Oleh pada 02 Apr 2017 kategori

Ketum ialah sejenis tumbuhan yang banyak terdapat di Semenanjung Malaysia terutamanya di utara dan tengah Malaysia. Ketum juga terdapat di beberapa negara lain seperti di Afrika dan juga Selatan Thai. Ketum dikenali sebagai kratomdi dalam bahasa Inggeris dan dikenali dengan pelbagai nama di Selatan Thai seperti Kakuam, Ithang atau Thom.

Apakah rupa pokok ketum?Pokok daun ketum tumbuh dengan ketinggian 12-30 kaki tinggi dan 15 kaki lebar. Batang pokok ketum akan tumbuh menegak dan bercabang. Daunnya adalah berwarna hijau gelap dan bunganya berwarna kuning dan bulat serta cenderung untuk berkembang dalam kelompok.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apakah Khasiat Daun Ketum dan Bagaimana Memprosesnya?

Sebelum kisah ketum ini viral pada tahun 2003 kerana kes ketagihan ketum, orang-orang dahulu menggunakan daun ketum sebagai ubat tradisional bagi memulihkan tenaga contohnya untuk wanita lepas bersalin. Cara untuk menyediakannya adalah dengan merebus daunnya dan airnya diminum sebagai pemulih tenaga, membuang angin di dalam badan dan merawat sakit belakang. Kebiasaannya, air ketum disimpan selama 2 hari sahaja kerana khasiatnya itu akan hilang selepas itu.

Daun ketum secara tradisinya dikunyah namun kesannya agak perlahan jika dibandingkan dengan air ketum. Ada juga sumber mengatakan, ketum digunakan sebagai ubat cirit-birit untuk bagi rawatan gangguan opioid dan ejakulasi pramatang ketika melakukan hubungan seks.

daun ketum

Kesan Sampingan Minum Air Daun Ketum

Oleh kerana kelebihannya ini, air ketum telah dijual secara meluas kepada pengguna biasa. Penggunaan air ketum yang tidak dikawal ini telah menyebabkan ketagihan terutamanya golongan remaja. Terdapat banyak berita di televisyen dan di dada-dada akhbar di mana pihak berkuasa juga telah acap kali melakukan operasi membasmi kegiatan ini.

daun dan air ketum

Antara kesan sampingan akibat penggunaan air ketum adalah hilang selera makan dan berat badan, ejakulasi lambat, gelap kulit muka dan masalah usus. Ada di kalangan pengguna air ketum tegar melaporkan gejala seperti panas baran dan cepat marah, hidung berair dan cirit-birit.

Terdapat kajian lain di Malaysia untuk pengguna air ketum tegar dimana mereka akan mengalami kejang otot dan sakit, sukar untuk tidur, demam, tiada selera makan dan mengalami masalah psikologi atau mental.

Mengikutkenyataan Pakar ketagihan dan saintis penyelidikan bersekutu, Yale University School of Medicine, Amerika Syarikat iaitu Dr. Mahmud Mazlan, kandungan alkaloid di dalam daun ketum yang memberi rangsangan akan hilang sekiranya air rebusan itu tidak lagi segar.

Undang-Undang Berkaitan Penyalahgunaan Tumbuhan/Daun Ketum

Terdapat usaha untuk meletakkan ketum di bawah Rang Undang-undang Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan) 2014 oleh Timbalan Menteri Kesihatan(2015), Datuk Seri Hilmi Yahaya kerana Akta Racun 1952 yang ketika ini digunakan bagi mengawal penyalahgunaan daun ketum tidak cukup kuat untuk membasmi masalah penagihan dan pengedaran ketum ini.

Apakah Pandangan Islam Terhadap Air Ketum?

Di dalam Islam, meminum air ketum adalah tidak najis kerana ia adalah tumbuhan, sama seperti ganja.

Hukum meminum air ketum adalah HARAM kerana ia memberi peminum khayal dan menutup pemikiran waras akal manusia, sama seperti meminum arak dan segala jenis benda yang menghilangkan kewarasan manusia.

Melainkan, atas nasihat doktor, air ketum diperlukan bagi menyembuhkan penyakit, hukumnya jatuh kepada HARUS.

Sebagai manusia yang beriman dan waras akal fikiran, dinasihatkan kita mengelak daripada terjebak ke arah perkara yang merosakkan akal fikiran dan tubuh badan kerana menurut Hadis Riwayat Bukhari,“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.”




Hakcipta iluminasi.com (2017)