Oleh pada 13 Feb 2018 kategori

Daniel Ellsberg ialah mantan penganalisis bagi Tentera Amerika Syarikat. Namanya menjadi begitu sinonim dengan hak kebebasan akhbar yang diluluskan oleh Pindaan Pertama Perlembagaan A.S. setelah beliau membocorkan satu laporan rahsia berkaitan Perang Vietnam yang dikenali sebagai "the Pentagon Papers" kepada pihak media.

Siapa Daniel Ellsberg?

Daniel Ellsberg dilahirkan di Chicago, Illinois pada tahun 1931 dan dibesarkan di Detroit, Michigan. Kini Daniel dan isteri menetap di Kensington, California dan pasangan ini telah dikurniakan tiga orang cahaya mata hasil perkahwinan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ellsberg menamatkan pengajian ijazah dalam bidang ekonomi dari Harvard University pada tahun 1952 dan memperolehi ijazah kedoktoran dalam bidang yang sama dari universiti yang sama 10 tahun kemudian.

Sebelum menyertai RAND Corp. iaitu sebuah badan penyelidikan dan analisis bukan untung yang berpangkalan di Arlington, Ellsberg merupakan seorang anggota marin. Ellsberg kemudian menyertai Jabatan Pertahanan A.S. di mana beliau membantu menghasilkan laporan bagaimana pegawai tertinggi kerajaan membuat keputusan untuk terlibat dalam Perang Vietnam antara tahun 1945 hingga 1968.

Laporan dengan 7,000 muka surat itu mendedahkan bagaimana pentadbiran di bawah Presiden Lyndon Johnson telah menipu kepada semua pihak secara sistematik tentang kepentingan dan rahsia terulung kerajaan Amerika Syarikat.

daniel ellsberg whistleblower tukang adu pembocor rahsia kerajaan 2

Whistleblower 

Tugas Ellsberg sebagai tukang pemberi maklumat telah membantu mendedahkan kegagalan strategi perang kerajaan itu di akhbar the New York Times, the Washington Post dan belasan akhbar yang lain. Malah, kes itu telah diadaptasikan menjadi drama dan filem Hollywood seperti "The Post", "The Pentagon Papers" dan "The Most Dangerous Man in America." Pembocoran maklumat itu telah mengukuhkan lagi penentangan orang ramai terhadap Perang Vietnam dan membuatkan ahli-ahli Kongres turut menentang konflik tersebut.

Apabila pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Presiden Richard M. Nixon berusaha menghalang The Times daripada menyiarkan laporan itu, akhbar terbabit bangkit melawan. Mahkamah Agung A.S. akhirnya memutuskan bahawa akhbar-akhbar itu bertindak demi kepentingan orang awam dan seterusnya menyekat pihak kerajaan daripada menapis mana-mana cerita sebelum diterbitkan.

daniel ellsberg whistleblower tukang adu pembocor rahsia kerajaan 647

Kemenangan berpihak kepada Ellsberg

Menurut mahkamah itu, hanya akhbar yang bebas dan tidak dikawal sahaja mampu mendedahkan penipuan dalam pentadbiran kerajaan. Dengan pendedahan kerja-kerja dalaman kerajaan yang menjurus kepada Perang Vietnam itu, kesemua akhbar terlibat telah melakukan tugas mulia yang sentiasa diharapkan dan diingini oleh pengasas masing-masing.

Menyentuh perihal tuntutan gabenor yang mendakwa penerbitan seumpama itu akan mengancam keselamatan negara, mahkamah menyatakan kata kunci 'keselamatan' itu adalah suatu istilah umum yang terlalu luas aspeknya. Jadi ia tidak boleh digunakan untuk membatalkan undang-undang asas yang terkandung dalam Pindaan Pertama Perlembagaan.

daniel ellsberg akhbar ny times kemenangan berpihak kepada whistleblower 244

Kronologi "The Pentagon Papers"

Berikut kronologi kerjaya dan kehidupan Daniel Ellsberg sebelum pendedahan laporan "the Pentagon Papers":

1954 - 1957: Ellsberg bertugas sebagai ketua platun senapang, pegawai operasi, komander pasukan senapang bagi Angkatan Tentera Marin A.S.

1957 - 1959: Menyambung pengajian sebagai pelajar junior di Harvard University Society of Fellows, sebuah program elit yang ditubuhkan untuk membolehkan pelajar muda terpilih untuk mendapatkan biasiswa.

1959: Ellsberg bertugas sebagai penganalisis strategik di RAND Corp. Ellsberg kemudian menulis bahawa beliau menerima kerja tersebut di bawah satu tipu daya bahawa terdapat 'jurang peluru berpandu' yang membolehkan A.S. diserang oleh Soviet Union. Ketika itu beliau menjadi perunding kepada Panglima Besar Pasifik (CINCPAC)

1961 - 1964 : Sebagai kakitangan RAND Corp., Ellsberg bekerja sebagai perunding kepada Jabatan Pertahanan dan juga Rumah Putih. Beliau merupakan pakar dalam senjata nuklear, rancangan perang nuklear dan keputusan krisis.

