Oleh pada 14 Mar 2018 kategori

alexis sanchez mata duitan

Dunia glamor kini sudah sering dikaitkan dengan kerjaya bola sepak, ekoran pendapatan seorang pemain bola sepak yang boleh dikatakan lumayan berbanding pekerjaan-pekerjaan lain yang lebih bersifat konservatif.

Dalam zaman maklumat serta kewujudan pelbagai jenis media sosial. pemain dilihat mampu mencapai tahap populariti yang mampu meletakkan mereka setaraf dengan selebriti atau artis terkenal, mendedahkan sisi kehidupan mereka kepada orang awam yang turut sama ingin tahu apa sebenarnya corak hidup seorang pemain bola sepak.

Di sebalik semua keindahan tersebut, sebenarnya tersembunyi banyak kisah masalah yang berlaku di kalangan pemain, namun kurang mendapat perhatian masyarakat dunia. Kami berharap agar 5 masalah ini dapat dibanteras daripada berlaku dalam pembangunan sukan bola sepak di Malaysia.

1. Terlalu ramai pemain muda menghadapi masalah tekanan mental

pemain yang dibuang akademi lakukan jenayah

Kajian yang dijalankan oleh pakar psikologi di Britain mendapati terlalu ramai jumlahnya pemain bola sepak bertaraf elit yang menyertai akademi bola sepak ternama di England sejak muda, menghadapi masalah tekanan mental yang kronik. Ditambah dengan kerosakan pada emosi serta kepenatan pada tubuh badan, menjadi kan psikologi pemain muda kurang stabil ekoran kurang kematangan untuk memproses apa yang berlaku.

Sistem yang diamalkan di England mengambil pemain seawal usia 8 tahun dan memaksa pemain-pemain kanak-kanak ini melalui proses penyingkiran yang dilakukan setiap tahun, membuatkan mereka terpaksa mendepani tekanan sejak kecil. Kajian mendapati bagi mereka yang tersingkir awal, pemain-pemain muda ini didapati tidak mampu keluar daripada kancah kegagalan yang dihadapi, lalu membesar menyalahkan diri sendiri ekoran impak disingkirkan pada usia tersangat muda.

2. Pemain professional hadapi masalah psikologi teruk

aaron lennon mengalami masalah mental

Pada bulan Mei 2017, bekas bintang England, Aaron Lennon dimasukkan ke hospital mental ekoran keadaannya, selepas dijumpai dalam keadaan tidak terurus oleh polis. Berhadapan masalah prestasi yang menyebabkan dirinya tidak dipilih mewakili pasukan kelabnya, keadaan Lennon semasa ditahan menunjukkan seseorang yang sedang mengalami ketidak seimbangan mental. Setelah diperiksa, beliau menunjukkan simptom kemurungan melampau berpunca daripada faktor psikologi karier pilihannya.

Setiap kali menghadapi perlawanan dan berhadapan dengan sokongan atau cacian berpuluh ribu penonton sebenarnya bukan satu perkara mudah. DItambah lagi dengan tekanan daripada pihak pengurusan, perpindahan tidak dijangka yang boleh berlaku serta ketidah tahuan wujudkah penyambungan kontrak dalam karier yang amat singkat, kehidupan seorang pemain bola sepak yang dilihat indah kerana bergaji besar, sebenarnya tidaklah sebaik yang peminat sangkakan.

3. Tidak bersedia untuk bersara

ryan giggs bercerai selepas skandal

Kebanyakan pemain bola sepak professional walaupun mempunyai karier dan pendapatan yang cukup baik, sebenarnya mempunyai tempoh hayat kerja yang terlalu singkat. Ini menyebabkan ramai yang tidak bersedia untuk menghadapi persaraan yang boleh berlaku seawal usia 30-an. Menurut kajian tahun 2015, bilangan bekas pemain bola sepak gagal dalam melaburkan pendapatan mereka sehingga menyebabkan diisytiharkan bankrap, adalah membimbangkan.

Sudah terbiasa berbelanja besar pada usia muda, ramai yang gagal mengubah cara hidup apabila pendapatan mereka terpaksa dipotong berkali-kali ganda berbanding sebelumnya. Ekoran daripada kehilangan pendapatan mendadak ini, kes perceraian di kalangan pemain bola sepak professional Eropah juga agak tinggi dengan 1/3 daripada mereka didapati mengalami perceraian selepas menghadapi masalah kewangan, mengeruhkan lagi keadaan mereka.

4. Pemain tidak mencapai gred terumbang-ambing

pemain muda mudah hilang arah

Bagi pemain bola sepak di England yang melepasi tahap akademi namun gagal mendapatkan kontrak sebagai pemain bola sepak professional, mereka akan dilepaskan pada usia lewat belasan tahun atau awal 20-an. Jika selama ini hidup mereka difokuskan pada bola sepak semata-mata, pada usia tersebut pemain-pemain muda ini tidak mempunyai banyak kemahiran lain untuk meneruskan hidup seandainya gagal dalam sasaran menjadi seorang professional. Ini mengakibatkan ramai pemain muda yang dianggap tak layak ini terpaksa melakukan jenayah untuk terus hidup.

Pada  tahun 2015, kajian mendapati seramai 141 orang bekas pemain yang sudah dilepaskan daripada kelab, meringkuk dalam penjara atas kesalahan jenayah atau penyalahgunaan dadah. 90 peratus daripada mereka adalah berumur bawah 25 tahun. Dibiarkan sendirian tanpa kelulusan pendidikan dengan prospek kerjaya lain yang malap, amat sukar untuk pemuda-pemuda ini mampu meneruskan hidup seperti individu lain.

5. Menghadapi masalah kerosakan tubuh badan yang tinggi

zlatan ibrahimovic hadapi kecederaan lutut

Menurut kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari University of Nottingham, bekas pemain bola sepak mempunyai peluang 3 kali lebih tinggi berbanding individu lain untuk mendapat penyakit kerosakan lutut osteoarthritis. Ekoran daripada itu, risiko seorang bekas pemain bola sepak memerlukan penggantian sendi lutut pada usia bawah 54 tahun adalah sangat tinggi.

Semua kerosakan ini bukannya datang hanya bila pemain yang mengalami kecederaan. Risiko tinggi ini didapati berlaku pada majoriti pemain bola sepak, ekoran kesan pergerakan yang berlaku setiap kali mereka bermain, yang digelarkan sebagai 'microtrauma' berulang-ulang pada lutut.

Kajian tersebut juga berjaya membuktikan kes-kes ini adalah kes khas yang hanya berlaku pada pemain bola sepak akibat daripada corak latihan dan kesan impak menghadapi perlawanan yang dilakukan secara rutin oleh mereka.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)