dua pemuda bawah tanah romania

Nasib anak yatim di negara kita walaupun kerap dikatakan tidak terbela - sebenarnya jauh lebih baik berbanding nasib individu lain yang senasib mereka di negara lain.

Khasnya bagi sekumpulan anak yatim di Romania. Kejatuhan kerajaan komunis pada tahun 1989 dianggap bakal mengubah nasib mereka, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

generasi malang ciptaan romania

Nasib mereka semakin tidak diabaikan berikutan arahan kerajaan menutup pusat-pusat jagaan ini. Dihalau serta tiada lagi tempat tinggal, ke mana anak-anak ini akan membawa diri?

Mereka mula menetap dalam tanah, membentuk komuniti mereka sendiri.

Sejarah 'anak yatim bawah tanah Romania'

anak anak yang ditinggalkan ibu bapa

Semasa pemerintahan rejim komunis di bawah Nicolae Ceausescu, kerajaan Romania melancarkan dekri 770 bagi mengubah undang-undang mereka terhadap masalah pengguguran bayi yang menyebabkan jumlah penduduk berkurangan.

Kerajaan Romania sebelum Ceausescu membenarkan pengguguran janin sebagai salah satu cara merancang kehamilan masyarakat mereka, sejak tahun 1957 lagi. Didorong oleh situasi ketika itu yang memerlukan kaum wanita menumpukan pada kerjaya dan taraf hidup yang agak daif, banyak pasangan memilih untuk tidak memiliki anak. Ini menyebabkan jumlah kelahiran di Romania menurun mendadak.

gambar kanak kanak tahun 1990

Selepas memegang kuasa, Nicolae Ceausescu meletakkan sasaran mahu meningkatkan jumlah populasi Romania daripada 23 juta kepada 30 juta orang penduduk, bagi menampung jumlah pekerja yang diperlukan negara mereka.

Dekri 770 diumumkan pada 1966, melarang pasangan mengugurkan janin kecuali bagi wanita yang berumur 40 tahun ke atas, sudah memilik empat orang anak, berisiko tinggi sekiranya terus mengandung dan juga wanita mangsa rogol atau sumbang mahram. Selain itu, jualan pil-pil perancang juga diharamkan menyebabkan rakyat Romania tidak ada banyak pilihan dalam perancangan keluarga.

Ini menyebabkan peningkatan dua kali ganda pada jumlah kelahiran di Romania, dengan generasi yang lahir pada 1967 dan 1968 merupakan peratusan jumlah terbesar dalam sejarah mereka.

Mengalami penurunan populasi pada era 70-an

bruce lee raja bawah tanah

Realiti kembali menggigit masyarakat Romania. Orang ramai mula merasakan tekanan kewangan disebabkan keperluan menanggung anak yang ramai dan diburukkan lagi dengan ekonomi yang tidak berapa baik. Pil-pil perancang mula diseludup masuk. Doktor mula menawarkan khidmat khas memalsukan laporan, bagi membolehkan penguguran janin dilakukan ibu yang tidak mahu anak mereka.

Berikutan langkah yang diambil, era 70-an menyaksikan kes-kes kematian tertinggi pernah dicatat di Eropah melibatkan ibu mengandung. Ini kerana banyak wanita Romania terpaksa mengambil jalan lain menggugurkan kandungan disebabkan kesempitan hidup. Prosedur pengguguran secara haram berleluasa. Kanak-kanak yang lahir pula mengalami kecacatan disebabkan kesukaran si ibu mendapatkan makanan yang berkhasiat semasa mengandung.

Walaupun situasi meruncing, Dekri 770 tetap diteruskan. Mana-mana pasangan yang didapati tidak mempunyai anak akan dikenakan denda. Berikutan jumlah anak yang ramai atas desakan kerajaan, banyak ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan anak yatim kelolaan kerajaan secara tetap - tidak lagi mahu menjaga mereka sendiri.

Tekanan antarabangsa ke atas Romania akibat hutang luar memaksa Ceausescu mengambil langkah drastik, memotong dana yang disalurkan ke pusat penjagaan anak yatim sebelum itu. Keadaan ini memaksa anak-anak yatim yang ditinggalkan mula diabaikan - sebelum revolusi Romania yang berlaku pada tahun 1989 menjatuhkan kerajaan Ceausescu dan beliau sendiri dibunuh.

