giliran azhan rani bidas komen que haidar

Kredit foto asal: Instagram.com/azhan_rani

Baru-baru ini, pelakon Que Haidar telah memuat naik status di sebuah halaman Facebook, Movie Addict dengan meluahkan kekesalannya akan kebanjiran pelakon baru yang tidak berbakat menerusi drama tempatan.

Selain Aziz M Osman, nampak gayanya seorang lagi penggiat seni iaitu Azhan Rani meluahkan rasa kurang senang terhadap kelantangan pelakon Que Haidar dalam melabel pelakon baru dengan gelaran 'kayu'.

Azhan berkata sebagai orang yang berpengalaman, Que sepatutnya 'turun padang' bagi menjayakan drama tempatan supaya karya yang dihasilkan lebih seimbang.

Sejujurnya saya bersetuju dengan kenyataan Aziz. Kita tidak sepatutnya menggelarkan seseorang pelakon baharu itu 'kayu' kerana kita semua pernah melalui zaman tidak pandai berlakon. Tiada orang yang terus pandai berlakon.

Mungkin dia (Que) terlalu rimas dengan keadaan itu. Saya sendiri pun kadang-kala tertanya-tanya, kenapa pelakon itu macam ini, kenapa mereka begitu?

Bagi saya, sebagai orang lama, kita harus bertanggungjawab seimbangkan karya. Kalau kita duduk belakang dan asyik memprotes saja, isu ini tidak akan memberi apa-apa perubahan.

Azhan turut berpendapat pelakon ternama yang sudah lama tidak berlakon perlu membuat kemunculan semula demi menyelamatkan keadaan. Menurutnya lagi, mereka tidak perlu menjadikan cara pemilihan pelakon kini sebagai suatu isu kerana sesuai dengan perubahan zaman. 

Saya berharap agar mana-mana pelakon lama yang tidak mahu berlakon lagi untuk kembali aktif dan seimbangkan apa yang patut. Mana tahu, satu hari nanti stesen televisyen menyediakan cerita sesuai untuk kita? Lagipun zaman sudah berubah dan mungkin mereka (pelakon baharu) dilahirkan di ruang selesa. Tambah pula, ini adalah zaman peminat berani mati dan berhempas pulas untuk artis kesayangan mereka, walaupun artis itu tidak berkarya. Mereka lebih pertahankan individu, bukannya karya. Keadaan itu agak tidak sihat sebenarnya.

Sumber berita: BH Online


tags : , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)