Kereta pertama penulis merupakan sebuah model Perodua Myvi lama. Myvi tersebut banyak berjasa kepada penulis dan yang lebih penting, sepanjang lebih 5 tahun menggunakannya - tak pernah ada problem sekali pun. Ini bukan iklan Perodua tau!

Bagaimanapun, berikutan jumlah ahli keluarga yang bertambah serta memerlukan ruangan bagasi yang lebih besar, Myvi yang banyak berjasa itu terpaksa dijual kepada kedai kereta terpakai untuk mendapatkan sebuah model baru.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dapat rasalah perbezaannya bawa kereta hatchback dengan kereta sedan. Daripada segi pemanduan dan yang penting, ruangan bagasi. Walaupun begitu, salah satu perkara yang merunsingkan penulis - kenapa Myvi ada penggilap cermin belakang (wiper) tetapi kereta sedan penulis yang baru tak ada? Perasan tak majoriti kereta sedan tak ada dilengkap fungsi ni kan?

Banyak teori internet berlegar-legar

kereta hatchback kotor

Jika kita baca teori orang ramai berkenaan isu ni, banyak juga pandangan dikongsikan. Ada yang tulis kereta sedan tidak memerlukan penggilap cermin belakang kerana bila memandu, angin boleh melalui kawasan permukaan cermin berbeza dengan kereta hatchback yang rata belakangnya.

Ini disebabkan oleh faktor aerodinamik dan bentuk kereta sedan yang lebih langsing berbanding kereta hatchback macam Myvi, yang nampak lebih bulat. Bagaimanapun, hujah ini nyata tidak mencukupi kerana ada banyak juga kereta sedan yang dipasangkan penggilap cermin belakang.

Selain teori itu, banyak teori mengatakan sudut pemasangan cermin kereta sedan lebih landai berbanding cermin sebuah hatchback. Perbezaan sudut pemasangan ini membolehkan air hujan jatuh dan terus mengalir pada sebuah kereta sedan, jadi habuk tak melekat pada permukaan cermin.

Manakala bagi sebuah kereta hatchback, ada yang kata air hujan tak boleh mengalir sendiri. Ada juga yang kata air hujan tak kena pada permukaan cermin disebabkan angin yang menolaknya terlebih dahulu. Seandainya air hujan tak kena pada permukaan cermin, kenapa perlu ada penggilap cermin belakang? Mesti ada penjelasan lebih tepat.

Bentuk sedan yang panjang membantu melindungi cermin

contoh kereta kotor sedan

Ada banyak sebenarnya jawapan kepada persoalan ini tetapi kita kena akui, tidak ada jawapan yang tepat. Teori yang mengatakan sebuah kereta hatchback memerlukan penggilap cermin belakang kerana angin tidak dapat melalui kawasan permukaan cermin belakang ada benarnya. Ini kerana bahagian cermin belakang kereta Myvi penulis dulu lebih cepat kotor berbanding kereta sedan.

Banyak pihak berpendapat, ekoran bentuk kereta hatchback yang lebih pendek serta tiada bahagian belakang atau 'punggung kereta', ini menyebabkan cermin belakang lebih terdedah pada kotoran yang terpercik daripada permukaan jalan. Untuk sebuah sedan, ruangan bagasi yang lebih panjang melindungi bahagian cermin daripada habuk dan kotoran di atas jalan.

Ada logiknya di situ kan? Tetapi pandangan ini tidak menjawab kenapa ada pula kereta sedan yang dipasangkan penggilap cermin belakang.

Kenapa ada kereta sedan yang dipasang wiper belakang?

subaru impreza ada wiper belakang

Sama seperti beberapa teori yang dikemukakan di atas, jawapan untuk persoalan ini sebenarnya ada pelbagai. Hakikatnya, tidak ada masalah untuk sebuah kereta sedan biasa dipasangkan penggilap cermin belakang. Penulis sendiri pernah berhadapan dengan situasi di mana penulis berharap fungsi itu ada untuk kereta baru penulis, ekoran keadaan cermin yang agak kotor selepas hujan.

Untuk menerangkan kenapa ada sedan yang mempunyai fungsi, ini sebenarnya sangat bergantung dengan versi kereta dan negara mana kereta itu dipasarkan. Sebagai contoh, Subaru Impreza di Jepun biasanya memiliki penggilap cermin belakang, namun bagi model sama pasaran Amerika Syarikat; fungsi itu dibuang.

Ada negara di mana pembeli lebih mementingkan soal praktikaliti, jadi fungsi tersebut tetap dikekalkan pada sebuah kereta sedan. Manakala ada negara di mana pembeli agak sensitif dengan bentuk penggilap cermin belakang yang mengganggu bentuk asal kereta, sehingga fungsi itu dibuangkan.

Di sesetengah negara pembeli lebih cenderung menumpukan kepada rekaan kenderaan itu, manakala di sesetengah negara lain - mereka tidak kisah kewujudan penggilap cermin belakang asalkan fungsi itu ada.

Di negara kita, penggilap cermin belakang untuk kereta sedan merupakan sesuatu yang unik dan jarang kelihatan. Ini menyebabkan minda kita secara kelompok menyimpan tanggapan 'kereta sedan tidak perlukan penggilap cermin belakang.' Walau bagaimanapun, ada masanya kita berharap kereta kita ada fungsi tersebut. Percayalah. Kami sokong penggilap cermin belakang dipasang pada semua jenis kereta sedan.#gengwiperbelakang




Hakcipta iluminasi.com (2017)