1964: Ellsberg menyertai Jabatan Pertahanan A.S. dan bertugas di bawah John T. McNaughton, iaitu pembantu setiausaha pertahanan bagi hal ehwal keselamatan antarabangsa. Di sini, Ellsberg telah ditugaskan untuk membuat kajian tentang pemilihan keputusan semasa Perang Vietnam.

1964 - 1965 : Setiausaha Pertahanan, Robert McNamara memerintahkan McNaughton dan Ellsberg untuk menyiapkan rancangan sulit untuk menjadikan Perang Vietnam lebih bertambah buruk. Rancangan itu dilaksanakan semasa musim bunga tahun 1965.

daniel ellsberg whistleblower tukang adu pembocor rahsia kerajaan bertugas di vietnam

1965 - 1967 : Ellsberg dipindahkan ke Jabatan Negeri dan berkhidmat di kedutaan A.S. yang berpangkalan di Saigon, Vietnam. Beliau telah menghidap penyakit hepatitis dan terpaksa meninggalkan Vietnam pada Jun 1967.

1967 : Kembali bekerja dengan RAND Corp. dan memulakan laporan "Pembuatan Keputusan A.S. di Vietnam, 1945-68" yang kemudiannya dikenali sebagai "the Pentagon Papers."

1968 - 1969 : Menjadi jururunding kepada Henry Kissinger, pembantu keselamatan negara kepada Presiden Richard Nixon. Ellsberg membantu membuat draf pembentangan Nixon kepada Suruhanjaya Keselamatan Negara berkaitan Perang Vietnam.

1969 : Ellsberg mendapat tahu yang Presiden Nixon ingin lebih memburukkan lagi Perang Vietnam dengan campur tangan kerajaan Amerika. Ternyata Ellsberg kecewa dengan rekod penipuan kerajaan yang berterusan yang terselindung di sebalik kerahsiaan di bawah pimpinan empat presiden. Menurut Ellsberg, kandungan laporan Pentagon tidak menjanjikan sebarang bentuk perubahan dari dalam birokrasi. Hanya ahli Kongres dan orang awam yang celik sahaja mampu menghentikan peperangan yang tidak berkesudahan. Ketika ini, Ellsberg sudah mula membuat salinan fotokopi laporan tersebut yang mempunyai 7,000 muka surat.

1971 : Ellsberg membocorkan sebahagian besar laporan itu kepada the New York Times kerana Kongres menolak untuk menetapkan satu sesi pendengaran bagi laporan itu. Apabila Peguam Negara dan Presiden bertindak menyekat penerbitan akhbar mengenai laporan selanjutnya, Ellsberg menyebarkan salinan laporan tersebut kepada the Washington Post dan 19 akhbar lain. Mahkamah Agung kemudian telah membatalkan injunksi tersebut. Namun, dalam tahun yang sama, Ellsberg didakwa atas 12 tuntutan jenayah berkaitan kebocoran dokumen yang dilakukannya termasuklah tuduhan konspirasi, mencuri harta kerajaan dan pelanggaran undang-undang pengintipan.

daniel ellsberg whistleblower tukang adu pembocor rahsia kerajaan dan isteri

1973 : Hakim yang membicarakan Ellsberg telah menggugurkan kesemua tuduhan ke atasnya dengan mengatakan tindakan kerajaan yang tidak wajar telah lama diselindungkan daripada pengetahuan umum. Hakim kemudian mengisytiharkan ia adalah sebuah perbicaraan silap kerana tindakan kerajaan telah 'menghina keadilan.'

1975 : Perang Vietnam tamat. Ellsberg memulakan kerjaya sebagai seorang penceramah, penulis dan aktivis politik memperjuangkan anti-peperangan dan mempertahankan hak seorang whistleblower.

Ellsberg telah menghasilkan tiga buah buku termasuklah sebuah memoir berjudul "Secrets: A Memoir of Vietnam and the Pentagon Papers" pada tahun 2002. Beliau juga telah mengarang tentang program nuklear Amerika Syarikat dalam sebuah buku yang diterbitkan pada tahun 2017 bertajuk "The Doomsday Machine: Confessions of a Nuclear War Planner." Selain itu, esei-esei berkaitan Perang Vietnam juga telah dibukukan dalam "Papers on the War" pada tahun 1971.

Menurut Ellsberg, beliau adalah seorang patriot dan semangat itu tidak pernah berubah sehingga ke hari ini.

Rujukan:

1. Biography

2. National Public Radio

3. Ellsberg.net




Hakcipta iluminasi.com (2017)