Kebanyakan orang sukakan makanan manis seperti gula-gula, ais krim, kuih, kek dan minuman bergula. Namun, terlalu banyak gula dalam diet boleh menyebabkan kenaikan berat badan, obesiti, diabetes tahap 2 dan kerosakan gigi.

Walaupun tubuh kita sudah mempunyai pengambilan gula yang mencukupi, otak kita seolah-olah telah diprogram untuk terus menginginkan makanan manis. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penyakit-penyakit dan masalah kesihatan ini adalah perkara biasa bagi rakyat Malaysia yang merupakan negara kelapan paling tinggi dalam pengambilan gula.

Kini, ahli neurosains (pakar saraf) telah melakukan penyelidikan untuk memahami bagaimana pengambilan gula mampu mengubah perilaku manusia dan adakah ia juga menyebabkan perubahan pada otak.

Badan manusia sebenarnya memerlukan gula atau lebih tepat lagi glukosa untuk berfungsi. Glukosa berasal dari perkataan Yunani iaitu 'glukos' yang bermaksud 'manis'. Glukosa membantu melancarkan sel-sel yang berada dalam badan termasuk sel-sel otak.

Bagaimana kita ketagih dengan makanan manis?

makanan manis 801

Berdasarkan asas evolusi, nenek moyang kita memburu dan melakukan kerja keras untuk hidup. Makanan manis adalah sumber tenaga yang sangat baik buat mereka. Kini, generasi moden mendapati bahawa makanan manis adalah suatu kenikmatan.

Manakala makanan yang mempunyai rasa tidak menyenangkan, pahit dan masam biasanya dikaitkan dengan makanan membusuk, beracun atau basi yang boleh menyebabkan penyakit.

Kita juga mempunyai satu sistem otak semula jadi yang membuatkan kita menyukai makanan manis kerana ia merupakan sumber tenaga yang baik untuk menggerakkan tubuh badan kita.

Apabila kita memakan makanan manis, satu sistem ganjaran otak yang dipanggil "dopamin mesolimbik" akan diaktifkan. Dopamin adalah sejenis bahan kimia otak yang dirembeskan oleh neuron (sel saraf) dan memberi isyarat bahawa perlakuan itu adalah sesuatu yang positif.

dopamin mesolimbik

Apabila sistem ganjaran itu diaktifkan, ia akan mempengaruhi tingkah laku seseorang itu dan membuatkan mereka akan mengulangi semula perbuatan memakan makanan manis ini.

Rembesan dopamin dari pengambilan makanan bergula akan menjurus kepada pembelajaran pantas otak manusia untuk lebih memilih makanan manis berbanding makanan biasa yang menyihatkan.

Tambahan pula, persekitaran kita pada hari ini dipenuhi dengan pelbagai makanan bergula yang kaya dengan tenaga walaupun kita sebenarnya tidak begitu memerlukan tenaga sedemikian untuk melakukan kerja-kerja seharian yang lebih mudah berbanding dahulu.

Sayangnya, otak kita telah dilatih untuk berfungsi menyukai makanan manis atau bergula. Jadi, apa sebenarnya yang akan berlaku kepada otak jika kita mengambil gula secara berlebihan?

Bolehkah makanan manis mempengaruhi perubahan otak?

diet tinggi gula

Otak manusia secara berterusan akan berubah dan membina semula dirinya melalui proses yang dipanggil "neuroplasticity" (keupayaan otak untuk membentuk dan menyusun semula hubungan sinaptik).

Penyusunan semula ini boleh berlaku dalam sistem ganjaran yang diaktifkan dalam otak. Pengaktifan berulang kali sistem ganjaran ini melalui pengambilan ubat-ubatan atau memakan banyak makanan manis boleh menyebabkan otak menyesuaikan diri dengan ransangan yang kerap dan membawa kepada sejenis toleransi.

Dalam kes yang melibatkan gula, ini bermakna kita perlu memakan lebih banyak makanan manis untuk mendapatkan perasaan puas yang sama. Ia sebenarnya adalah salah satu ciri-ciri ketagihan.