Ketika inilah anak-anak yatim yang tidak terpilih sebagai anak angkat keluarga lain, keluar daripada rumah-rumah perlindungan mereka kerana terpaksa mencari makan dan tempat perlindungan lain. Satu-satunya tempat yang ada untuk mereka adalah sistem terowong keretapi bawah tanah yang terletak di Bucharest.

Komuniti bawah tanah yang bahagia

bruce lee raja masyarakat bawah tanah romania

Bruce Lee

Terowong bawah tanah di Bucharest menjadi pilihan disebabkan sistem itu mempunyai kemudahan yang lengkap. Wujud lampu yang dipasang serta paip-paip stim yang memanaskan udara. Lebih baik lagi, semuanya ditinggalkan begitu saja tanpa digunakan jadi mereka bebas menggunakannya secara percuma.

penduduk pemuda bergambar tanpa pakaian

Bermula daripada tahun 1989 sehinggalah kini, beberapa generasi itu hidup dalam dunia mereka, membesar dan mempunyai keluarga sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di atas mereka. Sistem sosial mereka ringkas - hanya individu yang layak menetap di situ akan dibenarkan masuk ke kawasan mereka.

Individu yang menentukan kebenaran ini pula adalah seorang lelaki bergelar 'Bruce Lee', yang telah tinggal di situ selama 28 tahun. Bruce diibaratkan sebagai raja kawasan tersebut, sentiasa dikelilingi kawanan anjing yang menjadi pengawalnya dan setiap orang penduduk 'kota bawah tanah' perlu menghormati kedudukan Bruce.

Rutin hidup 'generasi ciptaan Ceausescu'

pemuda keluar masuk pintu

Setiap hari kehidupan mereka daripada kecil sehinggalah dewasa sama saja rutinnya. Pada waktu siang, mereka secara beramai-ramai akan keluar menyelongkar tong sampah atau kawasan pembuangan sampah bagi mendapatkan makanan dan barangan yang boleh digunakan. Waktu malam pula akan dihabiskan dengan berkumpul berama-ramai, berbual dan tidur sebelum kembali kepada rutin mereka keesokannya.

Ketika ini, dianggarkan jumlah mereka yang masih menetap dalam kawasan itu adalah sekitar 300 orang. Kebanyakannya mengalami masalah dadah dan tabiat menghidu bahan kimia bagi mendapatkan rasa khayal. Kadar HIV di kalangan mereka juga tinggi dan dianggarkan, suku daripada jumlah populasi yang masih menetap disitu, menghidapi tuberkulosis.

masyarakat bawah tanah romania

Apa yang menakutkan, usaha kerajaan Romania mahu membawa mereka keluar daripada kehidupan tersebut sering mendapat tentangan. Setiap kali operasi dilakukan, mereka akan menghilangkan diri. Pintu-pintu masuk yang dikenalpasti berjaya ditutup pihak penguatkuasa, namun tetap gagal menghalang mereka kembali ke bawah tanah.

Sangat sukar sekali untuk mereka kembali menjalani kehidupan seperti kita. Pada kita, apa yang kita lalui sekarang norma kita dan mereka yang mengamalkan kehidupan abnormal. Menyalahkan mereka 100% tidak mahu keluar daripada satu-satunya rutin yang mereka tahu tidaklah adil, kerana mereka adalah generasi yang terhasil daripada campur tangan kerajaan Romania ke atas generasi-generasi ibu ayah mereka sebelum mereka lahir ke dunia.

Bagaimana mahu berubah, sekiranya purata umur mereka yang mula mendiami kawasan bawah tanah itu sejak tahun 1989 adalah 7 tahun? Berjaya hidup sehingga dewasa pun sudah jadi satu kejayaan besar pada individu-individu ini yang enggan keluar daripada syurga ciptaan mereka dan berajakan seorang lelaki bernama Bruce Lee.

Rujukan

Euro Views

ABC News


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)