Budaya K-pop (Korean Pop) semakin mendapat sambutan dan popularitinya meningkat di seluruh dunia. Akan tetapi, di China ramai yang berpendapat bahawa budaya ini mengancam dan memusnahkan masa depan negara itu.

Untuk memerangi ancaman itu, seorang bekas guru sekolah telah menubuhkan Kelab Latihan Lelaki Sejati. Kelab itu menyediakan kem bina diri untuk kanak-kanak bagi mempersiapkan mereka menjadi seorang lelaki alpha yang lasak, gagah dan berani.

Kelab Latihan Lelaki Sejati yang berpusat di Beijing itu menawarkan ahli-ahlinya dengan pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan keunggulan mereka seperti American football, gusti atau tinju. Selain itu, mereka juga menyediakan trek bagi membina perwatakan ahli seperti laluan di padang pasir dan kawasan pergunungan.

kelab latihan lelaki sejati 2

Pengasas kelab itu, Tang Haiyan, mengetuai remaja lelaki sambil menepuk dada dan menjerit melaungkan slogan mereka untuk membina keyakinan. Mereka juga dipakaikan pengikat kepala yang bertulis "Lelaki Sebenar"

Malah, baju dan seluar trek yang mereka pakai juga tertera kata-kata bahasa Inggeris seperti "Anything is Possible" dan "Power Leader". Semua ini dilakukan untuk mewujudkan perwatakan lelaki 'macho' pada kanak-kanak ini, sesuai dengan persepsi Tang Haiyan tentang kelelakian.

Perkara ini dapat mengelakkan kanak-kanak ini daripada terjerumus ke dalam budaya K-pop yang memberi kesan buruk terhadap mereka. Ada yang berpendapat budaya K-pop ini sebagai membuang masa, wang dan merosakkan pemikiran.

kelab latihan lelaki sejati 3

Tang Haiyan ketika ditemuramah olah Los Angeles Times mengenai peningkatan budaya K-pop di China berkata, sekiranya kanak-kanak terus menyanjungi dan mengangkat artis-artis ini maka ia adalah satu malapetaka bagi negara ini.

Dia yakin bahawa lelaki adalah tunggak kepada keluarga dan negara. Namun, dia bimbang sekiranya generasi seterusnya tidak dapat memenuhi peranan ini disebabkan oleh pengaruh luar yang dipromosikan media.

Tang Haiyan mendakwa lagi bahawa artis K-pop yang menonjolkan kecantikan palsu disebabkan pembedahan plastik, rambut berwarna dan pakaian yang tidak sopan akan merosakkan belia negara dan menjadikan kanak-kanak ini lemah. Ia menjadi tanggungjawab bagi kelabnya untuk memainkan peranan bagi membantu remaja-remaja lelaki di China.

tang haiyan

Tang Haiyan menerangkan sesuatu kepada ahli kelabnya

Sebaik sahaja kanak-kanak lelaki mendaftar di Kelab Latihan Lelaki Sejati, mereka tidak lagi boleh bergantung kepada ibu dan bapa bagi membantu mereka dalam semua hal. Mereka tidak dibenarkan untuk membuat sebarang panggilan telefon atau menerima lawatan keluarga selama seminggu. Sesiapa yang menangis akan diabaikan.

Mereka juga akan terlibat dalam aktiviti fizikal yang mungkin dianggap kasar oleh sesetengah ibu bapa tetapi Tang Haiyan menegaskan ia adalah penting untuk membina keberanian dan kegagahan seseorang lelaki.

Tang Haiyan menubuhkan Kelab Latihan Lelaki Sejati pada tahun 2012 selepas lawatannya ke California untuk melihat bagaimana pasukan American Football dilatih. Dia menyangka bahawa keluarga Amerika mahu anak lelaki mereka menyertai sukan kasar supaya mereka boleh menjadi lelaki alpha.

latihan american football

Tang Haiyan kemudian memutuskan untuk melakukan perkara yang sama juga di China. Kem bina dirinya mempunyai antara 2,000 hingga 3,000 orang ahli terutamanya kanak-kanak lelaki yang bermasalah, berpencapaian rendah dan daripada keluarga yang mahukan anak mereka mempunyai nilai-nilai yang baik.

Penurunan maskulin (kelelakian) menjadi punca kebimbangan di China. Malah, stesen televisyen negara itu juga mengambil langkah-langkah ekstrem untuk mencegah penyebaran pengaruh asing seperti mengaburkan telingan lelaki yang memakai subang dalam lakonan.

artis k pop

Seorang pelakon layar, Wang Hailin, menerangkan bahawa sekiranya langkah-langkah pencegahan itu tidak dilakukan, ia akan menunjukkan bahawa lelaki Cina adalah lemah, tidak bertanggungjawab dan tidak peduli. Ini kerana pelakon di kaca TV mewakili ideologi kebangsaan dan mereka tidak boleh membiarkan generasi muda terpengaruh atau mencontohi perkara buruk yang ditonjolkan.

Tang Haiyan percaya bahawa kelabnya menawarkan pendidikan maskulin yang kebanyakan kanak-kanak Cina kurang. Di rumah, ibu biasanya yang mengendalikan pendidikan mereka dan di sekolah pula kebanyakan guru juga adalah wanita. Jadi, mereka tidak mempunyai contoh peranan lelaki yang cukup. Oleh itu, Tang Haiyan hanya mengupah lelaki sebagai tenaga pengajar di kelabnya.

Rujukan:

1. Los Angeles Times

2. News 18

3. China Daily




Hakcipta iluminasi.com (2017)