Oleh pada 01 Jun 2018 kategori

Baru-baru ini viral video tentang seorang lelaki bernama Ali Banat, di mana beliau berbicara tentang kepulangannya ke Rahmatullah. Video tersebut direkodkan sebagai mesej terakhir beliau. 

Mengenali Siapa Sebenarnya Ali Banat

ali banat

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ali Banat berasal dari Sydney, Australia. Pada usia 33 tahun, beliau telah berjaya mencapai kejayaan yang hebat, mempunyai dua buah perniagaan yang berkembang maju, dengan hidup yang mewah. Masa depannya kelihatan cerah. Namun, pada Julai 2015, Ali telah mendapat berita yang langsung tidak pernah terlintas di fikirannya. Beliau telah didiagnosis menghidapi tahap 4 penyakit Adenoid Cystic Carcinoma, sejenis barah tisu kelenjar. Sejak dari itu, beliau sedar bahawa hidupnya tidak akan sama lagi seperti dahulunya. Yang menyedihkan, barah ini telah merebak ke seluruh badannya termasuklah ke paru-paru dan tulang. 

Pada mulanya, Ali berasa sangat terkejut dengan berita ini, seperti mana sesiapa yang ada dalam situasi yang sama, namun beliau dapat bersabar dan melihatnya dari sudut yang lebih positif. Beliau melihat barah ini sebagai 'hadiah' daripada Tuhan, suatu cara untuk mengubah dirinya untuk mendekati Penciptanya Yang Maha Esa. Kehidupan mewah dengan kereta lumba, pakaian mahal dan segala harta benda lain kini tidak lagi penting buat beliau, dan berasakan bahawa selama ini beliau mengejar cita-cita yang salah. 

ali banat di afrika

Tidak lama selepas itu, beliau dengan segera menjual perniagaannya dan mengembara ke Togo, Afrika, sebuah negara dengan 80 peratus penduduknya hidup dalam kemiskinan. Negara ini juga mempunyai populasi Muslim yang ramai, sekitar 12 hingga 20 peratus daripada keseluruhan rakyatnya. Di sana, Ali telah menggunakan duit hasil jualan perniagaannya untuk membina sebuah masjid bersama dengan sekolah untuk anak-anak yatim. Beliau kemudiannya meluaskan skop kepada sebuah projek, iaitu Muslims Around The World (MATW).

Projek ini juga mempunyai beberapa matlamat lain, antaranya termasuklah untuk membina sebuah kawasan perumahan kepada lebih 200 orang janda, membina hospital mini atau pusat kesihatan serta pusat perniagaan bagi menyokong kehidupan penduduk tempatan. Ali melalui laman GoFundMe, mengumpul dana untuk projeknya itu, dan memaklumkan akan menggunakan 100 peratus derma yang dikutip tanpa sebarang caj perkhidmatan untuk 3 buah projek yang berjalan serentak iaitu MATW Village, Chive Project dan Cemetry Project. 

Walaupun doktor memaklumkan bahawa beliau hanya akan hidup selama lebih kurang 7 bulan sahaja, beliau hidup lebih 2 tahun daripada tempoh tersebut. Akhirnya pada Maghrib 29 Mei 2018 yang lalu, Ali Banat kembali ke Rahmatullah. Beliau kembali kepada Tuhan Yang Maha Esa pada bulan yang penuh dengan berkah, semoga Allah akan menempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman di syurga. 

5 Pengajaran Yang Kita Boleh Ambil Daripada Kisah Ali Banat

1. Bersyukur Kepada Allah

Menurut Ali di dalam sebuah videonya, beliau mengatakan bahawa beliau bersyukur kepada Allah atas penyakit barah yang dihidapinya itu. Mungkin ini kedengaran sedikit aneh, namun inilah hakikatnya. Beliau berasa syukur kerana kini beliau lebih menghargai segala rahmat dan kurniaan Allah, daripada sekecil-kecil perkara seperti bernafas udara yang segar. 

2. Berubah Mulai Sekarang

Ali melalui detik perubahan setelah mengetahui bahawa dirinya menghidapi barah. Beliau sangat bertuah kerana beliau diberi pengetahuan, yakni mengetahui secara kasar tempoh jangka hayat hidupnya. Kebanyakan manusia tidak diberikan pengetahuan seperti ini, dan selalunya meninggal dunia secara tiba-tiba, tanpa sebarang petunjuk akan pulang ke Rahmatullah. Jadi, kita perlu sentiasa bersedia kerana kita tidak tahu, mungkin esok, mungkin petang ini, kita akan pulang kepada-Nya.

3. Berfikiran Positif Dalam Apa Jua Keadaan Sekalipun

Selepas didiagnosis dengan penyakit barah, Ali tetap positif dengan hidupnya. Beliau membuat keputusan untuk membantu saudara Islam di Afrika dengan pelbagai cara. Beliau tetap positif walaupun kesihatannya semakin hari semakin merosot. Kita juga harus menjadi positif seperti Ali, dalam segala kesusahan yang hadir dalam hidup kita, cuba untuk tenang dan sabar menghadapinya. 

4. Hidup Untuk Membantu Orang Lain

Penghujung kehidupan Ali digunakan untuk membantu ramai orang. Segala kebajikan seperti sadaqah jariyah yang dilakukan oleh manusia bakal membantu kita kelak. Wang ringgit tidak boleh dibawa mati, hanya amalan, sedekah dan doa sahaja yang akan menjadi bekalan kita sesudah meninggal dunia. Selagi boleh, cuba kita bantu mereka yang memerlukan.

5. Ketahui Bahawa Hidup Ini Hanyalah Sementara

Setelah diberitahu hanya akan hidup selama 7 bulan sahaja lagi, Ali tidak lagi berminat dengan segala kebendaan dunia yang sementara, yang difikirkan beliau hanyalah kehidupan akhirat, bagaimana untuk menempuhinya. Jika dilihat secara keseluruhan, manusia di Malaysia secara purata hidup sekitar 60 ke 70 tahun, dan jika dibandingkan dengan usia segala ciptaan Allah di alam semesta ini, tempoh kehidupan kita adalah sangat-sangat pendek. 

Kesimpulan

Ingatlah, suatu hari nanti masa kita juga akan sampai, semua yang hidup pasti akan merasai mati, tiada yang terkecuali. Jadi, lakukanlah segala persediaan sebaik mungkin, tinggalkan perkara yang laqa', dan mula kumpulkan amal soleh untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak. 

Mesej Terakhir Ali Banat

Rujukan:

  1. aboutislam.net
  2. amaliah.com
  3. ilmfeed.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)