Bagi kebanyakan manusia, mandi merupakan satu keperluan harian. Selain untuk tujuan membersihkan tubuh badan, mandi juga merupakan satu terapi atau cara untuk merehatkan diri. Sebab itulah biasanya badan yang kelesuan akan merasa segar selepas mandi.
Percaya atau tidak, ketika mandi sebahagian besar manusia biasanya akan terfikir mengenai idea-idea baru atau perkara menarik tentang pelbagai perkara. Sebagai contoh, sekiranya anda seorang jurutera atau pengaturcara, ada kalanya ketika sedang mandi inilah anda akan mendapat ilham atau solusi untuk penyelesaian sesuatu masalah yang sedang cuba diselesaikan.
BESARKAN TEKS A- A+
Mungkin tidak semua manusia akan atau pernah mengalami perkara ini tetapi boleh dikatakan majoriti manusia pernah merasainya. Menurut satu kajian, sekitar 72% manusia biasanya akan mendapat idea kreatif atau ilham ketika sedang mandi.
Persoalannya, adakah perkara ini normal? Apakah terdapat penjelesan dari segi sains disebalik perkara ini?
Ketenangan dan kreativiti
Seorang ahli psikologi Scott Barry Kaufman, dalam satu persidangan dalam talian bersama 26 orang pakar dalam bidang ini mendedahkan 72% manusia akan mendapat idea kreatif ketika sedang mandi.
Secara umumnya, otak manusia akan akan melahirkan idea yang kreatif apabila mengalami salah satu daripada perkara berikut:
- Penghasilan dopamine di otak. Aktiviti seperti mendengar muzik dan mandi meningkatkan kadar pelepasan dopamin di otak.
- Berada dalam keadaan tenang. Dalam keadaan tenang, otak dapat berfikir dengan lebih mendalam.
- Berada dalam keadaan terganggu. Kegelisahan memberi otak kita rehat sehingga minda bawah sedar kita dapat bekerja untuk mencari solusi yang kreatif terhadap permasalahan.
Dalam kes ini, keadaan otak manusia yang berada dalam keadaan tenang ketika mandi menjadi punca bagaimana ianya mampu melahirkan idea yang kreatif. Persekitaran bilik mandi yang santai dan bersendirian membenarkan minda bergerak bebas tanpa sebarang prasangka.
Fungsi bahagian prefrontal cortex pada otak
Otak manusia merupakan satu organ yang sangat kompleks. Setiap bahagian otak mempunyai fungsinya yang tersendiri. Dalam hal ini, bahagian otak yang dikenali sebagai prefrontal cortex yang berfungsi menghasilkan idea-idea kreatif ketika sedang mandi ini.
Bahagian otak ini sememangnya diketahui berfungsi dalam merancang tingkah laku kognitif kompleks, ekspresi keperibadian, membuat keputusan, dan mengawal tingkah laku sosial .
Apabila anda sedang memikirkan tentang sesuatu perkara, otak anda akan terlalu fokus untuk mencari penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan. Akibatnya, skop pemikiran akan menjadi kecil. Sebaliknya, apabila anda berehat, anda melepaskan perhatian ini, yang membolehkan korteks meneroka dan berfikiran luas.
Apabila anda sedang melakukan perkara yang dianggap tidak produktif seperti mandi atau memandu, rangkaian neural yang berkaitan dengan pemikiran sedar akan dinyahaktifkan dan rangkaian yang membentuk Rangkaian Mod Lalai (Default Mode Network - DMN), bersamaan dengan mod auto-perintis neurologi diaktifkan. Maka, lahirlah idea-idea kreatif tersebut.
Catat idea secepat mungkin
Walaupun kita kadang-kala mendapat idea kreatif sewaktu sedang mandi, ada kalanya ia menjadi sia-sia kerana kita akan terus lupa akan idea tersebut tidak lama selepas mandi. Bagi mengatasi perkara ini, adalah dinasihatkan untuk kita mencatatkannya dalam buku atau menyimpan idea tersebut dalam telefon pintar sebaik sahaja selepas mandi.
Memiliki buku nota kecil untuk dibawa kemana-mana merupakan satu perkara yang bagus untuk diamalkan. Ramai pemikir, contohnya Perdana Menteri Malaysia kini, Dr. Mahathir Mohamed yang sentiasa membawa buku nota kecil kemana-mana sahaja untuk menulis idea yang terlintas difikiran tidak kira masa agar ianya tidak luput dari fikiran.
Kredit: