Oleh pada 03 Jan 2018 kategori

Kadang kala sesuatu perkara yang aneh boleh berlaku. Dan kadang kala perkara yang aneh ini boleh berlaku lebih dari sekali, dalam pelbagai cara. Sesetengah orang menganggap perkara ini sebagai nasib, takdir, atau ketentuan. Bagi sesetengah yang lain pula, akan mengatakan perkara yang berlaku hanyalah kebetulan.

Jika kebetulan sering digunakan sebagai plot di dalam buku cerita ataupun filem dan dikritik sebagai tidak realistik, kebenarannya adalah dalam kehidupan seharian kita penuh dengan sesuatu yang di luar jangkaan, dan kadang-kadang kebetulan yang sangat jarang berlaku.

Berikut adalah senarai beberapa kejadian secara kebetulan yang aneh pernah direkodkan yang akan membuatkan anda terfikir adakah kejadian ini benar-benar berlaku? Ya, tidak mustahil bukan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kumpulan koir terselamat dari letupan gereja kerana lewat tiba di lokasi.

Pada tahun 1956, muzikal terkenal My Fair Lady yang dinyanyikan oleh kumpulan Lerner and Loewe menampilkan lagu bertajuk "Get Me to the Church on Time" dan lagu ini kemudian turut dirakamkan oleh nama-nama terkenal seperti Frank Sinatra, Rosemary Clooney dan Mel Torme.

6 tahun sebelum itu, berlaku satu kejadian aneh di West Side Baptist Church di Beatrice, Nebraska. Seperti yang dilaporkan, letupan berlaku pada pukul 7:25 petang, hari Rabu, 1 Mac 1950, memusnahkan sepenuhnya gereja tersebut. Berita buruknya adalah, raptai kumpulan koir di West Side Baptist bermula setiap setiap hari Rabu tepat pukul 7:20 petang.

Namun berita baiknya adalah, setiap ahli kumpulan yang terdiri dari 15 orang telah lewat tiba pada minggu tersebut. Dan setiap seorang lewat dengan alasan masing-masing yang berbeza. Ada yang lewat disebabkan kereta yang rosak, ada yang disebabkan baju yang belum digosok, ada yang disebabkan masalah lalu lintas dan macam-macam lagi. Dengan setiap seorang dari 15 ahli tiba lewat disebabkan alasan masing-masing yang berbeza, ia dikira kejadian yang berlaku 1 dalam 500,000, dan ia sangat ganjil tetapi pada masa yang sama sangat menakjubkan.

Wanita diserang sakit jantung didalam kapal terbang yang penuh dengan ahli kardiologi

pesawat dipenuhi ahli kardeologi

Kebiasaannya situasi yang berlaku adalah begini: seseorang telah jatuh pengsan, orang yang kedua cuba menolong tetapi tidak berdaya, lalu menjerit, "Siapa di kalangan anda semua adalah doktor?" Situasi ini berlaku pada tahun 2004 di dalam sebuah kapal terbang dari England menuju ke Florida. Sudah tentu individu pertama yang cuba memberi pertolongan berteriak, "Siapa doktor di dalam pesawat ini?" apabila seorang nenek bernama Dorothy Fletcher telah diserang sakit jantung di dalam pesawat tersebut.

Dan apa yang berlaku? 15 orang lelaki berdiri dan menjawab "Ya! Saya seorang doktor!" dengan serentak. Warga emas ini sangat bernasib baik kerana beliau sebenarnya di dalam pesawat yang dipenuhi oleh ahli-ahli kardeologi yang dalam perjalanan ke sebuah majlis konvensyen di Orlando.

Satu kebetulan yang sangat menarik. Seolah-olah anda terjatuh ke dalam sebuah kolam yang dipenuhi dengan penyelamat yang sedang membuat latihan, atau anda dirompak di sebuah kafe yang kebetulan dipenuhi dengan anggota polis yang singgah untuk minum petang. 

Bagaimanapun, para doktor tersebut berjaya memastikan Dorothy selamat dan sempat mendarat untuk pergi ke hospital. Satu-satunya berita buruk adalah beliau masih perlu pergi ke Florida apabila semuanya selesai.

Belon yang dilepaskan oleh seorang budak perempuan dijumpai oleh seorang budak perempuan lain dengan nama yang sama

belon laura buxton

Berapa ramai orang bernama Laura Buxton yang anda kenal? Mungkin tiada atau mungkin seorang? (Jika anda yang membaca artikel ini bernama Laura Buxton, terbukti kebetulan memang sentiasa berlaku). Di England, terdapat ramai orang bernama Laura Buxton tetapi tidak semuanya yang mengalami pengalaman berikut.

Pada tahun 2001, seorang budak perempuan bernama Laura Buxton yang berada di majlis hari lahir datuknya telah melepaskan sebiji belon ke udara dengan mesej "Sila kembalikan kepada Laura Buxton" disertakan dengan alamatnya. Belon itu turun pada jarak 140 batu dari lokasinya dan dijumpai oleh seorang lelaki yang tinggal berjiran dengan keluarga Buxton yang mempunyai seorang anak perempuan bernama Laura. Beliau menyerahkan belon itu kepada Laura yang kedua, dan Laura kedua menghubungi Laura yang pertama, kemudian beberapa siri kebetulan bakal disaksikan.