Ketagihan makanan adalah satu subjuk kontroversi antara saintis dan pakar perubatan. Secara fizikalnya, anda boleh menjadi bergantung kepada ubat-ubatan tertentu. Namun, ia masih dibahaskan sama ada anda boleh ketagih pada makanan apabila anda memerlukannya untuk terus hidup.

Otak mahukan lebih banyak makanan manis dan bergula

kesan gula sama seperti kokain

Gula berlebihan membantutkan rembesan dopamin, sama seperti kesan pengambilan kokain

Walaupun kita memerlukan makanan untuk membekalkan tenaga kepada tubuh tetapi banyak orang mengalami ketagihan makanan terutamanya ketika dalam keadaan tertekan, lapar, sedih atau terpengaruh dengan makanan-makanan yang dijual di kedai.

Bagi menangani kemahuan ini, kita perlu menghalang tindak balas semula jadi untuk menikmati makanan yang lazat ini. Satu rangkaian penghalang dalam neuron adalah penting untuk mengawal tingkah laku kita.

Neuron ini tertumpu pada prefrontal cortex (PFC) iaitu bahagian utama otak yang terlibat dalam membuat keputusan, mengawal dorongan dan melambatkan rasa kepuasan.

Neuron penghalang atau inhibitory neurons berfungsi sebagai brek kepada otak dan merembeskan kimia reseptor GABA. Penyelidikan yang dilakukan ke atas tikus makmal telah menunjukkan bahawa makanan yang mengandungi kadar gula yang tinggi mampu mengubah neuron penghalang ini. Hasilnya, tikus yang diberi gula lebih sukar membuat keputusan atau mengawal kelakuan mereka.

Ini menunjukkan bahawa apa yang kita makan mampu mempengaruhi keupayaan kita untuk menentang godaan. Ia juga menerangkan mengapa perubahan diet sangat sukar bagi sebahagian orang.

kurangkan gula

Satu kaji selidik telah dilakukan mengenai betapa tinggikah keinginan seseorang itu untuk makan makanan ringan berkalori tinggi ketika mereka lapar berbanding setelah berasa kenyang.

Hasilnya, orang-orang yang sering mengamalkan diet tinggi lemak dan bergula masih mempunyai keinginan tinggi terhadap makanan ringan walaupun mereka sebenarnya tidak berasa lapar.

Ia membuktikan bahawa makanan yang tinggi gula ini mewujudkan keinginan untuk mahukan lebih banyak makanan manis walaupun tidak perlu.

Gula boleh mengganggu pembentukan memori

Kawasan lain di otak yang boleh terjejas oleh diet tinggi gula adalah hipokampus yang memainkan peranan penting dalam penyatuan maklumat dari ingatan jangka pendek ke ingatan jangka panjang.

Ini dibuktikan dalam penyelidikan yang dilakukan ke atas tikus. Tikus yang diberi diet tinggi gula lebih sukar mengingati objek yang diberikan kepada mereka di lokasi tertentu berbanding tikus lain.

kempen kurangkan gula

Perubahan yang disebabkan oleh gula berlaku pada hipokampus dan menyebabkan pengurangan pembentukan neuron baru. Pembentukan neuron baru adalah penting untuk merekod memori.

Untuk menjaga kesihatan tubuh dan otak anda, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menasihati agar mengehadkan pengambilan gula tambahan kepada lima peratus daripada pengambilan kalori harian iaitu sebanyak 25 gram (enam sudu teh) sahaja.

Memandangkan anggaran purata rakyat Malaysia mengambil sebanyak 26 sudu gula sehari, kadar yang disyorkan ini mampu memberi perubahan besar kepada anda.

Rujukan:

1. Bagaimana gula menyebabkan anda ketagihan

2. Pengambilan gula mempengaruhi ativiti neuron

3. Kesan gula terhadap otak manusia




Hakcipta iluminasi.com (2017)