Sejak daripada kecil, mungkin kita sudah banyak kali perasan terdapat garisan putih di langit yang biasanya dihasilkan oleh kapal terbang yang melalui kawasan ruang udara tersebut.
Persoalannya, bagaimanakah garisan asap putih atau juga dikenali sebagai "contrail" ini wujud? Adakah semua kapal terbang akan menghasilkan garisan putih ini apabila terbang di udara?
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimanakah contrail terhasil?
Perkataan "contrail" sebenarnya berasal dari dua perkataan iaitu "condensation" dan "trail". Fenomena kejadian asap putih ini sebenarnya sama sahaja dengan kepulan wap yang terhasil apabila kita bernafas di kawasan yang mempunyai cuaca yang sejuk.
Kapal terbang atau jet akan meninggalkan jejak putih ini apabila ekzos yang panas dan lembap yang terhasil dari kapal terbang itu bercampur dengan lapisan atmosfera, yang pada ketinggian tinggi mempunyai tekanan wap jauh lebih rendah dan suhu yang lebih rendah berbanding gas daripada ekzos kapal terbang tersebut.
Wap air yang terkandung dalam asap ekzos kapal terbang mengeluwap (condense) dan boleh membeku dan proses pencampuran ini membentuk kepulan awan atau asap putih yang sangat mirip dengan yang wap yang dihasilkan oleh nafas panas anda sekiranya suhu persekitaran anda lebih sejuk.
Asap ekzos kapal terbang mengandungi karbon dioksida, oksida sulfur dan nitrogen, bahan bakar yang tidak terbakar, jelaga dan zarah logam serta wap air. Jelaga menyediakan tempat pemeluwapan untuk wap air. Sebarang zarah yang terdapat di udara menyediakan laman tambahan untuk proses pemeluwapan ini.
Contrail dan pemanasan global
Anda mungkin menganggap garis putih yang terhasil ini sebagai garis kecil di langit yang luas, tetapi sebenarnya membawa maksud yang tertentu. Bergantung pada ketinggian pesawat dan suhu dan kelembapan atmosfera, akan terjadinya perbezaan bentuk contrail dari segi ketebalan, tahap dan jangka masa mereka. Menariknya, sifat dan ketahanan contrail dapat digunakan untuk meramalkan cuaca.
Contrail yang nipis dan hanya wujud dalam jangka masa pendek sahaja menunjukkan udara dengan kelembapan rendah pada ketinggian tinggi. Ini bermakna cuaca adalah cerah. Sekiranya contrail yang dihasilkan tebal dan tahan lama ia mencerminkan udara lembap pada ketinggian tinggi dan dapat menjadi petunjuk awal ribut.
Contrail boleh terhasil dan kekal sepanjang puluhan kilometer. Kemudian, angin dapat menyebarkannya. Contrail juga boleh kekal di udara selama berjam-jam lamanya. Oleh kerana banyak pesawat melalui ruang udara yang sama, contrail baru dan lama boleh bercampur dan berkumpul, membentuk kepulan asap seperti awan dikenali sebagai “contrail cirrus”.
Pembentukan awan contrail cirrus yang semakin membesar ini boleh menimbulkan masalah dalam jangka masa panjang. Satu kajian yang dilakukan mendapati peningkatan aliran trafik di udara menyebabkan kesan “contrail cirrus” yang berfungsi sebagai perangkap haba pada tahun 2050 bakal menjadi 3 kali ganda lebih banyak berbanding 2006.
Awan ini akan memerangkap haba yang terhasil daripada Bumi dan menghalangnya untuk bebas ke angkasa. Kejadian ini seterusnya akan menyebabkan peningkatan suhu dan iklim Bumi, seterusnya menyebabkan pemanasan global.
Contrail vs Pembuangan bahan api
Contrail dan pembuangan bahan api (fuel dumping) dengan sengaja adalah dua perkara yang berbeza, walaupun kedua-duanya akan menghasilkan garisan putih di ruang udara. Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapakah kapal terbang atau jet perlu membuang bahan api dengan sengaja?
Secara umumnya, terdapat perbezaan berat sesebuah pesawat apabila berlepas dan melakukan pendaratan. Sebelum melakukan sesuatu pendaratan, pesawat tersebut perlulah mencapai sasaran berat tertentu untuk memastikan ianya selamat melakukan pendaratan.
Oleh itu, jumlah bahan api yang dimasukkan ke dalam tangki pesawat tersebut sebelum melakukan penerbangan perlulah mengambil kira perjalanan yang dilakukan oleh pesawat tersebut. Tetapi ada kes-kes tertentu apabila pesawat harus segera mendarat kembali setelah berlepas kerana kecemasan seperti dilanggar burung, kegagalan sistem dan lain-lain.
Namun, juruterbang pesawat tidak dapat mendarat kembali dengan muatan bahan api yang hampir sama dengan pesawat memandangkan pesawat baru sahaja berlepas. Mendarat dengan beban seperti itu akan menyebabkan kerosakan pada gear pendaratan dan juga strukturnya.
Pada 23 Mac 2018, seorang wanita berusia 60 tahun dalam penerbangan dari Shanghai ke New York mula mengalami masalah pernafasan tidak selepas berlepas. Ketika itu badannya mulai longlai dan tidak sedarkan diri. Juruterbang yang bertugas tahu ada satu perkara yang harus dilakukan untuk menyelamatkannya, dengan membuang lebih dari 65,000 paun (sekitar 27215 liter) bahan api ke udara.
Walaupun tindakan tersebut menyebabkan bekalan bahan api bernilai $20,000 terpaksa dibuang begitu sahaja, ia adalah satu-satunya tindakan yang perlu dilakukan sebelum pendaratan kecemasan boleh dibuat dengan segera. Pendaratan kecemasan berjaya dilakukan di Anchorage, Alaska dan penumpang tersebut sempat dimasukkan ke hospital.
Chemtrail, sekadar teori konspirasi
Jika "contrail" terhasil daripada perkataan "condensation" dan "trail", bagi peminat teori konspirasi mereka percaya bahawa garisan putih yang terhasil di langit itu adalah "chemtrail", iaitu gabungan perkataan "chemical" dan "trail". Apa itu chemtrail?
Peminat teori konspirasi percaya ianya adalah tindakan kerajaan atau pihak tertentu melakukan semburan bahan kimia berbahaya kepada penduduk yang boleh menyebabkan mereka jatuh sakit. Mereka percaya juga chemtrail adalah usaha mengawal populasi manusia, memanipulasi cuaca dan ujian senjata kimia/biologi.
Sebenarnya teori chemtrail bukanlah baru malah para saintis sudah lama menolak teori mengarut ini sejak tahun 1990-an ini. Tapi seperti biasa, peminat teori konspirasi yang malas membaca dan mengkaji sains kebiasaannya hanya menerima bulat-bulat sahaja apa yang dikongsi oleh peminat teori konspirasi lain yang sama pemikiran dan idealogi dengannya.
Mungkinkah mereka tidak pernah mengetahui penjelasan daripada aspek sains bagaimana garisan putih itu terjadi secara semulajadi?
Kredit: