Persatuan Kiropraktik British (BCA) baru-baru ini telah menyenaraikan 5 item fesyen yang boleh menyebabkan sakit belakang, sakit leher dan masalah postur.

#1 Skinny jeans

skinny jeans membataskan pergerakan dan sukar berjalan secara natural

BESARKAN TEKS     A-  A+

BCA mendakwa skinny jeans boleh membataskan pergerakan di bahagian lutut dan pinggul. Apabila berjalan, jeans itu menyebabkan kita tidak bergerak secara natural dan mengakibatkan tekanan pada bahagian sendi.

#2 Beg tangan besar

beg berat boleh menyebabkan tekanan di bahagian bahu

Beg tangan yang besar dan berat kebiasaannya membuatkan wanita mengadu sakit belakang. BCA menasihatkan para penggemar fesyen agar tidak membawa beg ini dengan menyangkut di bahagian lengan. Ini menyebabkan jisim beg menarik lengan ke hadapan dan mengakibatkan bahu lebih senget ke bawah berbanding bahu lagi satu. 

#3 Kot dengan hud berbulu tebal

fesyen kot dengan hud besar boleh membataskan penglihatan seterusnya meregangkan leher

BCA mendakwa kot dengan hoodie besar boleh membataskan penglihatan dan menyebabkan leher seseorang menjadi tegang untuk melihat keadaan sekeliling.

#4 Kasut tumit tinggi

kasut tinggi boleh menyebabkan masalah postur badan

Kasut tumit tinggi menambah ketegangan di bahagian tulang belakang dan postur akan bermasalah sekiranya kita berjalan terlalu lama memakai kasut tumit tinggi.

#5 Kasut yang terdedah di bahagian belakang

kasut tanpa sokongan bahagian belakang

BCA berkata kasut sarung yang terdedah tidak mempunyai sokongan di bahagian belakang kaki. Ini akan memberi kesan ketegangan pada bahagian kaki dan pinggang.

BCA mengeluarkan senarai ini hasil tinjauan daripada 1,062 responden di mana 73% daripadanya pernah atau sedang mengalami sakit bahagian belakang. Selain itu, 33% daripada responden juga mengaku yang mereka tidak tahu bahawa pakaian dan fesyen berisiko untuk mendapat masalah sakit leher, sakit belakang dan masalah postur.

Dahtu tak boleh pakai skinny jeans dan kasut tumit tinggi sambil galas handbag besar ke?

Jangan risau.

Steve Tolan, seorang ketua bahagian di Chartered Society of Physiotherapy UK mengatakan bahawa anda tidak perlu takut untuk menggayakan fesyen kerana saranan BCA itu hanyalah berdasarkan tinjauan yang mereka buat dan bukan berdasarkan fakta saintifik.

Selagi tidak ada bukti dan kajian saintifik yang menyatakan kesemua fesyen item ini memudaratkan, anda tidak perlu berasa khuatir dan pakai ajelah apa yang anda mahu. Tetapi ingatlah, anda perlu sentiasa bersederhana kalau nak buat apa-apa pun.

Jika anda dah mula rasa sakit pinggang atau sakit belakang, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat lebih lanjut.

Selain itu, pakar dari National Health Service (NHS) UK menasihatkan penjagaan bahagian tulang belakang dengan cara berikut:

  • kekalkan aktiviti harian dan keaktifan anda
  • dapatkan tidur dan rehat secukupnya
  • seboleh-bolehnya elakkan stress dan tekanan
  • kekalkan berat badan yang sihat
  • dapatkan maklumat dan tambah ilmu mengenai sakit belakang
  • sekiranya sakit belakang berpanjangan selepas beberapa minggu atau terlalu sakit, dapatkan bantuan segera

Anda juga boleh membuat senaman ringkas 3 minit dari program "Straighten Up UK" yang membantu untuk memperbaiki postur dan mengurangkan risiko sakit belakang dengan menggalakkan keseimbangan badan, kekuatan pinggang serta kefleksibelan tulang belakang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)