Kerepek kentang merupakan kudapan popular rakyat Malaysia. Tidak kira sama ada ketika menonton televisyen, memandu atau pun ketika membuat kerja, kerepek kentang kebiasaannya menjadi pilihan memandangkan ianya rangup dan sedap dikunyah.

Secara umumnya, membuat kerepek kentang tidaklah begitu sukar tetapi rumit dan mengambil masa lama kerana kentang tersebut terlebih dahulu perlu dijemur untuk mengeringkannya selepas dipotong halus. Selepas dijemur, kerepak tersebut akan digoreng dan diletakkan perisa seperti pedas, manis, masin dan sebagainya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Permintaan tinggi terhadap kerepek turut mewujudkan industri menghasilkan kerepek di kawasan luar bandar. Harganya juga lebih murah berbanding kerepek kentang yang dihasilkan oleh jenama-jenama popular seperti Pringles dan Mister Potato.

Pernahkah anda tertanya, apakah produk kerepek kentang paling mahal di dunia?

Kerepek kentang paling mahal di dunia

kerepek kentang termahal di dunia

Sebuah kilang membuat arak daripada Sweden telah menghasilkan dan menjual satu set kerepek kentang yang dipercayai termahal di dunia. Satu set hidangan ini dijual pada harga $56 (sekitar RM230) dan hanya terdapat 5 keping kerepek kentang bagi setiap satu set.

Ini bermakna, harga untuk setiap keping kerepek kentang ini adalah $11.20 (sekitar  RM 46.4). Harga ini semestinya jauh lebih mahal daripada jenama-jenama yang ada dipasaran. Sebagai perbandingan, anda boleh membeli 1 balang kerepek kentang jenama Mister Potato atau Pringles pada harga sekitar RM4.50 hingga RM6. 

Kerepek kentang termahal di dunia ini dihasilkan oleh syarikat pembuat arak St Erik. Menurut syarikat ini, setiap minuman alkohol berkualiti tinggi yang dihasilkan mereka perlulah dipadankan dengan snek yang berkualiti tinggi. Maka, lahirlah idea penghasilan kerepek kentang termahal di dunia ini.

Apa yang istimewanya kerepek kentang ini?

kerepek kentang st erik

Kerepek kentang ini dihasilkan oleh pasukan tukang masak terbaik di Sweden. Malah, ianya juga tidak dipek dalam balang atau bungkusan plastik biasanya seperti yang terdapat di pasaran.

Sebaliknya, setiap set kerepek kentang ini datang dengan sebuah kotak yang elegen dan setiap keping kerepek kentang ini disusun kemas dalam kotak ini. Malah, setiap set kotak ini turut disertakan dengan pengepit khas untuk memegang kerepek kentang ini supaya anda tidak perlu mengotorkan tangan.

Selain itu, setiap set kerepek kentang ini juga turut disertakan dengan sijil khas sebagai bukti ketulenan produk tersebut. Oleh itu, walaupun sudah memakan kesemua kerepek kentang itu, pembeli boleh berbangga pernah membeli dan memakan kerepek kentang ini yang dijual dalam kuantiti yang sangat terhad.

Penggunaan bahan premium

potato chip mahal gila

Selain dimasak oleh tukang masak profesional, rahsia utama kerepek kentang ini begitu mahal adalah kerena penggunaan bahan-bahan pembuatannya yang premium dan sukar diperolehi. Berikut merupakan bahan-bahan untuk membuat kerepek kentang mahal ini:

  1. Cendawan Matsutake
  2. Truffle rumpai laut 
  3. Minuman "India Pale Ale"
  4. Herba Crown Dill
  5. Bawang Leksand
  6. Kentang yang diperolehi daripada kawasan Ammarnas

Malangnya, kerepek kentang ini tidak boleh dimakan oleh orang Islam kerana ia turut dicampurkan dengan minuman beralkohol "India Pale Ale". Menurut syarikat St Erik, minuman ini adalah minuman terbaik dan paling berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh syarikat ini.

Sementara itu, bawang Leksand pula adalah bawang yang hanya terdapat di bandar Leksand. Menariknya bawang ini hanya boleh diperolehi antara 18 Mei dan 10 Ogos setiap tahun. Dikatakan bawang ini merupakan bahan utama yang memberikan rasa menarik kepada kerepek kentang ini.

Cendawan matsutake dikatakan mempunyai rasa seakan-akan keju dan merupakan cendawan paling berkualiti. Cendawan yang digunakan ini diambil daripada hutan pine yang terletak di bahagian utara Sweden. Setiap cendawan ini dipetik menggunakan sarung tangan yang diperbuat daripada kapas untuk memelihara kualitinya.

Sebelum ini kami pernah menulis mengenai truffle, iaitu satu spesis kulat dan merupakan makanan termahal di dunia. Truffle rumpai laut (Ascophyllum nodosum) hanya boleh didapati daripada kawasan air sungai yang sejuk. Untuk menghasilkan kerepek kentang mahal ini, hanya truffle yang terdapat di sekitar Pulau Faroe sahaja digunakan.

Herba crown dill pula digunakan untuk menghasilkan rasa yang unik. Perbagai jenis herba telah dicuba dan dipercayai crown dill merupakan yang terbaik kerana rasanya yang segar dan kuat. Untuk menghasilkan kerepek ini, crown dill ini dipetik daripada kawasan Bjare yang terletak di bahagian selatan Sweden.

Sementara itu, bagi kentang pula, hanya kentang yang ditanam di Ammarnäs sahaja digunakan. Disini, kentang ditanam dalam kuantiti yang terhad. Kerana keadaan bentuk muka bumi yang berbukit, maka kentang-kentang ini akan ditanam dan diambil menggunakan tangan.

Kredit:

  1. New York Post
  2. Medium
  3. Fox News



Hakcipta iluminasi.com (2017)