Terdapat banyak jenis dadah jalanan yang digunakan oleh penagih, seperti meth, heroin, ganja dan kokain. Namun, jarang sekali kita dengar tentang kes penggunaan dadah Flakka di Malaysia. Mungkin ianya tidak wujud di negara kita, mungkin wujud namun dalam jumlah yang kecil. Apapun sebabnya, ia tidak menghalang anda untuk mempelajari sedikit sebanyak tentang dadah ini dalam artikel kali ini. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apakah Sebenarnya Flakka?

dadah flakka

Flakka atau nama saintifiknya alpha-pyrrolidinopentiophenone (alpha-PDP), adalah sejenis perangsang yang meningkatkan kewaspadaan, perhatian dan tenaga. Flakka terletak di bawah kategori dadah, dan kebanyakannya dihasilkan di China, dan dijual dengan harga purata RM20 untuk setiap dos. Dadah sintetik ini bukan sahaja bahaya kepada penggunanya, malah kepada orang lain, di samping ketagihan yang susah untuk dibuang. 

Dadah yang dijual dalam warna sama ada putih atau merah jambu ini berupaya memberikan perasaan euforia (lalok) yang hebat, dan turut membuatkan penggunanya memperolehi tenaga dan kekuatan luar biasa, di samping membuatkan hilangnya rasa sakit. Antara komplikasi ataupun kesan dadah ini adalah peningkatan tekanan darah, boleh menyebabkan strok dan serangan jantung, serta tingkah laku yang sangat agresif. 

Pada dos yang tinggi, Flakka boleh menyebabkan suhu badan meningkat melebihi 40 darjah Celcius, dan perubahan suhu ini adalah sangat berbahaya kerana akan menyebabkan otot-otot badan rosak, di samping mengakibatkan kerosakan buah pinggang. Terdapat banyak kes yang menunjukkan kesan Flakka, seperti dalam senarai di bawah.

Flakka Menyebabkan Manusia Menjadi Seperti Zombie

Terdapat sebab mengapa Flakka digelar sebagai dadah zombie. Apabila seseorang mengambil terlalu banyak dadah ini, serat otot dalam badan penggunanya akan mula menjadi lemah. Badan mereka akan mula bergerak tanpa kawalan, kadang kala kepala mereka akan jatuh ke bahu, pada waktu lain anggota badan mengeras. Flakka mengaktifkan suatu respon di dalam otak penggunanya untuk menjadi sangat ganas, menyebabkan ketakutan ramai. 

Flakka Menyebabkan Hilang Deria Sakit

Deria sakit dicipta bersebab. Apabila sakit, badan cuba memberitahu kita bahawa sesuatu sedang berlaku supaya kita boleh mengambil sesuatu tindakan tertentu. Kadang kala, ia menyelamatkan nyawa kita. Dengan Flakka, deria ini dilihat seolah-olah hilang.

Video di atas memaparkan seorang lelaki yang sedang lalok dengan Flakka. Dia muncul di hospital dengan kesan tembakan peluru di mukanya. Walaupun dengan kecederaan sedemikian, dia dilihat seolah-olah tidak merasa sakit, dan terus berjalan dengan badan membengkok ke belakang, sambil gelak dan menjerit kepada mereka yang cuba membantu. Dia kelihatan seolah-olah dirasuk jin. 

Flakka Memberi Kekuatan Luar Biasa

Siapa sangka Flakka boleh memberi kekuatan luar biasa kepada penggunanya. Dalam sebuah kejadian di Amerika Syarikat, seorang lelaki bernama James West telah cuba untuk memasuki ibu pejabat polis. Selepas mengambil Flakka, dia menjadi paranoid mengatakan bahawa terdapat 25 buah kereta yang mengejarnya dan cuba untuk melanggarnya. Dia cuba untuk mendapatkan bantuan pihak berkenaan dengan bergegas ke ibu pejabat polis. 

Gagal untuk membuka pintu bangunan tersebut, James cuba memecahkan pintu utama dengan menendangnya. Pintu yang merupakan kalis taufan itu akhirnya berjaya dipecahkan menggunakan batu. Jika dilihat di video di atas, kita dapat melihat kekuatan luar biasa James yang menggegarkan pintu tersebut sebelum memecahkannya. 

Flakka Memberikan Keberanian Luar Biasa

Mereka yang lalok dengan Flakka bukan sahaja ganas dan agresif, malah mereka menjadi terlalu berani. Mereka akan melakukan perkara yang manusia normal tidak pernah terbayang untuk melakukannya. Dalam sebuah kes di Amerika Syarikat, seorang lelaki telah cuba untuk melanggar seorang polis dengan membawa kereta pada kelajuan 160 kilometer sejam ke arah anggota keselamatan itu. Polis berkenaan terselamat kerana berjaya mengelak. Apabila ditahan, lelaki tersebut memohon maaf dan berkata bahawa Flakka yang membuatkannya bertindak sedemikian. 

Flakka Boleh Dibeli Secara Atas Talian

jualan dadah flakka atas talian

Bukan untuk menggalakkan, namun itulah realiti sebenar tentang dadah ini. Terdapat lebih daripada 150 buah syarikat China yang menjual Flakka di atas talian. Syarikat yang terbesar adalah Kaikai Technology Co., sebuah syarikat yang dijalankan oleh seorang drug lord yang bernama Bo Peng. Dia percaya dengan menjual secara atas talian dapat memasarkan dadah tersebut secara besar-besaran ke seluruh dunia. Harga jualan atas talian adalah $USD1,500 untuk setiap kilogram Flakka, bersamaan dengan $USD50,000 harga jalanan. 

Kesimpulan

jauhi dadah demi masa depan

Buat masa ini, penggunaan dadah Flakka di Malaysia masih belum dapat dilihat dengan jelas, Mungkin sudah ada di Malaysia, mungkin tidak. Namun, harus diingatkan terutamanya kepada anak muda bahawa dadah membawa padah, apa pun jenisnya. Walaupun hanya bermula sekadar suka-suka, ketagihan dadah sangat susah untuk dibuang, dan tabiat ini kerap kali dibawa sehingga tua. Walaupun perasaan ingin tahu anda itu tinggi, simpanlah ia, dan gunakan untuk perkara yang lebih berfaedah untuk masa depan anda. 

Rujukan:

  1. listverse.com
  2. thesun.co.uk



Hakcipta iluminasi.com (2017)