senapang punt

Pada abad ke-19, telah berlakunya kekurangan bekalan daging akibat permintaan yang semakin tinggi terutamanya di Amerika Utara. Selain itu, permintaan terhadap bulu haiwan dan pelepah burung juga semakin meningkat dalam industri fesyen.

Ramai para pemburu haiwan ketika itu mencari peluang untuk memenuhi permintaan pasaran itu. Mereka melengkapkan diri mereka dengan pelbagai senjata termasuk senapang paling canggih pada waktu itu.

Dalam banyak jenis senapang yang mereka gunakan untuk memburu, beberapa antaranya merupakan senapang gergasi buatan sendiri. Pada waktu itu, pemburu bebas untuk menggunakan cara sendiri kerana tidak banyak undang-undang dan sekatan yang dikenakan untuk mereka memburu.

memburu unggas air

Bagi pemburu, segala perbuatan mereka biasanya tidak bercerminkan kepada aspek moral tetapi hanya menitikberatkan aspek komersial sahaja bagi memperolehi keuntungan yang maksimum. Salah satu senapang gergasi yang pernah dibina untuk memburu adalah 'senapang punt' yang terkenal.

Bagi sesiapa yang pernah menyaksikan filem Ali Baba Bujang Lapok lakonan seniman P. Ramlee, anda pasti pernah melihat senapang yang digunakan oleh "Chief" yang digelar sebagai 'senapang gajah' di dalam salah satu babaknya. Ia adalah salah satu daripada jenis senapang punt.

Senapang gergasi seberat 45kg hingga 50kg itu mendapat namanya kerana sering dipasang pada bot kecil atau sampan rata yang dikenali sebagai 'punt'. Senapang bersaiz purata tiga meter panjang ini mempunyai saiz muncung senapang 5cm diameter. Ia boleh menembak sehingga 0.5kg bahan letupan dan mampu membunuh sekurang-kurangnya 90-100 unggas air dengan satu tembakan tunggal.

senapang punt 3

Senapang punt paling besar yang pernah dihasilkan ialah "Tom Irish", seberat 135kg dan lebih daripada 4 meter panjang. Manakala senapang punt paling kecil pula adalah Cannon Herfurth yang hanya seberat 12kg sahaja.

Para pemburu haiwan ini biasanya bekerja dalam kumpulan yang terdiri daripada lapan hingga sepuluh orang. Mereka akan menggabungkan senapang punt mereka untuk mendapatkan hasil unggas air yang maksimum ketika memburu.

Salah seorang pemburu bernama Ray Todd mendakwa, dia dan tiga pemburu lain yang menggunakan senapang patah gergasi itu berjaya menembak mati 419 ekor itik dengan sekali tembakan. Mereka berjaya melakukannya ketika segerombolan besar haiwan itu yang dipercayai hampir satu kilometer panjang sedang terbang di hadapan mereka.

senapang punt 2 490

Selepas tembakan pertama itu, itik-itik itu terkejut dan terbang jauh. Tidak lama selepas itu mereka kembali terbang dan mencari makanan. Ray Todd bersama kumpulannya membuat tiga lagi tembakan sepanjang malam itu.

Menjelang waktu subuh, mereka berjaya membunuh lebih daripada 1,000 ekor itik dengan hanya empat tembakan menggunakan empat senapang patah punt itu. Mereka membawa pulang hasil buruan pada malam itu dan menjualnya dengan harga $3.50 sepasang di Baltimore. Ia merupakan malam pemburuan terbaik yang pernah mereka lakukan.

Walau bagaimanapun, memburu dengan senapang punt ini bukanlah sesuatu yang mudah. Selain memerlukan kumpulan yang besar, mereka perlu berhati-hati, sabar menunggu dan mendayung dengan begitu perlahan di dalam tasik. Mereka perlu melakukan perkara ini agar unggas air tidak terkejut dan melarikan diri.

senapang punt ditembak dari atas sampan

Senapang besar ini akan dipasang oleh pemburu pada sampan mereka. Untuk mendapatkan tembakan yang tepat, mereka terpaksa menggerakkan sampan sekali. Mereka juga perlu menunggu peluang yang baik untuk menembak. Ini kerana selepas satu tembakan, itik-itik yang mereka buru itu tidak akan kembali untuk masa beberapa jam.

Tujuan mereka memasang senapang gergasi itu pada sampan adalah untuk menyerap daya tembakan yang kuat. Satu tembakan akan membuatkan sampan mereka berundur ke belakang. Sekiranya mereka meletakkan senapang itu pada bahu, ia boleh mengakibatkan kecederaan yang serius atau boleh menyebabkan kematian.

Akibat penggunaan senapang punt dan pemburuan yang berleluasa ini, bilangan unggas air di Amerika Syarikat telah menurun secara dramatik. Kerajaan Amerika Syarikat terpaksa campur tangan dan mengharamkan penggunaan senapang gergasi ini seawal tahun 1860-an.

punt gun 520

Selepas itu, banyak lagi undang-undang yang telah diperkenalkan Amerika Syarikat yang diperkenalkan bagi pemburuan burung atau unggas air yang terancam. Pada tahun 1918, undang-undang persekutuan telah mengharamkan amalan pemburuan ini secara komersial.

Senapang punt ini juga pernah digunakan secara meluas di United Kingdom pada suatu masa dahulu. Pada tahun 1995, jumlahnya berkurangan kepada hanya 50 unit sahaja di seluruh negara.

Kerajaan United Kingdom telah menghadkan saiz diameter senapang punt di sana dengan ukuran maksimum sebanyak 1.75 diameter sahaja. Sehingga hari ini, masih ada senapang punt yang masih digunakan di sana.

senapang punt jubli

Sejak sambutan Jubli Berlian Ratu Victoria yang diadakan pada tahun 1897, senapang punt ini telah digunakan setiap tahun semasa sambutan itu di Cowbit Wash di Lincolnshire, England. Baru-baru ini, 21 tembakan hormat senapang punt telah dilepaskan pada Jubli Berlian Ratu Elizabeth II.

Kini, undang-undang persekutuan hanya membenarkan penggunaan senapang yang mempunyai 10 tolok sahaja ketika memburu. Selain itu, pemburu juga dikehendaki mempunyai lesen menembak, lesen senjata, permit memburu dan mengikuti peraturan musim memburu yang ketat.

Rujukan :

1. Rare Historical Photos

2. Mashable

3. NRA Family



Hakcipta iluminasi.com (2017)