Nabi Muhammad S.A.W adalah sebaik-baik manusia, yang diberikan wahyu untuk memimpin seluruh umat manusia akhir zaman.
Baginda memiliki budi pekerti yang tersangat mulia, berdakwah dengan selembut-lembut cara walaupun dicaci serta berkelakuan baik walaupun kepada mereka yang tidak mengikuti baginda.
Kisah kehidupan baginda perlu dijadikan teladan dan dicontohi oleh semua umat manusia.
BESARKAN TEKS A- A+
Ramai yang percaya bahawa sebelum baginda menghembuskan nafas terakhir di dunia, baginda menyebut "Ummati, ummati, ummati" yang bermaksud "Umatku, umatku, umatku".
Namun, ini adalah tidak benar dan apa yang diucapkan oleh baginda adalah kalimah lain.
Sebelum kita mengetahui apa perkataan yang disebutkan oleh Rasulullah, perlu kita tahu akan saat-saat terakhir kekasih Allah sebelum menemui Penciptanya.
Rasulullah SAW berbisik dengan Fatimah
(Kawasan rumah yang didiami Rasulullah SAW selama 28 tahun)
Menurut al-Rahiq al-Makhtum yang dikarang oleh Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri, berikut adalah saat-saat terakhir Nabi Muhammad S.A.W:
Apabila waktu Dhuha semakin meninggi, Fatimah R.A dipanggil oleh Rasulullah S.AW dan dibisikkan sesuatu di telingnya. Mendengar bisikan tersebut, puteri baginda itu pun menangis.
Fatimah sekali lagi dipanggil baginda dan dibisikkan lagi sesuatu di telinganya.
Tetapi kali ini, Fatimah tertawa. Aisyah R.A yang mendengar lantas bertanya tentang perkara itu dan dijawab Fatimah dengan berkata:
"Aku dibisikkan oleh Rasulullah S.A.W bahawa baginda akan wafat dengan sakit yang sedang dihadapinya, yang membuatkan aku menangis. Namun kemudian baginda sekali lagi berbisik kepadaku bahawa akulah ahli keluarganya yang pertama akan menyusul setelah baginda,".
Rasulullah S.A.W juga menggembirakan hati puterinya itu dengan memberitahu bahawa dia adalah penghulu wanita di seluruh alam.
Ketika Fatimah sedang menyaksikan penderitaan yang ditanggung ayahandanya, dia pun berkata: "Alangkah deritanya ayahanda,".
Baginda kemudiannya bersuara dengan berkata kepada Fatimah, "Selepas dari hari ini, tiada lagi penderitaan ke atas ayahandamu,".
Tak lama selepas itu, Rasulullah S.A.W memanggil dua orang cucu kesayangan baginda iaitu Hasan dan Husain, lantas berpesan kepada mereka dengan kebaikan.
Kemudian para isteri baginda pula dipanggil dan nasihat serta peringatan diberikan.
Disebabkan kesakitan yang dirasai baginda semakin kuat akibat daripada kesan racun daging kambing yang dimakan baginda di Khaibar, baginda berkata: "Wahai Aisyah, aku masih terasa lagi makanan yang aku makan di Khaibar, jadi sekarang ini aku merasai urat leherku seperti hendak terputus akibat racun ini,".
Kemudian Rasullah S.A.W bersandar di riba Aisyah, menandakan saat-saat paling akhir kehidupan baginda di dunia. Dalam hal ini, Aisyah berkata:
"Rasulullah S.A.W wafat di dalam rumahku, semasa giliranku dan dipangkuanku antara leher dan dadaku adalah antara nikmat Allah S.W.T yang dikurniakan padaku. Dan air liurku dan air liur baginda ketika saat kewafatan baginda dikumpulan Allah S.W.T,".
Rasullulah SAW bersugi sebelum wafat
Kemudian, Abdulrahman bin Abu Bakar masuk dengan kayu sugi di tangannya, ketika Aisyah sedang meriba Rasulullah S.A.W..
Kayu sugi yang dipegang Abdulrahman dipandang oleh baginda dan Aisyah menyedari hal itu lalu bertanya kepada Rasulullah S.A.W: "Mahukah aku dapatkan kayu sugi untukmu?".
