Anda pasti pernah mendengar nama-nama seperti Marco Polo, Vasco da Gama atau Christopher Columbus. Mereka adalah antara penjelajah paling terkenal dalam sejarah dunia. Namun, terdapat seorang lagi penjelajah hebat yang mungkin jarang diberi tumpuan dalam sejarah barat.
Penjelajah hebat yang dimaksudkan itu ialah Abu Abdullah Muhammad atau lebih dikenali dengan nama Ibnu Batutah. Dalam tempoh hampir 30 tahun, beliau telah mengembara sejauh 120,000 km merentasi daerah yang kini terletaknya 44 buah negara.
BESARKAN TEKS A- A+
Ibnu Batutah telah melalui pelbagai rintangan sepanjang pengembaraan itu dan beliau mencatat segala pengalamannya dalam sebuah buku yang dikenali sebagai "Rihlah".
Penjelajah Muslim yang hebat
Beliau dilahirkan pada 25 Februari 1304 Masihi bersamaan 17 Rajab 703 Hijrah di Tangier, Maghribi (Morocco). Ibnu Batutah dibesarkan dalam keluarga Islam yang taat dan beliau tertarik untuk mendalami ilmu-ilmu fiqah, perundangan Islam serta sastera dan bahasa Arab.
Jalur keluarganya di Tangier telah menghasilkan ramai hakim-hakim Muslim yang terkenal. Ibnu Batutah juga telah menerima pendidikan awal tentang perundangan dan sastera di kampung halamannya.
Pada tahun 1325 Masihi, Ibnu Batutah telah memulakan perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 16 bulan tetapi akhirnya menjadi hampir 30 tahun lamanya. Beliau menulis dalam Rihlah:
Aku tinggalkan kampung halamanku, Tangier, pada Khamis 2 Rajab 725 H / 14 Jun 1325 M. Usiaku baru 21 tahun empat bulan. Tujuanku adalah untuk menunaikan ibadah Haji ke Tanah Suci di Makkah dan menziarahi makam Rasulullah S.A.W di Madinah.
Dalam catatannya, Ibnu Batutah menyatakan kesedihannya untuk meninggalkan keluarga, sahabat dan kampung halamannya. Selama hampir 30 tahun, Ibnu Batutah telah melalui sebanyak empat peringkat pengembaraan.
Pada mulanya, Ibnu Batutah mengembara bersendirian menaiki kaldainya. Beliau kemudian terpaksa menyertai sebuah rombongan Haji bagi mengelak dirinya menjadi sasaran penyamun atau perompak.
Walaupun keselamatannya lebih terjamin, Ibnu Batutah tidak terlepas dari bahaya penyakit. Beliau telah dijangkiti demam sehingga terpaksa mengikat kakinya pada pelana kaldai bagi mengelakkan dirinya terjatuh dan ketinggalan.
Fasa perjalanan Ibnu Batutah
Perjalanan pertamanya ke Mesir, beliau melalui pesisir pantai di utara Afrika dari Tripoli sehingga Iskandariah (pelabuhan penting di Mesir). Apabila tiba di Kaherah, Ibnu Batutah menjelajah ke seluruh negara itu untuk melawat tempat-tempat bersejarah yang lain.
Beliau kemudian menuju ke Baitul Maqdis, Damsyik dan seterusnya ke Mekah bagi menunaikan fardhu Haji.
Apabila selesai menunaikan Haji, Ibnu Batutah meneruskan semula pengembaraannya. Dalam perjalanan keduanya, beliau telah mengembara ke Iraq dan Parsi (Iran).
Beliau kemudian kembali ke Mekah dan menetap di sana selama dua hingga tiga tahun untuk mendalami ilmu agama.
Dalam perjalanannya yang ketiga, Ibnu Batutah menghala ke ke kawasan yang kini dikenali sebagai Azerbaijan dan Yaman melalui Laut Merah. Beliau juga merentasi beberapa kawasan yang meliputi Somalia, Tanzania dan Kenya di Afrika.
Beliau kemudian kembali semula ke Mekah melalui Oman dan Bahrain.
Setelah selesai menunaikan ibadah Haji buat kali ketiga, beliau meneruskan perjalanannya yang keempat. Kali ini, Ibnu Batutah telah pergi ke Turki dan menetap sementara di Constantinople (Istanbul).
Selepas itu, beliau meneruskan perjalanannya ke Asia Kecil, Bulgaria, Rusia sehinggalah ke Afghanistan. Dari Afghanistan, Ibnu Batutah melanjutkan perjalanannya ke India, China dan kepulauan Jawa.
Selepas pengembaraannya ke Asia, Ibnu Batutah kembali semula ke Maghribi buat seketika.
Beliau kemudian melanjutkan lagi perjalanannya ke Andalusia (Sepanyol) dan mengunjugi pelabuhan dan kota-kota besar di sana. Akhirnya, Ibnu Batutah kembali semula ke Maghribi melalui Sudan dan padang pasir Sahara.
Pengalaman dalam pengembaraan
Ibnu Batutah menyatakan dalam kitab Tuhfat al-Nazhar bahawa dia telah menemui begitu ramai pemerintah dan raja. Namun, beliau paling mengagumi tujuh orang raja yang memiliki kelebihan luar biasa. Antaranya ialah :
- Raja Iraq yang sangat berbudi bahasa
- Raja Hindustani (India) yang sangat peramah
- Raja Yaman yang berakhlak mulia
- Raja Turki yang gagah perkasa
- Raja Romawi yang sangat pemaaf
- Raja Turksstan (Kazakhstan) yang sangat bertolak ansur
- Raja Melayu (Sumatera) iaitu Malik Al-Zahir yang berpengetahuan luas
Beliau juga telah melalui pelbagai pengalaman manis dan pahit yang ditulisnya dalam Rihlah. Berikut adalah beberapa pengalamannya sepanjang mengembara seperti:
- Bertemu dengan ramai ahli sufi
- Berjuang bersama-sama keturunan Genghis Khan
- Menjadi Ketua Hakim di Delhi dan Kerala atas lantikan Sultan Muhammad bin Tughlag
- Berkahwin dengan keluarga diraja di Maldives
- Dirompak dan diculik lanun di India
- Menunaikan Haji sebanyak tujuh kali
- Kepalanya hampir dipenggal pemerintah zalim
Sumbangan Ibnu Batutah
Ibnu Batutah adalah seorang tokoh yang banyak menyumbang dalam perkembangan ilmu pengetahuan geografi dan sejarah. Selain itu, buku Rihlah yang ditulisnya juga mengenengahkan pelbagai aspek sosial, ekonomi, ekologi, teknologi dan politik terutamanya berkaitan dengan dunia Islam.
Malangnya, pencapaian beliau yang luar biasa itu tidak mendapat penghargaan sewajarnya apabila manuskrip tulisannya telah disembunyikan pihak Perancis yang banyak menjajah negara-negara Afrika ketika itu.
Karya-karya beliau kemudian telah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis dan Inggeris dan telah dibukukan sebanyak empat jilid merangkumi 1000 muka surat.
Rujukan:
1. Ibnu Batutah - Penjelajah Muslim terhebat dalam sejarah