Oleh pada 20 Jun 2019 kategori

Jackie Chan pernah beraksi sebagai 'stuntman' dalam dua filem Bruce Lee iaitu Fist of Fury dan juga Enter The Dragon. Diceritakan juga, beliau sanggup berpura-pura cedera hanya untuk berbual dengan lelaki pujaan ahli seni mempertahankan diri seluruh dunia itu. Jackie Chan telah berkongsi beberapa perkara menarik tentang Bruce Lee.

Permulaan Karier

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jackie Chan memulakan karier filem beliau sebagai pelakon aksi lagak ngeri ataupun 'stuntman'. Beliau hanya memainkan watak yang kecil yang tidak diendahkan oleh sesiapa pun. Tiada siapa kenal nama "Jackie Chan".  Bahkan pengarah filem pun tidak dapat mengingati namanya. Itulah serba sedikit gambaran betapa kecilnya Jackie Chan pada ketika itu.

Namun, Jackie Chan sangat mengagumi dan selalu menyebut-nyebut nama Bruce Lee ketika bersembang bersama rakan-rakannya. Beliau juga menceritakan betapa "power"-nya Bruce Lee dalam kung fu dan betapa terujanya beliau dapat bersembang dengan Bruce Lee di set penggambaran. Dapat menyapa dan bertanya "kerusi ni nak letak kat mana bro?" pun sudah membuatkan Jackie Chan gembira.

"Dia banyak mempengaruhi saya. Saya juga senang dipengaruhi oleh dia" kata Jackie Chan dalam satu temubual pada tahun 1997. "Saya mengkagumi beliau, cara beliau bercakap dalam bahasa Inggeris juga telah menjadi inspirasi kepada saya untuk mendalami bahasa asing itu." Jelas Jackie Chan lagi.

Bruce Lee sangat dihormati oleh semua orang

jackie chan kongsi kisah bersama bruce lee

Bruce Lee sangat dihormati oleh para 'stuntman'  kerana beliau melayan mereka semua dengan sangat istimewa dan adil. Ramai pelakon lagak ngeri yang merasakan diri mereka amat dihargai walaupun telah membahayakan nyawa sendiri.

Bruce Lee akan selalu melepak dan berbual dengan mereka, makan bersama-sama mereka. Kadang-kala beliau sendiri akan memberi sumbangan untuk rawatan perubatan jika mereka tercedera. Sikapnya tersebut membuatkan Jackie Chan yang masih muda sangat kagum.

"Pernah sekali saya tercedera, Bruce Lee pantas berlari ke arah saya, memapah saya dan bertanya, ‘Are you OK?’” 

“Ketika itu, saya hanyalah seorang pemuda biasa dan beliau pula seorang superstar! Mana ada superstar lain yang layan kami seperti dia lakukan” kata Jackie Chan dengan penuh emosi. 

Sanggup berpura-pura untuk mendapat perhatian

jackie chan bruce lee idola ramai

Dalam satu adegan, Jackie Chan telah tercedera kerana terjatuh ke tanah dari tempat yang tinggi. Hal ini berlaku kerana kru terlibat telah melepaskan wayar yang digunakan untuk melilit tubuh beliau terlalu cepat. Insiden ini menyebabkan hentaman yang kuat pada tubuh Jackie Chan.

Bruce Lee yang sedar dengan situasi tersebut lantas berlari ke arah Jackie Chan untuk memastikan semuanya baik-baik saja. "Bruce Lee telah memapah saya untuk bangkit, dan itu membuatkan saya sangat teruja dengan apa yang dilakukannya. Ianya sangat menyentuh perasaan saya dan saya rasa sangat dihargai" jelas Jackie Chan

Jackie Chan telah bertekad, beliau akan mempergunakan sebaik mungkin apa sahaja peluang yang ada untuk membina hubungan dengan Bruce Lee. Di set penggambaran filem Enter The Dragon, Bruce Lee secara tidak sengaja telah terpukul bahagian muka Jackie Chan dengan sebatang kayu.

“Sebaik sehaja pengarah menjerit ‘cut’, beliau terus membuang kayu tersebut dan bergegas ke arah saya. Saya sudah terbiasa dipukul sebagai seorang ‘stuntman’, saya ditumbuk, ditendang. Namun apabila saya nampak beliau dengan segera meluru ke arah saya, saya terus berpura-pura sakit.”

"Anda semua jangan salah faham, dia idola seni mempertahankan diri untuk saya. Bukannya bermaksud saya ni gay ok" Ucap Jackie dengan tegas.

Bertekad untuk menjadi watak utama

jackie chan bekerja dengan bruce lee

Kejadian ini menyebabkan Jackie Chan sentiasa diingati oleh Bruce Lee, dan membolehkan beliau dipilih untuk tugas pada waktu malam dan aksi yang melibatkan babak dalam air, dimana kedua-duanya membolehkan seseorang ‘stuntman’ mendapat bayaran yang lebih tinggi.

Selepas bekerja dengan Bruce Lee, Jackie Chan berikrar untuk melakukan sendiri semua aksi lagak ngeri jika itu membolehkan beliau untuk menjadi watak utama untuk sebuah filem. Beliau mahu semua orang sedar dan tahu akan kewujudan beliau.

Pada tahun 1973, Jackie Chan telah berjaya menjadi watak utama dalam filem "Little Tiger of Canton". Begitulah kisahnya.

Rujukan:

1. scmp.com

2. Wikipedia




Hakcipta iluminasi.com (2017)