Selain nama yang sama, umur kedua-dua Laura ini berbeza hanya beberapa bulan, memiliki warna rambut dan mata yang sama, dan mempunyai citarasa yang sama dalam memilih haiwan peliharaan: setiap seorang mempunyai anjing hitam berusia 3 tahun, arnab berwarna kelabu dan seekor tikus belanda. Bertambah pelik lagi, apabila mereka berjumpa buat kali pertama, kedua-dua Laura memakai seluar jeans dan jaket merah jambu, dan kedua-duanya membawa tikus belanda, yang kelihatan sangat serupa.

Sudah tentu, akhirnya mereka berdua menjadi sahabat karib. Sebabnya sangat jelas.

Peristiwa Pembunuhan di Erdington

peristiwa pembunuhan erdington

Pada 27 Mei, 1817, gadis berusia 20 tahun Mary Ashford ditemui mati di bandar Erdington di England, disyaki dirogol sebelum kematiannya. Beliau telah keluar untuk menari, dan di lewat malam itu seorang lelaki muda menemani beliau hampir seluruh perjalanan pulang, dan kelibatnya didakwa tidak lagi dilihat selepas itu. Suspek utama adalah seorang lelaki muda bernama Abraham Thornton, yang didapati tidak bersalah kerana kekurangan bukti. Abang Ashford enggan menerima keputusan tersebut dan mencabarnya, tetapi sia-sia. Sebelum mati, Ashford telah berkata beliau merasakan "perasaan buruk tentang minggu yang akan datang."

Pada 27 Mei, 1974, gadis berusia 20 tahun Barbara Forrest ditemui mati di bandar Erdington di England, disyaki dirogol sebelum kematiannya. Beliau telah keluar untuk menari, dan di lewat malam itu seorang lelaki muda menemani beliau hampir seluruh perjalanan pulang, dan kelibatnya didakwa tidak lagi dilihat selepas itu. Suspek utama adalah seorang lelaki muda bernama Michael Ian Thornton, yang didapati tidak bersalah kerana kekurangan bukti. Abang Forrest enggan menerima keputusan tersebut dan mencabarnya, tetapi sia-sia. Sebelum mati, Forrest telah berkata beliau merasakan "bulan ini rasanya nasib saya tidak bagus, saya hanya rasakannya, jangan tanya mengapa."

Jika persamaan dalam dua kejadian yang berasaingan dengan jarak 157 tahun ini membuatkan anda berfikir ia lebih dari sekadar kebetulan, mungkin lebih baik anda tidak pergi ke Erdington pada 27 Mei, tahun 2131.

Kembar bernama Christmas berlanggar antara satu sama lain pada malam Krismas

kemalangan malam krismas

Anda mungkin pernah dwngar cerita tentang bagaimana pada 1895 apabila hanya terdapat dua buah kereta di seluruh Ohio namun mereka masih bertembung dalam satu kemalangan. Kisah berikut adalah sedikit berlainan walaupun turut melibatkan kemalangan kereta.

Pada 1994, sepasang kembar perempuan di England bernama Lorraine dan Levinia Christmas bertembung antara satu sama lain ketika sedang memandu di satu laluan selorong yang dipenuhi ais. Khabarnya, Levinia sesang dalam perjalanan untuk mengambil alih syif di stesen minyak di mana mereka berdua bekerja. Mereka di bawa ke hospital akibat kecederaan yang agak parah. Dikatakan polis yang berada di tempat kejadian menyangka ia adalah satu gurauan. Mengapa? Kerana kemalangan itu berlaku pada 24 Disember, malam Krismas. Kembar bernama Christmas bertembung pada malam Krismas. Ada versi lain tentang kisah ini mengatakan pasangan kembar ini dalam perjalanan untuk menghantar hadiah Christmas antara satu sama lain dan satu lagi versi yang lain turut mengisahkan tentang bapa mereka yang turut memegang nama Christmas sedang dirawat selepas satu pembedahan di hospital yang sama di mana mereka dibawa selepas kejadian tersebut.

Bonus:

Sepasang suami isteri sebenarnya pernah berjumpa ketika mereka kecil

pasangan tunang ditakdirkan sejak kecil

30 tahun sebelum perkahwinan mereka, pasangan Donna Voutsinas dan Alex yang tinggal di negara yang berlainan telah dirakam dalam satu gambar yang sama, dimana mereka masing-masing hanya sedar tentangnya apabila salah seorang dari mereka mengimbas semula gambar-gambar lama. Gambar di atas diambil di Disney World, budak perempuan yang dipegang oleh maskot Mr.Smee itu adalah Donna dan budak lelaki yang dibawa dalam kereta bayi di belakang mereka adalah Alex. Kebetulan?

Sejauh mana kebenaran cerita-cerita di atas tidak dapat dipastikan. Namun, perkara-perkara sebegini tidak mustahil boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja, dan kepada sesiapa sahaja.

Rujukan: www.grunge.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)