Perasan atau tidak, teknologi banyak memudahkan kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, penggunaan kereta atau motorsikal sememangnya mempercepatkan dan memudahkan perjalanan kita dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain jika dibandingkan dengan berbasikal atau berjalan kaki,
Selain itu, kita juga tidak dapat menolak kebergantungan kepada telefon mudah alih untuk berhubung dengan orang lain, melakukan kerja dan sebagainya. Namun, tahukah anda pada zaman serba moden ini sememangnya terdapat golongan yang menolak kebergantungan kepada teknologi.
BESARKAN TEKS A- A+
Menariknya, penolakan terhadap teknologi ini bukanlah kerana faktor geografi (seperti orang asli yang tinggal dalam hutan dan jauh daripada manusia) atau faktor-faktor mendesak yang lain sebaliknya penolakan ini dibuat atas pilihan mereka sendiri kerana tuntutan agama.
Sejarah Amish
Dikenali sebagai Amish, mereka ni adalah golongan daripada persekutuan gereja tradisional Kristian berasal dari Swiss Jerman dan Alsatian Anabaptist. Kumpulan ini berkait rapat dengan, tetapi datang daripada cabang yang berbeza dari gereja Mennonite.
Orang Amish terkenal dengan gaya hidup sederhana, berpakaian sederhana, konservatif Kristian dan lebih lambat menerima banyak kemudahan teknologi moden dengan alasan tidak mahu mengganggu waktu bersama keluarga dan menggantikan perbincangan (komunikasi) secara bersemuka.
Gerakan Anabaptis, dari mana golongan Amish ini kemudiannya muncul, bermula dari Huldrych Zwingli (1484-1531) yang memimpin Reformasi awal di Switzerland. Gerakan Switzerland ini, yang merupakan sebahagian dari Reformasi Radikal, kemudian dikenali sebagai Swiss Brethren.
Kumpulan ini timbul dari perpecahan abad ke-17 di gereja Anabaptis oleh pengikut Jakob Amman, seorang menteri Switzerland yang percaya bahawa penganutnya harus "mematuhi ajaran Kristian dan pesuruhnya (dikenali sebagai apostles)" dan "meninggalkan dunia" dalam kehidupan seharian mereka.
Perkataan "Amish" berasal dari namanya bagi merujuk kepada golongan yang berpecah dan menjadi pengikutnya.
Migrasi ke Amerika Syarikat
Amish mula berhijrah ke Pennsylvania kerana kurangnya penganiayaan agama di sana (berbanding Eropah) dan tawaran tanah yang menarik di sana pada awal abad ke-18. Tawaran tanah ini amat penting kerana mereka amat bergantung dengan aktiviti bercucuk tanam.
Kumpulan Amish pertama berhijrah secara besar-besaran antara tahun 1717 dan 1750 dimana kira-kira 500 orang Amish berhijrah ke Amerika Utara, terutama ke wilayah yang kemudiannya dikenali sebagai Berks County di Pennsylvania.
Mereka kemudiannya terpaksa berhijrah pula ke tempat lain apabila menghadapi masalah status tanah dan berasa terancam akan keselamatan mereka kerana kawasan tersebut mempunyai kaitan dengan Perang Perancis dan India (1754–1763).
Ramai akhirnya menetap di Lancaster County. Gelombang kedua penghijrahan pula melibatkan sekitar 1,500 orang yang tiba pada pertengahan abad ke-19 dan menetap di Ohio, Illinois, Iowa dan Ontario Selatan (Kanada).
Pertanian sebagai aktiviti ekonomi utama
Dengan aktiviti pertanian menjadi aktiviti ekonomi mereka dan populasi mereka yang berkembang pesat kerana keluarga besar, orang Amish yang tidak ingin dipengaruhi oleh cara hidup moden selalunya mencari tanah baru berjauhan dari kawasan bandar.
Setelah awalnya menetap di Ohio, mereka kini sudah berada di 30 negeri dan juga Kanada. Ohio mempunyai penduduk Amish terbesar diikuti oleh Pennsylvania dan Indiana.
Amish adalah salah satu kumpulan penduduk yang paling cepat berkembang di Amerika. Menurut pihak Young Center for Anabaptist and Pietist Studies di Elizabethtown College di Lancaster, populasi Amish telah meningkat dari sekitar 5,000 pada tahun 1920 menjadi hampir 300,000 orang sekarang.
