Kredit foto: remaja.my & Instagram Fattah Amin

Finalis Hero Remaja 2017, Alif Muhaimin memberitahu dia ada sebab kukuh kenapa memilih aktor Fattah Amin sebagai idola dalam industri hiburan.

Kata Alif, dia mengagumi pencapaian yang diraih Fattah dalam kerjayanya dan menyimpan hasrat untuk berlakon dengan pelakonĀ Hero Seorang Cinderella itu.

"Saya rasa tidak salah menjadikan Fattah sebagai idola kerana dia seorang selebriti yang pandai untuk membawa diri ke tahap yang lebih bagus.

"Walaupun menerima pelbagai kecaman, dia tetap positif untuk memajukan diri dengan pelbagai perubahan yang dilakukan daripada segi mutu lakonan sehingga meraih anugerah.

"Dia juga merupakan seseorang yang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara dan bijak mencari peluang yang ada," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Alif membuat kenyataan tersebut di sesi rakaman program Hero Remaja yang berlangsung di Karangkraf, Shah Alam, baru-baru ini.

Dalam pada itu, remaja berusia 23 tahun itu tidak kisah dengan tanggapan orang luar terhadap idola pilihannya.

Malah dia sedia menerima komen negatif susulan kenyataan yang dikeluarkan.

"Saya juga sedia dikritik jika ada orang yang mempertikaikan kenapa saya memilih Fattah sebagai idola dan saya mahu mengambil apa yang terjadi pada dirinya sebagai panduan untuk memperolehi kejayaan kelak," katanya lagi.

Rancangan Hero Remaja 2017 bersiaran setiap Khamis, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)