Oleh pada 02 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Fattah Amin

Pasangan pelakon Fattah Amin dan Nur Fazura menghangatkan lagi teka-teki pertunangan mereka yang dikatakan bakal berlangsung 13 November ini.

Pemegang trofi Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH 3.0 dalam kenyataan terbarunya enggan menidakkan, ataupun mengiyakan spekulasi yang bertebaran.

"Doa saja yang baik-baik. Perkara yang baik tentunya saya dan dia (Fazura) akan kongsi. Sebagai lelaki, saya sendiri akan mengambil tanggungjawab dalam soal sebegini.

"Saya sendiri pun suka membuat kejutan. Tidak semestinya 13 November ini. Siapa tahu, mungkin esok saya bertunang?" kata Fattah ketika pratonton supertelefilem, Wanita Terindah.

fattah fazura masih berteka teki dakwaan bertunang 2

Kredit foto: Instagram Fattah Amin

Karya itu adalah gandingan kedua dirinya bersama Fazura selepas kejayaan drama rantaian Hero Seorang Cinderella.

Di bawah arahan Joon Goh, supertelefilem itu diterbitkan hasil kerjasama Astro First Eksklusif, Red Films Sdn Bhd dan FastyleAsia. Menemui penonton bermula hari ini di saluran Astro 480.

Sementara itu, Fattah beranggapan Fazura mempunyai kebebasan untuk berkawan kerana masih di bawah tanggungan keluarga.

"Dia juga berhak berkawan dengan sesiapa saja," kata aktor itu yang namanya mula menjadi fenomena selepas drama Suri Hati Mr Pilot.

Dalam pada itu, Fazura apabila diajukan pertanyaan berkenaan, hanya mampu bertegas bahawa dirinya tidak sekali-kali akan mengabaikan media tentang perkongsian kisah peribadi mahupun rancangan masa hadapan.

"Saya dan Fattah pun sibuk bekerja. Saya juga terkejut dengan hal ini. Mungkin juga perkara terbabit bertebaran kerana gimik cerita lakonan kami kali kedua ini.

"Tapi yang jelas, kami hanya bertunang dalam cerita ini," beritahu aktres berusia 34 tahun itu.

Terdahulu, artikel dalam portal BH Online melaporkan tentang dakwaan pasangan ini akan bertunang pada 13 November, namun dalam kenyataan sebelum ini mereka menafikan berita itu.

Sumber berita: BH Online 




Hakcipta iluminasi.com (2017)