Bagi kita di Malaysia yang merupakan pengguna bahasa Melayu, kita menggunakan istilah 'huruf besar' dan 'huruf kecil' dalam membezakan kategori abjad yang kita gunakan.

Penamaan ini mula diperkenalkan ekoran perubahan sistem tulisan kita yang sebelum itu mengamalkan tulisan Jawi yang tidak mempunyai sistem huruf besar dan kecil, kepada sistem tulisan Rumi yang memperkenalkan dua kategori huruf berbeza yang digunakan mengikut situasinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Semasa kita belajar, kita diperkenalkan dengan konsep 'uppercase' dan 'lowercase' atau sistem 'capital and small letters' yang jauh lebih bersifat umum. Tahukah anda kenapa huruf besar dinamakan sebagai 'capital' dan kenapa istilah 'case' digunakan untuk mewakili huruf?

Sejarah ringkas sistem tulisan Rumi huruf besar dan kecil

roman tulisan huruf besar kecil

Satu masa dahulu sebelum pengenalan sistem penulisan huruf besar dan kecil, semua abjad yang digunakan untuk penulisan - sebenarnya hanya mengandungi huruf besar sahaja.

Bermula sekitar abad ke 2 semasa era pemerintahan Empayar Rom, huruf kecil Rumi masih belum dicipta jadi semua tulisan dibuat hanya menggunakan huruf besar Rumi sahaja mirip dengan simbol yang ada ketika ini.

Mereka menggunakan sistem tulisan berasaskan tulisan Latin yang dikenali dengan nama 'majuscule', direka agar kelihatan gagah dan kuat bagi melambangkan status penulisnya disebabkan oleh kemampuan menulis pada zaman tersebut, hanya terhad kepada individu yang berstatus tinggi.

Majuscule dibahagikan kepada tiga jenis sub-kategori; square capitals yang digunakan untuk kegunaan formal, rustic capitals untuk kegunaan penulisan di mana tulisannya lebih bebas bentuknya dan roman cursive yang digunakan oleh penulis bagi tujuan penghasilan nota, catatan rekod perniagaan, surat atau apa saja kegunaan tidak formal lain.

Huruf kecil Rumi yang kita ada sekarang, datang daripada evolusi dan perubahan yang berlaku kepada roman cursive, setelah usaha untuk meringkaskan simbol yang digunakan mula diperkenalkan bagi mempercepatkan proses penulisan.

Kenapa huruf besar digelarkan 'Capital Letter'?

sejarah capital uppercase lowercase

Zaman sekarang, apabila seseorang menulis dalam huruf besar atau 'capital letter' sepenuhnya dalam satu ayat, kita semua seolah faham itu menandakan penulisnya sedang menekankan penekanan mesej yang di bawa beliau dengan kuat.

Ada juga pihak menganggap penulisnya sedang MENJERIT!

Walaupun begitu, teknik itu sebenarnya sudah digunakan beratus-ratus tahun lamanya dan bukanlah ciptaan baru.

Pihak penerbitan suratkhabar gemar menggunakan huruf besar dalam tajuk utama siaran mereka, bagi menarik minat pembaca. Ketika era Rom sendiri, huruf pertama setiap penulisan akan dibuat besar dan dihiasi dengan lakaran bagi meningkatkan impak kepada pembaca.

Selain uppercase, istilah 'capital letter' juga digunakan untuk menamakan huruf besar. Kenapa ya?

"Capital' adalah istilah yang dipinjam daripada istilah Perancis, yang membawa makna 'ketua atau paling ulung dalam sesuatu'. Asalnya pula dari istilah Latin 'capitalis' yang membawa makna 'yang paling tinggi' atau 'ketua.'

Jadi penggunaan istilah 'capital' mula diperkenalkan sekitar abad ke 14 di kalangan pengguna bahasa Inggeris, sebenarnya untuk mewakili huruf yang mendahului pembinaan sesuatu ayat atau perkataan yang akan ditulis dalam huruf besar.

Tetapi akhirnya ekoran korupsi kepada pemahaman ini, penggunaannya berubah digunakan untuk turut merujuk kepada kategori huruf besar dalam sistem tulisan Rumi.

Dari mana datang pula 'Uppercase' dan 'Lowercase'?

type case typesetter zaman dahulu percetakan

Untuk mereka yang meminati kajian bahasa, salah satu persoalan yang mungkin anda tertanya adalah kenapa huruf dalam bahasa Inggeris dirujuk sebagai 'case'? Kita tahu 'case' boleh merujuk kepada bekas atau tempat untuk menyimpan sesuatu. 

Realitinya, itulah juga sejarah berkaitan asal-usulnya. 

Dalam industri percetakan moden yang bermula sekitar abad ke 14, pencetak-pencetak zaman tersebut melakukan semua proses cetak dengan menggunakan sistem bongkah sama ada bongkah kayu atau besi yang diukir dengan simbol huruf.

Huruf-huruf yang membentuk ayat/perenggan akan diatur oleh seorang individu digelarkan kompositor atau 'typesetter' yang bertanggungjawab menyusun semua tulisan menggunakan bongkah, menguncinya agar kemas dan mencetak susunan bongkah yang telah disapukan dakwat ke atas kertas.

Oleh kerana seorang kompositor akan bekerja dengan beribu-ribu bongkah huruf bergantung kepada penulisan yang akan dicetak, kompositor biasanya akan menguruskan semua acuan yang mereka guna ke dalam kotak kayu yang dinamakan 'type case.'

Sebuah 'type case' adalah sebuah kotak yang dibahagikan kepada beberapa bahagian di dalamnya, untuk memudahkan kompositor mendapatkan huruf yang mereka kehendaki agar kerja mereka lebih tersusun.

Disebabkan penggunaan huruf kecil yang berlaku lebih kerap dalam pembentukan sesuatu ayat, kompositor yang berpengalaman akan menyusun blok-blok huruf kecil agar lebih dekat dengan tangan mereka - disusun di bahagian bawah kotak itu atau 'lowercase.'

Sementara huruf-huruf besar yang jarang digunakan diletakkan di bahagian atas kotak, kerana hanya sekali-sekala perlu diambil. Dari situlah istilah 'uppercase' ini dipinjam. Selain huruf besar, simbol-simbol tanda baca serta simbol-simbol unik lain turut akan diletakkan di paras sama.

Dari situlah wujudnya istilah 'uppercase' dan 'lowercase'; hasil dari cara kerja susunan blok-blok acuan huruf yang digunakan pencetak-pencetak zaman dahulu yang membahagikan ruang kerja mereka mengikut susunan huruf besar dan huruf kecil dalam bekas kayu yang digunakan.

Kami harap terjawablah persoalan anda hari ini!




Hakcipta iluminasi.com (2017)