Isu ini dibincangkan dalam keratan akhbar Kosmo dan ia merupakan satu masalah yang boleh membuka minda masyarakat kita. Tajuk ini dipilih diharapkan dapat memberikan kesedaran sedikit sebanyak kepada rakyat Malaysia dalam menempuhi kehidupan seharian. Isu ini juga diulas oleh Utusan Malaysia bagi memberi penilitian lebih kepada semua peringkat masyarakat.
BESARKAN TEKS A- A+
Dengan ekonomi yang semakin mencabar, graduan universiti harus bersusah payah pada awal kehidupan mereka untuk menyara hidup. Graduan juga susah mendapatkan pekerjaan menyebabkan kehidupan menjadi lebih mencabar. Peralihan daripada zaman pendidikan ke zaman pekerjaan begitu berbeza menyebabkan ramai anak muda susah untuk menyesuaikan diri dengan peralihan ini.
Ibu Bapa Sebagai "Bank Segera"
Anak muda tidak belajar untuk membuat simpanan wang kecemasan jadi mereka akan bergantung kepada ibu bapa pada waktu ini. Mereka beranggapan bahawa ibu bapa merupakan "bank segera" yang mana mereka boleh mendapatkan wang bila-bila masa sahaja mereka mahukan.
Banyak alasan tidak munasabah yang diberikan oleh mereka seperti tidak cukup duit kerana gaji rendah dan macam-macam lagi. Sebenarnya, alasan ini hanyalah cara mudah untuk anak-anak muda untuk mendapatkan duit secara mudah. Jika pendapatan kerja tidak mampu menampung kehidupan, terdapat banyak lagi alternatif lain untuk mendapatkan wang.
Selain itu, kelemahan dalam merancang kewangan dan ekonomi sendiri merupakan salah satu punca utama masalah kebergantungan terhadap ibu bapa berlaku. Sepatutnya, anak-anak muda membuat kira-kira jumlah bil elektrik, sewa rumah, duit minyak, barang dapur dan sebagainya agar mereka boleh mengagak jumlah kos perbelanjaan bulanan.
Jika perancangan rapi dibuat, pasti mereka boleh membuat simpanan untuk masa depan. Justeru, ia mampu mengajar anak muda untuk tidak bergantung kepada ibu bapa. Kefahaman dalam perancangan kewangan dan ekonomi mampu untuk menghentikan penggunaan "bank segera".
Tanggung Anak Tidak Membantu Malah Merosakkan
Ada di antara ibu bapa yang tidak mahu anak-anak mereka untuk membuat pinjaman PTPTN kerana hutang pinjaman pelajaran itu akan menyukarkan hidup anak-anak mereka pada masa depan. Jadi mereka memilih untuk memberi sokongan kewangan kepada anak-anak bagi memudahkan proses pembelajaran mereka. Untuk membantu anak-anak mendapatkan pelajaran masih lagi munasabah.
Walau bagaimanapun, sokongan kewangan perlu dihentikan apabila anak-anak sudah mempunyai mata pencarian sendiri. Pendidikan disara oleh ibu bapa agar anak-anak boleh mencari pendapatan sendiri. Justeru, apa gunanya pendidikan diberikan kepada anak-anak jika mereka tidak tahu menyara hidup sendiri? Disebabkan masalah tidak tahu berdikari, tiada guna anak muda mempunyai ijazah setinggi gunung sekalipun.
Ibu bapa harus sedar bahawa jika mereka terus menanggung anak-anak mereka, ia bukan membantu tetapi menyebabkan anak mereka rosak. Sokongan kewangan perlu dihentikan agar anak-anak boleh bergantung kepada diri sendiri dalam kehidupan mereka. Jika anak muda tahu bahawa ibu bapa bukan lagi punca saluran kewangan, pasti mereka akan mencari jalan untuk menyara hidup sendiri.
