Kucing adalah antara haiwan peliharaan yang paling lazim di dunia. Ini kerana haiwan ini sangat comel dan manja serta berperwatakan menarik.
Namun, pernahkan anda tertanya-tanya mengapa kucing mempunyai misai dan apakah fungsinya? Adakah misai ini gugur secara semula jadi? Dan apa yang akan berlaku kepada kucing anda jika misai tersebut dipotong?
iluminasi.com kongsikan mengapa kucing mempunyai misai dan apakah fungsinya.
BESARKAN TEKS A- A+
Apa itu misai kucing?
Misai kucing juga dikenali sebagai vibrissae, bulu yang sangat sensitif yang tumbuh dalam pelbagai corak pada muncung kucing, dan beberapa bahagian badannya seperti di bawah mata, berhampiran telinga, rahang dan kaki hadapan.
Bulu yang keras dan panjang ini berakar dari rongga folikel yang dimuatkan dengan saraf. Malah, panjang misai seseekor kucing itu boleh menyamai lebar badannya. boleh sama dengan lebar kucing itu sendiri!
Keguguran misai
Ya, misai kucing boleh mengalami keguguran secara semula jadi sekali-sekala.
Apabila kucing menggugurkan bulu pada badannya, ia juga kadang-kala menggugurkan beberapa helai misai pada masa yang sama.
Biasanya, seekor kucing mempunyai 6 hingga 12 helai misai di setiap bahagian pipi.
Walaupun pengguguran misai ini adalah sesuatu yang normal, namun keguguran yang berlebihan boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan seperti luka, tompok kering atau kepekaan kulit.
Apa fungsi misai pada kucing?
Misai adalah sensor bagi setiap kucing.
Walaupun batang misai kucing diperbuat daripada keratin dan tidak mengandungi sebarang saraf, akar setiap misai ini disambungkan kepada reseptor deria yang dipanggil proprioceptor.
Proprioceptor berkomunikasi dengan otak dan membantu kucing mengemudi melalui ruang.
Melalui kombinasi misai dan dan reseptor deria ini, kucing itu menghubungkan setiap bahagian badannya, yang memberikan refleks sangat pantas.
Oleh kerana proprioceptor ini sangat sensitif terhadap getaran, ia membantu kucing mengejar mangsa dengan mahir dengan bertindak balas terhadap getaran tertentu di udara.
Perkara menarik yang perlu dilihatkan pada kucing adalah hakikat bahawa ia tidak mempunyai tulang selangka seperti manusia.
Ini sekaligus menjadikannya lebih mudah untuk berpusing dan melakukan belokan melalui ruang yang sempit.
Penglihatan jarak dekat kucing adalah sangat teruk. Oleh itu, misai-misai ini membantu kucing semasa berjalan dan mengesan halangan yang terdapat di jalannya.
Satu lagi fungsi penting misai ini ia adalah membantu kucing mengira sama ada ia muat atau tidak untuk melalui sesuatu ruang.
Misai-misai ini secara kasarnya adalah bersamaan dengan lebar badan kucing, maka ia secara semulajadinya bertindak seperti pembaris bagi haiwan ini.
Selain itu, misai-misai ini sangat sensitif terhadap tekanan.
Anda mungkin pernah melihat kucing anda memasukkan kepalanya ke dalam dan ke luar dari sesebuah bukaan atau lubang sebelum melalui ruang tersebut.
Dengan melakukan ini, kucing sedang menganggarkan lebar pembukaan dan memutuskan sama ada ia boleh melalui lubang tersebut atau tidak.
Misai kucing juga berfungsi sebagai penunjuk yang baik terhadap mood dan keperibadian kucing itu sendiri. Contohnya, jika kucing dalam keadaan santai, misainya juga akan berada dalam keadaan santai.
Jika anda dapati bahawa misai kucing berada dalam keadaan lurus atau menghadap ke hadapan, ia menunjukkan bahawa kucing tersebut berjaga-jaga dan ingin tahu.
Kucing yang marah pula akan membuatkan misainya diratakan pada wajahnya.
Apa akan berlaku jika anda memotong misai kucing?
Sebagai pemilik kucing, kadang-kala anda mungkin berasakan bahawa misai kucing anda terlalu panjang dan harus dipotong sedikit.
Malah, ada manusia yang kejam memotong misai kucing dengan sengaja hanya untuk suka-suka.
Salah satu persoalan yang datang ke minda sebelum memotong misai ini adalah sama ada ia akan menyakitkan kucing tersebut.
Memang memotong misai ini tidak menyebabkan kesakitan atau pendarahan, tetapi anda harus elak daripada melakukannya.
Misai-misai ini adalah serupa dengan bulu-bulu lain pada badan kucing dan perbezaan utama adalah ia lebih tebal dan mempunyai fungsi tersendiri.
Kerana ketiadaan saraf, tidak ada risiko pendarahan apabila memotong misai kucing anda.
Namun begitu, memotong misai membuatkan kucing berada dalam keadaan tidak menentu atau terumbang-ambing kerana ia menggunakan misai untuk memahami persekitarannya.
Tanpa misai, seekor kucing mungkin kehilangan keupayaannya untuk berorientasi dan bergerak dengan betul.
Seperti yang telah disebutkan sebelumnya, kerana penglihatan dekat kucing adalah lemah, ketiadaan misai akan membuatkan kucing sukar untuk mengesan objek-objek di sekitarnya ketika berjalan di sekeliling kawasan.
Bukan itu sahaja, kucing tersebut juga tidak dapat untuk menganggarkan sama ada ia muat untuk melepasi sesuatu lubang.
Jika anda memotong misai kucing anda, jangan terkejut jika ia menjadi lebih cemerkap daripada biasa.
Malah, kucing anda juga sudah tentu akan mengalami tekanan kerana tidak dapat menggunakan kebolehan semulajadinya.
Jadi, misai kucing memberikan keselamatan kepada kucing dan merupakan elemen penting bagi setiap pergerakan lincah haiwan ini.
Rujukan:
1. Livescience
2. Science
3. MNN