Menjadi pemain bola sepak ketika ini merupakan salah satu kerjaya yang dilihat mempunyai prospek besar, sekiranya pemain itu layak bermain pada tahap tertinggi seperti dalam liga negara.
Kisah-kisah individu yang hampir menjadi pemain bola sepak sebelum memilih untuk memfokuskan diri dalam bidang yang jauh berbeza kerap kedengaran. Tahukah anda kisah beberapa orang selebriti atau penghibur yang terkenal di dunia, hampir-hampir menceburi bidang professional menjadi pemain bola secara serius?
BESARKAN TEKS A- A+
1. Sir Rod Stewart
Penyanyi veteran Rod Stewart memang datang daripada keluarga yang fokus pada bola sepak. Ayahnya adalah seorang pemain dan pengurus pasukan bertaraf amatur dengan Rod dianggap sebagai pemain paling berpotensi tinggi di antara adik-beradiknya. Oleh kerana itu Rod memulakan perjalanan bola sepaknya dengan bertanding pada peringkat sekolahnya Middlesex Schoolboys, pada posisi pertahanan.
Walaupun begitu, Rod tidak berminat untuk meneruskan persekolahan dan berhenti sekolah, kerana dia mahu menjadi seorang pemain bola sepak professional. Pada tahun 1960, Rod menyertai sesi pemilihan bagi kelab Brentford FC, yang ketika itu bermain dalam divisyen tiga England. Rod gagal terpilih lalu mula menumpukan perhatian kepada minatnya yang kedua - muzik.
2. Julio Iglesias
Penyanyi legenda daripada Sepanyol ini terkenal di seluruh dunia dengan anaknya Enrique mewarisi bakat beliau dalam muzik. Walaupun begitu Julio sebenarnya lebih dulu berminat mahu menjadi seorang pemain bola sepak.
Semasa belajar di San Pablo University, Madrid, Julio turut sama menempa karier sebagai seorang pemain bola sepak dengan kelab Real Madrid Castilla yang bermain dalam liga divisyen dua Sepanyol. Posisinya - penjaga gol.
Julio mengalami kemalangan semasa menaiki kereta yang menyebabkan beliau tidak mampu berjalan selama lebih dua tahun, menamatkan kariernya sebagai penjaga gol berpotensi. Ekoran masalah pada tulang belakang beliau ketika itu, Julio banyak menghabiskan masa di hospital.
Bagi mencergaskan semula jarinya, Julio dihadiahkan sebuah gitar oleh jururawat. Dia belajar bermain gitar dan selepas itu barulah menyedari beliau sebenarnya mempunyai kebolehan dalam muzik.
3. Sean Connery
Pelakon veteran Sean Connery sebenarnya sangat hampir menempa karier sebagai seorang pemain bola sepak professional semasa muda. Bermain dalam beberapa kelab amatur di Scotland seperti kelab Bonnyrigg Rose, kariernya pada ketika itu tergantung berikutan gagal dalam sesi pemilihan yang disertai beliau dalam usaha melonjak ke tahap lebih tinggi.
Beliau terus bermain bola sepak sehinggalah umurnya mencecah 23 tahun apabila peluang dibuka sekali lagi. Dalam satu siri pertandingan yang diadakan di kawasan Manchester, Sean Connery yang ketika itu beraksi dalam pasukan South Pacific bermain menentang sebuah pasukan tempatan.
Sir Matt Busby, bekas pengurus pasukan Manchester United yang ketika itu menjadi pencari bakat untuk sebuah pasukan, sedang memerhatikan perlawanan. Tertarik dengan aksi Sean, beliau ditawarkan kontrak menjadi pemain namun Sean menolaknya kerana usianya ketika itu sudah agak lewat untuk menjadi seorang pemain professional. (rujukan)
4. Luciano Pavarotti
Bagi yang tidak mengenali beliau, Luciano Pavarotti adalah salah seorang penyanyi opera klasik paling terkenal di dunia semasa hayatnya. Lahir pada tahun 1935, Luciano dipengaruhi oleh ayahnya, seorang penyanyi tenor amatur yang turut sama sukakan sukan bola sepak.
Menyimpan impian sejak kecil untuk menjadi seorang penyanyi tenor yang terkenal serta bermain bola sepak untuk pasukan kebangsaan Itali, namun dia memilih untuk menumpukan perhatian pada bidang muzik.
Digelarkan sebagai salah seorang daripada tiga tenor legenda dunia bersama Placido Domingo dan Jose Carreras, karier bola sepak Luciano bermula sejak muda apabila terpilih mewakili kelab amatur peringkat junior di tempat asalnya, Modena dalam posisi penjaga gol. Dia kemudiannya naik mewakili pasukan senior dan mula menjadi pemain penyerang sayap. Luciano berazam untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang penjaga gol professional namun sedar bakatnya dalam muzik adalah satu anugerah yang tak patut disia-siakan. Dia berhenti bermain bola sepak, seterusnya mula belajar muzik secara serius.
5. Nicky Byrne
Nama Nicky Byrne tidak lagi segah ketika dia dan ahli-ahli kumpulannya, Westlife menakluki pasaran muzik UK dan antarabangsa. Lagu-lagu kumpulan Westlife memang berhantu sehingga menjadi antara kumpulan yang mempunyai lagu paling banyak dinyanyikan semula oleh artis-artis lain.
Nicky yang kerap kali dikatakan anggota paling kacak dalam kumpulan Westlife merupakan seorang pemain bola sepak professional sejak muda. Dia terpilih menyertai pasukan Leeds United di England, setelah lama menjadi pemain amatur di negaranya, Ireland. Dalam peringkat negara pula, Nicky telah terpilih mewakili pasukan kebangsaan Ireland pada peringkat 15 tahun namun dia gagal menempatkan diri dalam skuad senior mereka.
Menyertai Leeds Utd semasa muda, Nicky diberikan posisi penjaga gawang dan memenangi Piala FA Remaja England pada tahun 1997 serta pernah disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam satu perlawanan liga Perdana Inggeris.
Selepas kontraknya tamat bersama Leeds ketika berusia 19 tahun, Nicky kemudiannya mencuba nasib di beberapa kelab divisyen bawah England sebelum pulang beraksi dengan kelab Shelbourne di Dublin, yang seterusnya membawa dia menyertai kejohanan liga professional Ireland.
Pada tahun 1998, Nicky mengambil keputusan untuk mencuba nasib dalam satu uji bakat yang diadakan dan terpilih menyertai Westlife, menjalani karier panjang selama 15 tahun, mencapai jualan 50 juta album, 14 lagu nombor satu di carta serta 7 album nombor 1 di seluruh dunia.