Geng motosikal Jepun telah lama menimbulkan kekecohan sejak tahun 1970-an. Dikenali sebagai Bosozoku, geng 'rempit' ini menyimpan kisah hitam yang ganas, sentiasa berperang dengan geng dari daerah lain dan juga mengganggu pihak berkuasa. Mereka sentiasa membuat kacau, mengganggu aliran trafik dengan ratusan motosikal yang telah diubah suai sambil membawa senjata.
BESARKAN TEKS A- A+
Selain yakuza, masyarakat Jepun terdahulu juga amat takut dengan gangster atau samseng jalanan bergelar Bosozoku ini. Mereka kebanyakannya berdarah muda dan lebih suka membuat kacau berbanding yakuza yang dikalangan individu lebih matang.
Dahulu, menjadi sebahagian ahli geng motosikal ini merupakan satu gaya hidup yang gila kerana seorang ahli boleh mengalami kecederaan atau menemui ajal. Anak-anak muda seawal belasan tahun direkrut di bawah pengawasan seorang ketua. Mereka perlu sentiasa mempertahankan reputasi kumpulan dan tidak boleh berundur diri dari mana-mana pertarungan walaupun bilangan pihak lawan adalah lebih ramai.
Geng rempit Bosozoku ini terkenal kerana sering terlibat dalam aktiviti tidak berfaedah seperti lumba motosikal, melanggar lampu merah dan membuang peredam bunyi motosikal untuk membuat bunyi yang lebih bising. Sejak awal tahun 2000, pihak polis telah memulakan operasi khusus untuk membanteras kumpulan Bosozoku di Jepun. Kini, banyak kumpulan yang telah berjaya dikuburkan dan mana-mana anggota yang masih tinggal perlu mencari aktiviti baru yang tidak melanggar undang-undang.
Dari situlah mereka mula memperkenalkan 'Pertempuran Bunyi Bosozoku' di mana peserta akan bertanding untuk mencipta irama hebat menggunakan pendikit dan klac motosikal. Bunyi yang dihasilkan pada kadar yang laju itu agak mengagumkan.
Jika anda membuat carian di Youtube, terdapat ratusan video pertempuran bunyi Bosozoku ini. Ada juga acara istimewa di mana orang ramai akan berkumpul untuk melihat dan mendengar sendiri kemahiran muzikal kumpulan mat motor ini.
Seperti yang anda boleh perhatikan daripada video-video ini, penggemar bunyi bingit ini mengubah suai peredam bunyi (muffler) pada motosikal untuk menghasilkan bunyi yang menarik dan mengagumkan khalayak ramai. Ada yang berlatih secara duet dengan memadankan gerakan tangan laju untuk mencipta bunyi yang selaras. (boleh terus ke minit 6:22 untuk menonton)
Jika anda rasa golongan rempit Bosozoku ini adalah remaja belasan tahun yang tidak mempunyai kerja lain yang lebih berfaedah, sangkaan anda salah. Kebanyakan 'ahli muzik' Bosozoku ini telah menjangkau usia 40-an, malah ada yang lebih tua lagi. Mereka adalah generasi terakhir Bosozoku yang telah hampir terhapus ditelan dek zaman.
Kepada mat-mat motor yang masih merempit dalam negara, kalau hendak berlumba, carilah trek lumba yang selamat dan tidak mengganggu pengguna jalan raya yang lain. Jika nak buat bunyi bising, carilah kawasan yang jauh dari kejiranan atau orang ramai. Pendek kata, janganlah menyusahkan orang lain terutama ahli keluarga sendiri.