Manusia diciptakan Tuhan dengan pelbagai keunikan. Ada keunikan tertentu yang hanya dimiliki oleh golongan tertentu sahaja, misalnya seperti orang Bajau yang mempunyai kemampuan menahan nafas dengan lama akibat mutasi genetik yang berlaku pada mereka.

Kelebihan yang dimiliki oleh orang Bajau ini ekslusif kepada mereka sahaja, membolehkan mereka memiliki nafas yang panjang bagi menjadi pemburu hasil-hasil laut yang luar biasa. Sama juga dengan orang Sherpa di Nepal yang mempunyai kemampuan semulajadi hidup di kawasan tanah tinggi kerana keunikan genetik mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di Indonesia, terdapat satu etnik dikenali sebagai Buton yang mempunyai mata yang unik akibat mutasi genetik yang berlaku pada mereka. Keunikan pada mata mereka ini telah menarik ramai jurugambar dari seluruh pelusuk dunia untuk datang ke penempatan mereka untuk menyaksikan sendiri kenikan mata mereka.

Para saintis percaya bahawa keunikan yang dimiliki mereka ini berpunca daripada mutasi gennetik yang dikenali sebagai Sindrom Waardenburg.

Apa itu Sindrom Waardenburg

sindrom waardenburg

Sindrom Waardenburg adalah sekumpulan keadaan genetik yang jarang ditemui, biasanya menyebabkan salah satu masalah berikut - kehilangan tahap pendengaran kongenital dan kekurangan pigmentasi, yang boleh menyebabkan terjadinya mata biru terang (atau satu mata biru dan satu mata coklat) atau tompok kulit atau rambut cerah. 

Sindrom ini juga dapat dibahagian kepada 4 jenis. Keadaan mata biru ini merupakan ciri-ciri yang ada individu yang memiliki Sindrom Waardenburg jenis 2. Untuk Jenis 1, terdapat jurang yang lebih luas antara sudut dalam mata yang disebut telecanthus, atau dystopia canthorum. 

Untuk jenis 3 (yang jarang berlaku), biasanya terdapat kecacatan pada lengan dan tangan dengan kontraksi jari kekal atau jari yang menyatu sementara untuk Jenis 4, individu tersebut juga mempunyai penyakit Hirschsprung, yang merupakan kekurangan saraf kongenital dalam usus yang menyebabkan disfungsi usus.

Jenis 1 dan 2 adalah yang paling biasa, merangkumi kira-kira separuh dan sepertiga kes, sementara jenis 4 merangkumi seperlima dan jenis 3 kurang dari 2% kes. Dianggarkan 2–5% orang pekak kongnetif menderita sindrom Waardenburg.

Pendedahan mengenai sindrom ini bermula pada sekurang-kurangnya separuh pertama abad ke-20, dinamakan sempena pakar mata dan genetik Belanda Petrus Johannes Waardenburg yang menulis laporan mengenainya pada tahun 1951. 

Sindrom Waardenburg adalah mutasi genetik keturunan yang dianggarkan terdapat dalam beberapa bentuk pada 1 dari 42,000 orang. Selain kesannya pada pigmentasi mata, ia juga boleh menyebabkan kehilangan pendengaran.

Keunikan etnik Buton

etnik buton indonesia

Indonesia adalah negara yang sangat istimewa. Kepulauan Indonesia terdiri dari lebih dari 17,000 pulau. Ia dianggap sebagai negara pulau terbesar di dunia. Memiliki begitu banyak pulau kecil, setiap satunya mungkin memiliki keunikan tersendiri baik daripada segi gaya hidup, bahasa dan budaya. Di sana, lebih daripada 700 bahasa berbeza dituturkan.

Orang Buton berasal dari pulau terbesar ke-19 di Indonesia, Pulau Buton, yang terletak di wilayah Sulawesi tenggara Indonesia. Mereka dibahagikan kepada beberapa suku yang lebih kecil di mana beberapa suku daripadanya mempunyai keadaan yang jarang dikenali sebagai Waardenburg Syndrome.

Sindrom Waardenburg membuatkan mereka memiliki mata biru, sesuatu yang sangat jarang terjadi di Indonesia, di mana kebanyakan orang mempunyai rambut gelap dan mata gelap seperti kebanyakan orang Asia Tenggara yang lain.

Mata biru terang mereka menonjol dengan cantik pada warna coklat kulit mereka, dan hampir tidak dapat dijumpai di kalangan orang lain di pulau ini. Ya, mata mereka benar-benar berwarna biru seperti kanta lekap.

Viral di media sosial

mata biru indonesia pulau buton

Keunikan mata orang Buton mula tersebar atau viral setelah foto-foto suku itu yang diambil oleh ahli geologi dan jurugambar Korchnoi Pasaribu, menjadi viral di media sosial.

Ramai netizen yang bertanya-tanya bagaimana mungkin sekumpulan manusia ini mempunyai mata biru semula jadi, keadaan yang sangat unik memandangkan kebanyakan orang Asia mempunyai warna coklat mata.

Walau bagaimanapun, bukan semua orang daripada etnik ini mempunyai mata yang unik ini. Keunikan ini hanya didapati pada beberapa suku kecil etnik ini sahaja. Malah, ada juga yang hanya memiliki satu sahaja mata biru sementara satu lagi berwarna coklat seperti kebanyakan mata orang Asia Tenggara yang lain. 

Berkenaan dengan masalah pendengaran yang biasanya dihadapi oleh individu yang mempunyai masalah Sindrom Waardenburg, tidak dapat dipastikan sama ada mereka mempunyai masalah yang sama. Walau bagaimanapun, kebarangkali itu tidak dapat disangkal memandangkan keunikan mata biru terang mereka adalah disebabkan oleh sindrom ini.

Pada masa hadapan, diharapkan lebih banyak kajian saintifik dilakukan terhadap orang Buton ini untuk melihat apakah faktor yang memungkin ramai daripada mereka yang mempunyai keunikan genetik ini.

Kredit:

  1. Daily Mail
  2. World of Buzz



Hakcipta iluminasi.com (2017)