Oleh pada 22 Dec 2018 kategori

Sesumpah merupakan haiwan yang unik. Haiwan ini dapat ditemui di Afrika, Eropah, Asia dan Amerika Utara. Dianggarkan terdapat lebih 160 spesis sesumpah di dunia. Haiwan ini juga mempunyai kemampuan untuk hidup di dalam hutan dan juga padang pasir.

Rata-rata daripada kita pasti mengetahui akan kemampuannya untuk menukar warna kulitnya bagi tujuan penyamaran. Walau bagaimanapun, kemampuan sesumpah untuk bertukar warna kulitnya ini sentiasa menarik minat para saintis untuk mengetahui mekanisma disebaliknya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bukan tujuan penyamaran semata-mata

sesumpah bertukar warna

Berbanding dengan kepercayaan umum bahawa sesumpah menukar warna kulit untuk tujuan penyamaran, sebenarnya sesumpah menukar warna pada kulitnya sebagai refleksi pada keadaan sekeliling, suhu dan emosinya.

Mengikut kajian, sesumpah bukanlah haiwan yang bergerak perlahan. Malah, haiwan ini mampu berlari pada kelajuan 34 km/jam, membolehkan mereka melarikan diri daripada pemangsa dengan mudah. Oleh itu, bertukar warna kulit sebagai teknik penyamaran ini hanyalah pilihan kedua mereka untuk menyelamatkan diri daripada pemangsa.

Para saintis percaya bahawa sesumpah bertukar warna kulitnya sebagai ekspresi mood mereka. Dengan melakukan perkara ini, ia memberi signal sosial kepada sesumpah lain berdekatan dengannya. Sebagai contoh, pertukaran kepada warna gelap menunjukkan ia sedang merah. Warna cerah pula biasanya digunakan untuk menarik perhatian sesumpah lain yang berlainan jantina.

Seterusnya, sesumpah juga bertukar warna kulit untuk menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca dan suhu. Sebagai contoh, sesumpah yang berada dalam kesejukan biasanya akan menukar kulitnya kepada warna gelap untuk menyerap lebih banyak haba bagi memanaskan dirinya.

Keunikan struktur kulit sesumpah

struktur kulit sesumpah

Untuk bertahun lamanya, saintis percaya bahawa sesumpah mengubah warna kulitnya dengan memanipulasi sel yang dikenali sebagai chromatophores yang mengandungi pelbagai pigmen warna.

Sebagai contoh, apabila sesumpah ingin mengekspresikan sesuatu mood atau mesej, otaknya akan menghantar signal kepada kepada chromatophores. Chromatophores kemudiannya akan menukar warna kulit sesumpah berdasarkan signal yang dihantar itu.

Walau bagaimanapun, kajian terbaru yang dilakukan menunjukkan pigmen warna bukan satu-satunya mekanisma yang digunakan sesumpah untuk menukar warna kulitnya. Walaupun pigmen boleh menukarkan kulit kepada warna suram seperti hijau, ianya tidak dapat membantu sesumpah menukarkan kulit kepada warna terang seperti merah dan kuning.

lapisan iridophores

Perubahan struktur iridophores ketika bertukar kulit

Penemuan terbaru menunjukkan sesumpah mempunyai lapisan sel istimewa yang dikenali sebagai iridophores di bawah lapisan kulitnya. Lapisan sel ini yang mengandungi pigmen dan boleh memancar cahaya turut mengandungi ribuan kristal guanine yang pelbagai saiz.

Sesumpah mempunyai keupayaan untuk mengawal kulitnya dan menyebabkan sel-sel yang berada di bawah lapisan kulitnya untuk berubah strukturnya. Para pengkaji juga menemui, sel-sel ini berfungsi sebagai suatu prisma yang akan memantulkan cahaya yang mempunyai gelombang yang berbeza, seterusnya menghasilkan pelbagai warna yang dapat kita lihat. 

Dengan melihat keunikan struktur kulit sesumpah sahaja, kita dapat melihat kehebatan ciptaan Tuhan dalam menciptakan setiap makhluknya. Siapa tahu, mungkin pada masa hadapan saintis dapat mencipta sesuatu barangan atau teknologi yang unik berdasarkan penemuan mereka pada struktur kulit sesumpah ini.

Kredit:

  1. Livescience
  2. National Geographic
  3. Nature Communications Journal
  4. The Atlantic



Hakcipta iluminasi.com (2017)