Sama ada untuk memasak, membuat kek mahupun sebagai sapuan pada roti, mentega adalah pilihan yang sangat tepat.

Ia menjadikan masakan lebih enak dan berlemak. Walaupun harganya lebih mahal berbanding maerjerin, namun mentega lebih menjadi tumpuan.

Walau bagaimanapun, ada satu lagi lemak yang digunakan dalam masakan yang anda mungkin pernah dengar, iaitu minyak sapi atau lebih dikenali sebagai ghee.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika anda perasan, kedua-dua produk ini iaitu ghee dan mentega adalah agak mahal, jika dibandingkan dengan marjerin.

Jadi, apakah perbezaan bagi kedua-dua lemak masakan ini?

Apa itu mentega?

apa itu mentega dan bagaimana ia dihasilkan

Sebelum kita bincangkan perbezaan kedua-duanya, kita perlu tahu apa itu mentega.

Mentega adalah produk yang diperbuat daripada komponen pepejal dalam susu, yang terdiri daripada lemak dan protein susu.

Walaupun mentega biasanya diperbuat daripada susu lembu, namun ia juga boleh dihasilkan daripadasusu  kambing, kambing biri-biri, kerbau atau mamalia yang lain.

Mentega biasanya terdiri daripada kira-kira 80% lemak, 15% air, dan 5% protein.

Sebahagian kecil protein dalam mentega bertindak sebagai pengemulsi yang membolehkan air dan lemak terus bergabung dalam larutan tunggal.

Campuran unik lemak dalam mentega membolehkannya kekal dalam bentuk pepejal pada suhu bilik dan mencair pada suhu sekitar 32° C.

Apa itu Ghee?

perbezaan minyak sapi dan mentega

Ghee adalah nama India bagi mentega jernih. 

Sama seperti mentega, ghee biasanya diperbuat daripada susu lembu. Ghee diklasifikasikan sebagai "clarified butter" atau mentega yang dijernihkan.

Namun begitu, bukan semua mentega jernih adalah ghee tetapi semua ghee adalah mentega jernih.

Mentega jernih sebenarnya berasal dari mentega itu sendiri.

Apabila mentega direnehkan, air dan protein susu (atau pepejal susu) terkandung di dalamnya akan terpisah dan menghasilkan cecair keemasan dengan rasa berkacang.

Cecair yang terhasil ini iaitu ghee mengandungi sekitar 99% hingga 100% lemak mentega tulen.

Sebelum itu, mentega mempunyai 16% hingga 17% air dan 1% hingga 2% protein susu.

Untuk menghasilkan mentega jernih atau ghee, renehkan mentega tanpa garam (unsalted butter) dalam kuali dengan api kecil.

Mentega tersebut akan berbuih ketika kandungan airnya mengewap.

Kemudian, gumpalan susu putih (protein susu) akan terbentuk di bahagian atas, dan harus meneruskan proses mereneh sehingga semua pepejal susu tersebut tenggelam ke bahagian bawah kuali.

Setelah semua pepejal susu tenggelam ke bawah kuali, ia membuatkan mentega menjadi jernih dan terhasilnya ghee.

Perbezaan minyak sapi dan mentega

minyak sapi

Terdapat beberapa perbezaan ketara antara kedua-dua lemak masakan popular ini.

Yang pertama adalah titik atau takat asap ghee adalah lebih tinggi daripada mentega, jadi ia tidak akan terbakar jika anda memasak pada suhu yang lebih tinggi.

Ini menjadikan ghee sangat sesuai untuk menumis atau menggoreng makanan. 

Mentega boleh terbakar dan hangus pada suhu 177°C, tetapi ghee boleh bertahan sehingga suhu 252°C.

Jika anda memasak menggunakan api yang kuat, mentega akan lebih cepat dan mudah hangus berbanding ghee.

Selain itu, ghee juga lebih stabil pada suhu bilik berbanding mentega kerana ia tidak mengandungi pepejal susu yang mana menjadi penyebab mentega rosak jika tidak disimpan di dalam peti sejuk.

Oleh itu, anda boleh menyimpan ghee di dapur untuk tempoh beberapa bulan.

Malah, disebabkan protein susu telah dinyahkan, maka ghee bebas laktosa yang menjadikannya pilihan yang lebih baik bagi mereka yang sensitif terhadap produk tenusu.

Akan tetapi, ghee tradisional tidak sesuai untuk mereka yang mengamalkan diet sayur-sayuran kerana masih berasal dari haiwan.

Rujukan:

1. Definisi Mentega

2. Persamaan Dan Perbezaan Antara Minyak Sapi Ghee dan Mentega

3. Minyak Sapi vs Mentega




Hakcipta iluminasi.com (2017)