Oleh pada 19 Mar 2018 kategori

Ada orang kata tak dak hadis yang sahih berkaitan Baginda Nabi dilahirkan dalam keadaan sudah dikhatankan, dikhitankan atau disunatkan. Katanya, "tidak ada hadis sahih dalam isu ini walaupun sebahagian ulama sirah menyatakan demikian. Riwayat hadis ini sebahagiannya palsu, ada yang matruk, ada yang munkar dan ada yang daif."

Saya menganggap yang orang seperti ini tidak tahu. Barangkali dia tidak jumpa ulama hadis yang mensahihkan hadis berkenaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

عن أنس بن مالك رضي الله تعالى عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من كرامتي على ربي أني ولدت مختونا ولم ير أحد سوأتي

رواه الطبراني وأبو نعيم وابن عساكر من طرق.

Daripada Anas Bin Malik radiallahu anhu berkata:Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: Di antara kemuliaan yang dianugerahkan kepadaKu oleh TuhanKu ialah sesungguhnya Daku dilahirkan dalam keadaan sudah dikhatankan dan tidak seorang pun melihat auratKu.

Meriwayat akan hadis oleh at-Tabari, Abu Nu'aim, dan Ibn 'Asakir daripada beberapa jalan.

Imam az-Zahabi (الإمام الذهبي) kata;

ما أعلم صحة ذلك

Tak ku ketahui kesahihan yang demikian itu (riwayat hadis tersebut).

Bila seorang muhaddis kata beliau tak tahu akan sesuatu hadis itu, tak bermakna semua muhaddis tak tahu juga. Barangkali di sana ada muhaddis lain yang tahu. Begitulah halnya dengan masalah hadis yang kita perkatakan lani.

Al-Hafiz ad-Diya' al-Maqdisi (الحافظ الضياء المقدسي) mensahihkan hadis tersebut. Imam 'Alauddin Mughultai bin Qilij (الإمام علاءالدين مُغُلْطَايْ بن قِلِيج) menyatakan sanad hadis tersebut sebagai hasan atawa baik. Jelas bukan tak dak ulama hadis yang mensahihkan hadis tersebut, cuma kita tak jumpa cari atawa lambat jumpa.

Ini adalah salah satu pendapat daripada 3 pendapat berkaitan masalah tersebut. Pendapat ke-2 mengatakan bahawa Baginda Nabi dikhatankan oleh malaikat, iaitu Sayidina Jibril alaihissalam ketika berlakunya peristiwa membelah dada Baginda Nabi ketika kecilNya. Pendapat ke-3 pula mengatakan bahawa datukNya menkhatankanNya pada hari ke-7 selepas kelahiranNya. Imam az-Zahabi menyatakan khabar pada pendapat yang ke-2 itu munkar. Imam al-Iraqi menyatakan pada pendapat yang ke-3 itu sanadnya tak sahih. Walhasil ada 3 pendapat dalam masalah tersebut. Ada dalam kitab-kitab sirah umpama as-Sirah al-Halabiah.

Ada yang menyandarkan tarjih Syekh Atiah Saqr pada pendapat ke-3 untuk menolak pendapat yang lain. Ya, memang Syeikh Atiah Saqr mentarjihkan pendapat ketiga tanpa menolak 2 pendapat yang lain dan tarjih ulama yang lain.Ramai ulama yang menjazamkan pendapat pertama umpama Imam Hisyam Bin Muhammad Bin as-Saib, Imam Ibn Habib, Imam Ibn Duraid, Imam al-Jauzi, dan lainnya.

Ada juga yang mengaitkan dengan sejenis penyakit namanya aposthia (ketiadaan kongenital kulup). Ini adalah kecacatan kelahiran dan semestinya tak berlaku kepada Baginda Nabi. Komennya demikian untuk menolak pendapat yang pertama. Allah...adakah pendapat pertama tertolak begitu saja?

Astaghfirullah...mudah sungguh dia buat kesimpulan. Al-Fakir menolak kesimpulannya dengan satu perkataan sahaja dalam riwayat hadis tersebut; iaitulah kalimah “مختونا”. Apa makna “مختون”?

Maknanya “صبي مختون:الذي قطعت قلفته” yakni dalam bahasa kita;” kanak-kanak (lelaki) itu sudah berkhatan: yang dipotong kulupnya.” Adapun penyakit aposthia itu ialah ketiadaan kulup ketika dilahirkan bukannya dipotong kulupnya. Baginda Nabi menyatakan bahawa Baginda dikhatankan bukan ketiadaan kulup. Jika tiada, nescaya kalimah “مختون” tersebut akan digantikan dengan kalimah “انعدام القلفة”. Kalimah “مختون” itu sendiri menjadi hujah bahawa Baginda tidak cacat bahkan dikhatankan.

Kesimpulannya, al-fakir mengikut pendapat ulama yang mentarjihkan pendapat pertama tanpa menolak 2 pendapat yang lain. Wallahualam.

الصلاة و السلام عليك أيها النبي و رحمة الله و بركاته

الله المستعان و عليه التكلان

penulisan asal : Mohammad Najmuddin




Hakcipta iluminasi.com (2017)