Kredit foto: Instagram Fairuz Selamat

Bekas vokalis Q-Face, Fairuz Selamat berharap para peminat dapat sama mendoakan kesembuhan penyanyi Wany Hasrita.

Sebelum ini, penyanyi Menahan Rindu itu disahkan menghidap jangkitan virus Influenza B.

Fairuz melaporkan perkembangan terkini kesihatannya menerusi laman Instagram pada Ahad.

Dalam masa sama, beliau berharap teman baiknya itu akan menghentikan aktiviti seni buat seketika bagi memberi laluan kepada rawatan susulan yang perlu dijalani.

“Alhamdulillah Wany okay. Suara dia tak ubah macam mesin tebu. Kalian semua doakan dia sihat tau. Kasihan dia.

“Persembahan banyak tapi sakit. Tapi saya pastikan dia berada di wad seminggu dua. Biar betul-betul rehat. Kalau dia pergi show juga, saya bergegas ke sana. Saya culik dia sewenang-wenangnya!

“Semoga cepat sembuh, Wany. Cepat sihat naa. Durian tak dapat lagi ni!” tulisnya.

Kiriman itu antara lain memuatkan foto Fairuz berada di hospital sedang melihat perkembangan Wany. 

Dalam pada itu, para peminat turut sama mendoakan kesejahteraan Wany menerusi ruangan komen, selain ada juga yang berharap hubungan pasangan ini akan bertukar status menjadi pasangan kekasih.

“Semoga @wanyhasrita sembuh cepat. Lupakan tentang persembahan tu sementara waktu. @fairuzselamat jaga Wany elok-elok korang memang sweet lah," komen @khairil_syamir.

“Jaga @wanyhasrita elok-elok @fairuzselamat. Semoga panjang jodoh korang. Yang lain-lain tu sila ke awek lain yang masih solo ok, hat ni dia dah cop,” tulis @chentasafiyya.

“@fairuzselamat Haaa camtu hero, pastikan heroin selamat, sihat dan cergas kembali. Like your sense of care dan sayang awak, adikku. @wanyhasrita Saya rasa awak seorang wanita yang bertuah haha,” kata @rozylicious72.

Terdahulu, penyanyi wanita itu dikejarkan ke hospital pada Ahad sebelum dikuarantin untuk mengelakkan penyakitnya daripada berjangkit.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, beliau akui berkawan rapat dengan Fairuz dan sudah mengenali jejaka itu sebelum bergelar penyanyi lagi iaitu pada tahun 2016 ketika berjinak-jinak mempamerkan bakat nyanyian menerusi aplikasi Smule.




Hakcipta iluminasi.com (2017)