Dengan isyarat kepala oleh baginda, Aisyah pun mengambil sebatang kayu sugi dan diberikan kepada baginda. Akan tetapi, kayu sugi tersebut agak keras dan lalu Aisyah pun bertanya: "Mahukah engkau kayu sugi itu aku lembutkan untukmu?".
Sekali lagi baginda memberikan isyarat menggunakan kepala, lalu kayu sugi itu dilembutkan Aisyah dan Rasulullah S.A.W meminta agar baginda disugi.
Satu riwayat lain mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersugi dengan cara yang lebih baik daripada sebelum ini.
Baginda kemudiannya mencelupkan tangan ke dalam bekas air yang dihadapkan kepada baginda lalu disapu pada muka dengan berkata:
"Tidak ada Tuhan selain Allah, sesungguhnya bagi kematian itu kesakitan-kesakitan,".
Setelah baginda selesai bersugi, Rasulullah S.A.W mengangkatkan tangan atau jari baginda, lalu mendongak ke atas diikuti dengan bibir yang bergerak-gerak.
Melihatkan perkara itu, Aisyah kemudiannya merapatkan telinganya mendekati mulut baginda kerana ingin mendengar apa yang Rasulullah S.A.W ucapkan:
مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي، وَأَلْحِقْنِي بِالرَّفِيقِ الأَعْلَى اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى
Maksudnya: “Bersama orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka daripada kalangan para nabi, orang-orang benar (orang yang beriman), orang-orang syahid dan orang-orang soleh. Ya Allah, ampunilah aku dan rahmatilah aku serta pertemukan aku dengan Teman Yang Tertinggi, Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi.”
Kalimah ini diulangi oleh Rasulullah S.A.W sebanyak tiga kali, sebelum tangan baginda terkulai layu yang menandakan bahawa manusia terhebat di dunia telah pergi meninggalkan kita di dunia selama-lamanya untuk menghadap Kekasih Yang Tertinggi. (al-Rahiq al-Makhtum, 430-432)
(Makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi di Kota Madinah)
Perkataan dan ucapan sebelum Rasulullah S.A.W menghembuskan nafas terakhir ada diceritakan di dalam beberapa teks atau matan hadith. Antaranya adalah:
Daripada Aisyah dan Abdullah bin Abbas R.anhuma berkata:
لَمَّا نَزَلَ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، طَفِقَ يَطْرَحُ خَمِيصَةً لَهُ عَلَى وَجْهِهِ، فَإِذَا اغْتَمَّ كَشَفَهَا عَنْ وَجْهِهِ، وَهُوَ كَذَلِكَ يَقُولُ: لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى اليَهُودِ، وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ
Maksudnya: “Apabila turun wahyu kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW memegang bajunya sambil menutup secarik kain ke wajahnya dan saat beliau beliau mula merasa sesak, kami pun membukanya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Laknat Allah ke atas orang Yahudi dan al-Nasrani yang mana mereka menjadikan kubur para nabi mereka sebagai masjid.” [Riwayat al-Bukhari (4443)]
Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini di dalam bab sakit dan kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Daripada Aisyah R.anha berkata:
فَكَانَتْ آخِرَ كَلِمَةٍ تَكَلَّمَ بِهَا: اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى
Maksudnya: “Adapun ucapan terakhir yang diucapkan oleh Baginda SAW adalah: اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi).” [Riwayat al-Bukhari (4463)(6348)(6509) dan Muslim (2444)]
Selain itu, perkara berkaitan solat adalah antara wasiat Rasulullah SAW sebelum baginda wafat, sepertimana yang dinyatakan dalam kitab-kitab sirah, seperti:
وَأَوْصَىْ النَّاسَ، فَقَالَ: الصَّلَاةُ الصَّلَاة ُوَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانَكُمْ
Maksudnya: “Peliharalah solat, peliharalah solat dan hamba-hamba yang kamu miliki.”
Dalam hal ini, kami cenderung kepada hadith Aisyah R.anha iaitu ucapan Nabi SAW yang terakhir sebelum Baginda SAW wafat adalah “اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi)”.