Zaman Sudah Berubah
Tidak dinafikan bahawa perubahan zaman berlaku sepanjang kita hidup dan ini sedikit sebanyak memburukkan lagi keadaan. Kos sara hidup masa kini tidak seperti 20-30 tahun dahulu. Anak muda zaman kini tidak mampu untuk hidup walaupun dengan gaji RM3,000 sedangkan anak muda berpuluh tahun lalu mampu hidup dengan gaji RM1,000.
Kenaikan harga barang harian seperti beras, ikan, minyak dan sebagainya menambahkan lagi tekanan kepada anak muda. Peningkatan kos sara hidup menyebabkan anak muda terpaksa bergantung kepada ibu bapa sendiri walaupun sudah mempunyai sumber pendapatan.
Bukan harga barang sahaja yang naik, harga kereta dan rumah juga memberikan impak yang besar dalam kehidupan anak muda. Ada di antara anak muda mengharapkan ibu bapa untuk membeli kereta dan rumah untuk mereka memulakan hidup sendiri.
Perubahan zaman bukanlah satu alasan untuk anak muda terlalu mengharapkan ibu bapa dalam semua aspek kehidupan. Ibu bapa hanya perlu membantu jika anak betul-betul memerlukan tetapi realitinya bukan sebegitu. Ramai juga di antara anak muda menggunakan alasan kos sara hidup sedangkan wang yang diberikan oleh ibu bapa tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka.
Generasi "Manja" Akibat Didikan Yang Tidak Tegas
Kita sebenarnya mangsa kepada kejayaan kita terdahulu. Justeru melahirkan generasi manja - YB Khairy Jamaluddin
Generasi masa kini kurang memahami erti tanggungjawab kerana kebanyakkan perkara telah tersedia kepada anak muda. Ibu bapa yang tidak tegas semasa mendidik anak-anak akan menyebabkan anak muda terbiasa untuk mengambil mudah sesuatu perkara.
Walaupun begitu, masih wujud anak muda yang memahami erti tanggungajawab kerana ibu bapa mereka tidak terlalu memanjakan mereka. Ibu bapa sebegini banyak mendidik anak-anak untuk berusaha jika mahu mendapatkan sesuatu. Ada juga yang sudah dididik untuk mencari sumber pendapatan sejak usia yang muda.
Kedua-dua aspek ini harus diseimbangkan kerana terlalu tegas juga bahaya tetapi jika terlalu manja juga akan membawa keburukkan. Apa yang penting, anak muda harus memahami maksud tanggungjawab dalam hidup mereka. Banyak cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi membentuk anak muda yang bertanggungjawab.
Ibu bapa boleh meminjamkan wang kepada anak-anak dengan syarat mereka wajib membayar semula duit tersebut dan jika mereka betul-betul terdesak. Anak muda pasti akan lebih menghargai wang jika mereka tahu wang yang dipinjamkan harus dibayar semula. Cara ini mampu mengajar anak-anak tentang pengurusan wang sehingga mereka tidak lagi mengharapkan wang daripada ibu bapa.
Sokongan Kewangan Untuk Hidup Mewah
Sebenarnya antara masalah utama berlaku apabila anak muda terlalu cenderung untuk hidup mewah. Permulaan hidup mewah selalunya bermula di universiti kerana pada waktu ini, pengaruh rakan-rakan banyak menyebabkan anak muda mahu ikut "trend" baru. Mereka masih membeli baju mahal dan makan di restoran terkemuka walaupun tahu tentang simpanan kewangan sendiri.
Bagi mereka yang faham maksud ukur baju di badan sendiri pasti tidak akan menghadapi masalah sebegini. Apa yang lagi menyedihkan ialah masih ada ibu bapa yang masih lagi memberikan wang bulanan kepada anak sendiri walaupun tahu tentang gaya hidup anak mereka.
Dr Fatimah Daud, seorang pakar sosial berpendapat bahawa anak muda zaman ini tidak berasa malu untuk meminta duit tambahan daripada ibu bapa walaupun mereka sendiri sebenarnya mampu untuk melancong ke luar negara setiap tahun. Trend meminta duit walaupun sudah bekerja amat merisaukan generasi masa kini.
sumber: Kosmo