai masalah yang lebih besar pernah dihadapi negara itu. Masalah besar yang dimaksudkan ialah berkenaan kemerdekaan Haiti yang dianggap sebagai rompakan terbesar dalam sejarah.

Haiti dijajah Perancis

Perancis mula memperdagangkan penduduk Haiti sebagai hamba sejak dari abad ke-17 lagi. Pada penghujung abad ke-18, penduduk tempatan yang ditindas mula memberontak demi mencapai kemerdekaan.

henry christophe

Henry Christophe

Pada tahun 1804, secara rasminya Haiti mengistiharkan kemerdekaannya dari Perancis. Pada bulan Oktober 1806, negara ini terbahagi kepada dua di mana Alexandre Petion berkuasa di selatan dan Henry Christophe memerintah di utara.

Walaupun kedua-dua pemerintah Haiti ini adalah veteran Revolusi Haiti, Perancis masih tidak berputus asa untuk menakluk semula bekas jajahan mereka itu.

Pada tahun 1814, Raja Louis XVIII yang telah menjatuhkan Napolean pada awal tahun itu telah menghantar tiga pesuruhjaya ke Haiti bagi meminta pemerintah negara itu supaya menyerah kepada Perancis.

Henry Christophe yang menjadi raja di utara Haiti tetap tegas menghadapi tekanan Perancis untuk mengembalikan sistem hamba abdi di negara itu. Mereka juga sudah sedia menghadapi perang yang tidak dapat dielakkan dengan Perancis.

Sebaliknya, pemerintah selatan Haiti, Alexandre Petion, bersedia berunding dengan harapan dapat membayar Perancis untuk mengiktirafkan kemerdekaan mereka.

Rundingan kemerdekaan

Sebelum itu pada tahun 1803, Napoleon telah menjual Louisiana kepada Amerika Syarikat dengan harga 15 juta franc (matawang Perancis sebelum Euro diperkenalkan pada 1999). Berpandukan harga itu, Petion mencadangkan untuk membayar jumlah yang sama untuk Haiti.

perancis menjajah haiti 144

Penjajah Perancis di Haiti

Raja Louis XVIII yang tidak mahu berkompromi dengan "hamba pemberontak" itu telah menolak tawaran Petion. Sebelum mereka mencapai kata sepakat, Petion meninggal dunia secara tiba-tiba pada tahun 1818. 

Penggantinya, Jean-Pierre Boyer meneruskan rundingan antara raja Perancis itu tetapi sering tertangguh kerana kedegilan pemerintah utara Henry Christophe. Bagi Christophe, ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk membayar penjajah.

Setelah Christophe meninggal dunia pada Oktober 1820, Boyer dapat menyatukan kembali Haiti sebagai sebuah negara. Walaupun Christophe yang keras kepala sudah tiada dan Haiti bersatu, Boyer berulang kali gagal dalam rundingan untuk pengiktirafan kemerdekaan Perancis.

Namun, Boyer bertekad untuk mendapatkan sekurang-kurangnya kekuasan di pulau itu yang secara tidak langsung menjadikan Haiti sebagai protektorat (negara yang mendapat perlindungan daripada negara asing) kepada Perancis.

Pengganti Louis XVIII iaitu Charles X pada bersetuju dengan tawaran yang dicadangkan oleh dua komisioner yang dikirimkan Boyer ke Paris pada tahun 1824 untuk membayar ganti rugi sebagai pengiktirafan kemerdekaan Haiti.

Harga kemerdekaan Haiti

Pada 17 April 1825, raja Perancis itu tiba-tiba berubah fikiran. Dia membuat keputusan untuk menetapkan bahawa Perancis hanya akan mengiktiraf kemerdekaan Haiti pada harga 150 juta franc, 10 kali ganda jumlah AS membayar untuk wilayah Louisiana.

jean pierre boyer

Jean-Pierre Boyer

Jumlah itu adalah ganti rugi kepada penjajah Perancis yang kerugian dalam perniagaan perhambaan mereka. Ketika itu, 150 juta franc adalah nilai yang amat besar.

Hasrat raja Perancis itu disampaikan oleh Baron de Mackau yang tiba di Haiti bersama 14 brigade perang yang membawa lebih daripada 500 buah meriam. Menolak permintaan raja itu bermakna perang kepada Haiti. Ini bukanlah diplomasi tetapi satu pemerasan.

Tanpa pilihan yang lebih baik, Jean-Pierre Boyer terpaksa menandatangani dokumen yang menyatakan mereka bersetuju membayar ganti rugi sebanyak 150,000,000 franc kepada penjajah Perancis.

Kemakmuran Perancis yang dibina atas kemiskinan Haiti

Seluruh dunia tahu bahawa harga itu tidak masuk akal dan Haiti tidak mampu membayar jumlah itu kerana ia adalah 10 kali ganda jumlah pendapatan tahunan negara itu. 

haiti

Walaupun tahu Haiti tidak mampu, raja Perancis yang baru menghantar 12 kapal perang pada 1838 untuk memaksa pemerintah Haiti membayar hutang itu. Mereka juga memaksa Haiti meminjam sebanyak 30 juta franc dari bank Perancis untuk membuat dua pembayaran awal.

Rakyat Haiti yang baru sahaja bangkit dari penjajahan terpaksa menderita akibat "rompakan" Perancis itu. Boyer mengenakan cukai kejam yang tinggi untuk membayar hutang mereka.

Ketika mendiang Henry Christophe berkuasa di utara, dia sibuk mengembangkan sistem sekolah kebangsaan. Di bawah pimpinan Boyer dan semua presiden berikutnya, projek seperti itu terpaksa ditangguhkan.

Bukan sahaja pendidikan tetapi penjagaan kesihatan awam dan pembangunan negara juga terpaksa dikorbankan.

Hutang selama 122 tahun

Mengikut penilaian kontemporari, ia menunjukkan bahawa semua hutang Haiti termasuk faedah bank habis dibayar pada tahun 1947. Malah, mereka terpaksa membayar dua kali ganda daripada nilai sebenar (dianggarkan bersamaan RM 89 bilion pada hari ini). Haiti telah membayar "hutang" mereka kepada Perancis selama 122 tahun.

haiti antara negara termiskin

Haiti antara negara termiskin dunia

Menyedari betapa seriusnya skandal ini, ahli ekonomi Perancis, Thomas Piketty mengakui bahawa Perancis harus membayar balik sekurang-kurangnya USD 28 bilion kepada Haiti sebagai ganti rugi yang dialami mereka.

Walaupun ramai presiden Perancis pada abad ke-21 bersetuju bahawa mereka perlu membayar ganti rugi kepada Haiti tetapi ramai yang berdolak-dalih dan menangguhkan perkara itu sehingga hari ini.



Hakcipta iluminasi.com (2017)