Ini kerana, Imam al-bukhari dan Imam Muslim bersepakat bahawa hadith atau riwayat tersebut itu adalah ucapan Nabi SAW.
Malah, ia diceritakan oleh Aisyah di mana baginda wafat di rumah dan di atas pangkuannya. Dan disebabkan ini, Aisyah adalah orang yang paling layah untuk menceritakan kisah seperti ini.
Seperti yang dinyatakan, terdapat kisah yang mengatakan bahawa perkatan terakhir Rasulullah S.A.W adalah "Umatku, umatku, umatku", namun ini adalah tidak benar kerana tidak menemui sumber yang sahih.
Ucapan baginda berkenaan dengan laknat Allah terhadap Yahudi dan Nasrani, serta ucapan tentang solat tersebut diucapkan baginda sebelum Rasulullah SAW mengucapkan “اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi).”
Tambahan pula, ucapan tersebut diceritakan oleh Aisyah R.A yang mana Nabi SAW wafat di rumah dan di pangkuannya. Justeru itu, beliaulah yang lebih layak untuk menceritakan perkara seperti ini.
Selain itu, dikatakan ucapan Nabi SAW yang terakhir adalah “umatku, umatku”, perkara ini adalah tidak benar sama sekali kerana kami tidak menemui sumbernya yang sahih. Adapun ucapan Nabi SAW berkaitan laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, dan juga ucapan Nabi SAW berkaitan solat adalah diucapkan sebelum daripada Baginda SAW mengucapkan “اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi).”
Kata-kata Rasulullah SAW bercanggah?
Dengan ini, terdapat persoalan yang timbul di mana ucapan baginda tidak selari dengan hadith yang Rasulullah SAW ajarkan kepada kita untuk diucapkan sebelum meninggal dunia:
Daripada Mu’az bin Jabal, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ucapan terakhirnya “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (Tidak ada Tuhan melainkan daripada Allah).” (Riwayat Abu Daud (3116)) (sanadnya adalah hasan menurut Imam al-Nawawi)
Menurut hadith di atas, adalah disuruh oleh Nabi Muhammad SAW untuk kita mengucapkan kalimah tauhid iaitu “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (Tidak ada Tuhan melainkan daripada Allah)” sebagai kata-kata terakhir di dunia.
Ini kerana sesiapa yang berjaya mengucapkan kalimat ini, maka dia mempunyai hak untuk dimasukkan ke dalam syurga.
Untuk menjawab percanggahan ini, kita memetik pendapat al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani, di mana beliau memetik daripada al-Suhaili iaitu antara hikmah Rasulullah SAW mengucapkan kalimah “ اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, KekasihYang Tertinggi)” sebelum menghembuskan nafas terakhir kerana terkandung tauhid (iaitu meng-esa-kan Allah) di dalam kalimah tersebut, dan ia (tauhid) diucapkan di dalam hati.
al-Suhaili berkata sebab mengapa kalimah ini adalah yang terakhir oleh baginda adalah kerana ia merujuk kepada kedua-dua tauhid dan zikir di dalam hati.
Ia memberikan keselesaan kepada mereka yang tidak dapat bercakap (sebelum meninggal dunia), kerana sesetengah orang mungkin tidak dapat bercakap dengan kuat kerana beberapa sebab, tetapi itu tidak penting jika hati mereka teguh dalam mengingati Allah.
Ini menunjukkan terdapat keringanan bagi orang lain bahawa tidak disyaratkan untuk mengucapkan kalimah tauhid secara lisan (menggunakan lidah).
Kadang-kala sesetengah daripada manusia tidak terhalang daripada mengucapkannya secara lisan dan ini tidaklah memberikan apa-apa kemudaragan jika hati terkandung kalimah tersebut. (Fath al-Bari, 138/8)
Kesimpulan
Dengan ini, sepertimana yang telah dijelaskan di atas, sekali lagi ditegaskan bahawa kata-kata yang diucapkan oleh Rasulullah SAW adalah “اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi)”.
Juga tiada percanggahan antara ucapan terakhir baginda dengan apa yang diajarkan kepada kita untuk diucapkan sebelum meninggal dunia.
Wallahualam.
Rujukan:
2. Islam QA