bahan kimia paling berbahaya

Ilmu kimia melengkapkan diri kita dengan pengetahuan berguna, bukan saja dengan pelbagai sebatian kimia yang boleh digunakan dalam bidang perubatan dan penyelidikan, malah ada juga bahan-bahan kimia ini yang datang dalam bentuk berbahaya yang boleh mengakibatkan kematian.

Mari kenali 7 bahan kimia popular yang paling bertoksik dalam dunia.

#1 Botulinum toxin A (Botox)

Bahan kimia ini dijual secara komersial dengan panggilan botox. Ia sebenarnya merupakan sejenis protein neurotoksik yang dihasilkan daripada bakteria bernama Clostridium botulinum dan spesies lain yang berkaitan.

Menurut kamus istilah perubatan DBP, neurotoksik bermakna kesan buruk sebatian tertentu terhadap sistem saraf seperti lumpuh, depresi sistem saraf pusat, kegagalan pernafasan dan kematian yang terjadi akibat kerosakan atau gangguan fungsi sistem saraf. 

cucuk botox

Penggunaan mana-mana bahan neurotoksin sebanyak 1 gram sudah boleh membunuh 8.3 juta orang sekiranya disuntik.

Walaupun boleh membunuh, botox masih digunakan untuk merawat peluh berlebihan dan kekejangan otot dalam dos yang tersangat kecil. Ia juga sangat popular dalam dunia pembedahan kosmetik di mana ia sering digunakan sebagai ejen anti-penuaan kerana ia mampu melumpuhkan otot yang menyebabkan kedutan.

#2 Chlorine Trifluoride

Bahan kimia ini merupakan sebatian interhalogen (hanya mempunyai atom halogen) dengan formula kimia CIF-3. Disebabkan ia merupakan ejen pengoksida yang lebih kuat daripada oksigen, ia amat mengakis dan boleh menyalakan api walaupun dengan bahan tidak mudah terbakar seperti asbestos, tungsten dan pasir.

nazi sepatutnya menggunakan cif 3 untuk meruntuhkan kubu pihak lawan semasa perang dunia kedua

Disebabkan sifatnya yang sangat reaktif, gas ini pernah dipertimbangkan oleh pihak Nazi di Jerman untuk digunakan semasa Perang Dunia Kedua sebagai senjata pemusnah besar-besaran. Ketika itu, 30-50 tan gas ini dihasilkan untuk menghancurkan kubu pihak lawan dengan membakar menggunakan flamethrower. Walau bagaimanapun, senjata ini akhirnya tidak pernah digunakan sepanjang perang itu berlangsung.

Bayangkanlah jika ia digunakan. Pihak lawan memang takkan boleh padam api tu guna cara biasa.

#3 Batrachotoxin

Ini merupakan bahan kardiotoksik dan neurotoksik yang boleh didapati secara semula jadi daripada sesetengah spesies katak seperti katak poison dart ataupun daripada makhluk lain seperti burung ifrit berkepala biru, kumbang melyrid dan lain-lain lagi.

katak golden poison dart paling beracun dalam dunia

Batrachotoxin akan bertindak dengan membuka saluran ion sel saraf secara kekal yang akan menghalang komunikasi antara otot seterusnya melumpuhkan mangsa. 

#4 Karbon monoksida

Karbon monoksida merupakan gas yang tidak berwarna, tidak berbau dan sangat beracun. Ia dihasilkan daripada pembakaran tidak sempurna bahan bakar organik seperti arang, diesel dan kayu.

Karbon monoksida merupakan salah satu gas beracun utama yang boleh didapati daripada ekzos kenderaan. Selain itu, ia juga terhasil daripada asap rokok. Sebab itulah anda tidak boleh merokok berdekatan anak kecil!

karbon monoksida

Gas ini akan mengikat bersama hemoglobin protein sehingga memberikan kesan kepada kapasiti pembawaan oksigen dalam darah. Sekiranya seseorang terdedah kepada persekitaran dengan kadar karbon monoksida sebanyak 1.28%, individu itu akan mula tidak sedarkan diri hanya selepas 2 atau 3 nafas dan boleh mati dalam masa hanya 3 minit.

#5 Ricin

Ricin merupakan bahan kimia semula jadi yang diketahui boleh memberikan kerosakan kepada ribosom (pembina sel protein) dalam badan manusia.

Ia dihasilkan daripada minyak pokok jarak (ricinus communis) dan dos terkecil serbuk ricin sahaja sudah boleh membunuh manusia dengan merosakkan organ-organ utama.

pokok jarak ricinus communis

#6 VX

Namanya sahaja sudah mempunyai ton yang tidak begitu menyenangkan. Dihasilkan daripada organofosfat yang sangat bertoksik (salah satu ester asid fosforik), VX merupakan bahan kimia yang tidak berbau dan tidak mempunyai sebarang rasa. Ia dikenali sebagai cecair ejen saraf yang boleh melumpuhkan sistem saraf pusat manusia.

vx ejen saraf

Bahan kimia inilah yang digunakan untuk membunuh Kim Jong-Nam di KLIA awal tahun ini. Anda boleh lihat sendiri betapa dahsyatnya bahan kimia ini membunuh. Tiba-tiba sahaja mangsa boleh terus mati.

Sedikit sahaja kuantiti VX iaitu sebanyak 10 miligram sahaja yang diperlukan untuk membunuh seorang manusia dewasa melalui sentuhan kulit. Malah, ia dikatakan ejen saraf paling beracun yang pernah disintesiskan oleh manusia dan teknologi. Disebabkan itulah penggunaan VX sebagai senjata kimia diharamkan oleh Konvensyen Senjata Kimia pada tahun 1993.

#7 Asbestos

Asbestos sebenarnya bukanlah terdiri daripada 'sejenis' bahan saja. Ia merupakan satu set yang terdiri daripada 6 jenis mineral silikat semula jadi yang mana kesemuanya mempunyai kristal berserat.

Disebabkan sifat-sifat fizikalnya seperti kalis api, menyerap bunyi, penebatan terma dan mempunyai kekuatan tegangan yang baik, asbestos amat popular sebagai salah satu bahan utama dalam pembinaan bangunan pada zaman dahulu.

asbestos

Walau bagaimanapun, kristal berserat asbestos ini boleh terkumpul dalam paru-paru dan menyebabkan penyakit respiratori digelar asbestosis. Berbeza dengan bahan-bahan kimia lain dalam artikel ini, asbestos boleh mengambil masa yang panjang untuk membunuh manusia. Mungkin bertahun lamanya. Namun, ia merupakan sejenis 'racun perlahan' yang masih membawa maut.

tentera amerika dulu menggunakan bahan kimia agent orange semasa perang vietnam

Selain daripada 7 bahan kimia di atas, ada lagi bahan-bahan kimia lain yang berbahaya seperti Alpha-Amanitin yang boleh didapati daripada beberapa spesies cendawan, 2,3,7,8-Tetrachlorodibenzo-p-dioxin ataupun lebih dikenali sebagai Agent Orange yang digunakan semasa Perang Vietnam, Arsenic, Nicotine, Anthrax, Sarin dan banyak lagi.

Kadang-kadang kita tak tahu pun sesetengah bahan kimia ini membunuh. Ada yang dicipta oleh manusia, ada juga yang boleh didapati secara semula jadi. Jadi, jangan ingat semua benda 'natural' itu selamat ya.

Paling penting sekali, siapa cucuk botox tu dah sah-sahlah muka dia tiruan.

Rujukan:

1. Medical Daily

2. National Center for Biotechnological Information

3. Newsweek

4. Centers for Disease Control and Prevention


tags : , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)