Dan sebahagian besar pertumbuhan itu berlaku dalam tiga dekad terakhir. Pertubuhan itu menganggarkan terdapat 84,000 orang Amish pada tahun 1984, yang bermaksud jumlah penduduknya meningkat tiga kali ganda pada masa itu.
Ledakan pertambahan penduduk ini juga berpunca dari kepercayaan mereka terhadap keluarga besar yang dilihat sebagai berkat dari Tuhan. Jumlah anak-anak yang ramai juga bermakna mereka dapat menyediakan tenaga kerja untuk perusahaan pertanian mereka.
Namun, dalam 1 abad yang lalu, terdapat peningkatan jumlah Amish yang telah terlibat dalam perusahaan perniagaan terutamanya dalam bidang pertukangan dan penjualan produk pertanian.
Mereka juga membentuk kru pembinaan yang membina rumah dan bangunan lain untuk orang bukan Amish dan kadang-kadang bekerja di kilang dan bengkel milik orang Inggeris seperti di Indiana yang mengeluarkan kenderaan rekreasi.
Penerimaan terhadap teknologi
Kehidupan Amish biasanya berpandukan oleh "Ordnung," perkataan bahasa Jerman yang bermaksud pesanan. Peraturan sesebuah kumpulan Amish berbeza dari satu komuniti ke satu komuniti.
Sebilangan besar kumpulan Amish melarang memiliki kenderaan, menggunakan elektrik dari talian utiliti awam, menggunakan mesin pertanian sendiri, memiliki televisyen, radio dan komputer, menghadiri sekolah menengah dan kolej, menyertai tentera dan memulakan perceraian perkahwinan.
Mengambil gambar adalah dilarang kerana gambar tersebut dapat menimbulkan kesombongan peribadi yang bertentangan dengan larangan gereja tentang "hochmut", perkataan yang bermaksud kebanggaan dan kesombongan.
Orang Amish tidak menganggap teknologi itu satu "kejahatan", tetapi mereka percaya bahawa ia berpotensi membawa asimilasi atau pengaruh buruk ke dalam budaya masyarakatnya. Teknologi media massa khususnya, mereka khuatir akan memasukkan nilai asing ke dalam budaya mereka.
Begitu juga dengan penolakan mereka terhadap kenderaan berenjin. Penggunaan kenderaan moden akan meningkatkan mobiliti seterusnya memisahkan masyarakat (kerana setiap individu bebas kemana sahaja) dan mengikis hubungan antara masyarakat tempatan.
Pengangkutan tradisional seperti kereta kuda lebih menjadi pilihan kerana komuniti mereka tidak dapat bergerak jauh ke luar kawasan geografi tempatan. Perjalanan yang dekat ini memastikan mereka sentiasa berhubung antara satu sama lain.
Gaya hidup unik
Kelompok Amish ini juga terbahagi kepada beberapa kumpulan atau mazhab dimana setiap satunya mempunyai perbezaan pantang larang yang mesti dipatuhi.
Terdapat empat kumpulan utama - Old Order, New Order, Beachy Amish dan Amish Mennonites - dengan banyak subkumpulan dan peraturan yang berbeza dalam kategori ini. Sebagai contoh, pengikut Beachy Amish dan Amish Mennonite dibenarkan memandu kereta dan menggunakan elektrik sementara kumpulan yang lain menggunakan kereta kuda.
Secara umumnya, orang Amish memakai pakaian yang "plain" dan tidak bercorak dengan warna yang tidak menarik perhatian. Terdapat beberapa kumpulan Amish yang pakaiannya terhad kepada hitam dan putih sementara yang lain membenarkan warna yang lembut.
Penggunaan butang, zip dan velcro juga dilarang kerana ianya berupaya menimbulkan sikap ujub dan menunjuk-nunjuk. Sebaliknya, mereka hanya menggunakan pin atau cangkuk.
Aspek yang paling terkenal dalam kehidupan sosial Amish adalah "Rumspringa," yang bermaksud "berkeliaran" dalam dialek Jerman Pennsylvania. Inilah masanya, bermula pada sekitar usia 16 tahun, golongan remaja dibenarkan bergaul dengan rakan mereka pada hujung minggu untuk mencari jodoh.
Selain memperkenalkan lelaki dan wanita muda antara satu sama lain, tempoh ini adalah masa penting ketika pemuda Amish perlu memutuskan apakah mereka akan dibaptis dan bergabung dengan gereja (yang biasanya berlaku antara 18 dan 21 tahun), atau meninggalkan komuniti Amish.
Kredit: