Oleh pada 22 Apr 2017 kategori

Seorang lelaki dari Pulau Pinang menjadi rakyat Malaysia pertama yang dihantar ke penjara atas kesalahan memberi bantuan kewangan kepada kumpulan pengganas.

Bukhori Che Noor yang bekerja sebagai juruteknik merupakan seorang ayah kepada dua orang anak berusia empat dan lapan tahun. Dia disabitkan kesalahan kerana melibatkan diri dengan aktiviti kumpulan pengganas dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun.

Bukhori telah mengaku membenarkan akaun Maybank miliknya digunakan untuk kemasukan dan pengeluaran wang bagi aktiviti keganasan dari November 2015 sehingga 30 Jun 2016.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Paduka Azman Abdullah telah memerintahkan agar Bukhori menjalani hukuman itu bermula dari tarikh penangkapannya pada 30 Jun 2016. Datuk Paduka Azman juga telah memberikan nasihat kepada Bukhori agar menilai dahulu kesan baik dan buruk sebelum membuat sesuatu keputusan.

bukhori che noor

Sebagai orang dewasa yang sudahpun berusia 35 tahun, Datuk Paduka Azman berkata Bukhori sepatutnya boleh membuat pertimbangan dalam kehidupan. Segala perkara yang berkaitan keganasan adalah sesuatu yang tidak baik. Kerajaan sentiasa berusaha membanteras ancaman keganasan dan komunisme seperti IS (Islamic State). Bukhori tidak perlu menyokong aktiviti-aktiviti ini untuk masuk syurga kerana keganasan bukanlah suatu bentuk jihad.

Bukti kes menunjukkan bahawa Bukhori telah menyertai kumpulan Telegram "Gagak Hitam" dengan menggunakan nama samaran "Black Arrow". Bukhori telah direkrut oleh "Akhi Wanndy" atau nama sebenarnya Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.

akhi wanndy atau muhammad wanndy mohamed jedi

Pada 26 Mac 2016, Akhi Wanndy telah mengarahkan kesemua ahli kumpulan Gagak Hitam untuk memberikan infak (derma) secara berperingkat ke dalam akaun Maybank Bukhori sebanyak RM11,090. Syarikat telekomunikasi dan bank juga telah mengesahkan kedua-dua akaun telefon dan bank didaftarkan menggunakan nama Bukhori.

Bukhori yang tidak diwakili peguam telah mengaku kesalahan dan merayu agar hukumannya diringankan. Ini disebabkan dia hanya memperolehi gaji bulanan hasil pekerjaan sebagai juruteknik sebanyak RM2,000 sebulan dan menanggung keluarga seorang diri. Dia juga menyesal dan insaf atas perbuatannya. 

islamic state ganas sanggup membunuh ribuan orang yang tidak bersalah dan menggunakan alasan atas nama islam

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Bukhori dan juga seluruh rakyat Malaysia yang bercadang untuk terlibat dengan kegiatan keganasan sepertinya.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara 7 tahun ke atas Bukhori berikutan peningkatan drastik kes-kes kegiatan pengganas dalam negara. Ia merupakan satu isu serius yang perlu ditangani dan dibendung dari awal. Tahun lepas sahaja menyaksikan 40 kes kegiatan pengganas didaftarkan di Mahkamah Tinggi dan tahun ini pula sebanyak 28 lagi kes didaftarkan sehingga bulan Februari.

Pengajaran: lain kali sebelum nak buat apa-apa benda tak elok, fikir dahulu masak-masak. Tak fikir ke masa depan mak ayah, isteri dan anak-anak?

Rujukan:

1. Today Online

2. Astro Awani

3. NST




Hakcipta iluminasi.com (2017)