Pada tanggal 16 April 2014, seluruh dunia terutamanya Korea Selatan dikejutkan dengan satu kejadian yang menyayat hati. Kejadian yang dianggap sebagai tragedi maritim terburuk Korea Selatan itu telah meragut lebih daripada 300 nyawa, sebahagian besarnya adalah pelajar sekolah menengah.

Apa yang lebih menyedihkan, kejadian malang ini berpunca daripada kelalaian manusia itu sendiri. Berikut adalah kisah mengenai tragedi kapal kargo MV Sewol yang karam di Korea Selatan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kemalangan MV Sewol

mv sewol karam 781

Kira-kira pukul 8.30 pagi pada 16 April 2014, kapal MV Sewol telah memasuki Terusan Maenggol di perairan selatan Korea Selatan. Kapal itu dalam perjalanan dari Icheon menuju ke Pulau Jeju. Sebelum itu, MV Sewol pernah berlayar melalui perairan yang sama.

10 minit kemudian, satu pusingan yang dibuat secara tiba-tiba telah menyebabkan feri itu menjadi condong. Para kelasi kapal mula keluar dari kabin mereka apabila menyedari bahawa kapal itu sedang menyenget. Pada pukul 8.50 pagi, MV Sewol sudah condong sebanyak 30 darjah dan bekalan lampu sudah terpadam.

tragedi mv sewol karam

Kapten kapal yang berada di kabin persendiriannya semasa kejadian juga bergegas naik ke bilik kawalan bersama pembantu dan kelasi kapal lain. Pada ketika itu, ketua jurutera sudahpun mematikan enjin. Apabila enjin dimatikan, MV Sewol sudah tidak dapat mengubah arah dan mula hanyut ke tepi.

Kapten dan kelasi kapal yang lain memberikan arahan kepada semua penumpang untuk memakai jaket keselamatan dan berada di kabin masing-masing. Pada pukul 9.30 pagi, seramai 150-160 penumpuang dan kelasi kapal telah melompat ke dalam laut untuk menyelamatkan diri. MV Sewol mengambil masa sekitar dua jam setengah untuk tenggelam sepenuhnya.

Jumlah korban MV Sewol

kelas mangsa mv sewol di sekolah menengah danwon

Kelas di Sekolah Menengah Danwon dipenuhi dengan peringatan bagi pelajar yang terkorban

Secara keseluruhannya, seramai 304 orang penumpang dan anak kapal mati dalam bencana MV Sewol ini manakala 172 yang lain berjaya diselamatkan. Daripada 304 mangsa, seramai sembilan masih lagi belum ditemui dan dianggap meninggal dunia.

Daripada 304 mangsa juga, seramai 254 orang mangsa terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan guru dari Sekolah Menengah Danwon di bandar Ansan.

hari graduasi pelajar sekolah menengah danwon yang terkorban

Hari graduasi pelajar Sekolah Menengah Danwon yang terkorban

Namun, terdapat beberapa perkara yang menjadi persoalan ramai. Antara mangsa-mangsa paling awal yang berjaya diselamatkan ialah kapten kapal, ketua jurutera, ketua kelasi dan timbalannya.

Kapten kapal dan para petugas yang lain telah menyelamatkan diri masing-masing dari kapal yang sedang karam setelah mengeluarkan arahan supaya para penumpang berada di tempat masing-masing. Mereka membiarkan mangsa tenggelam bersama-sama MV Sewol.

Punca MV Sewol karam

bagaimana mv sewol karam 36

Siasatan rasmi telah mendedahkan bahawa kesilapan dan kelalaian manusia memainkan peranan penting dalam tragedi kapal MV Sewol. Kesilapan ini bukan sahaja menyebabkan kapal itu tenggelam tetapi juga menyebabkan jumlah korban menjadi begitu tinggi.

Menurut laporan rasmi lagi, kesilapan utama dan terbesar adalah "percubaan untuk membelok kapal secara tidak munasabah" yang menyebabkan kapal itu condong sebelum terbalik.

operasi menyelamat mv sewol

Selain itu, beberapa lagi punca menyebabkan terjadinya kejadian malang ini adalah:

  • Berat berlebihan - Para penyiasat telah mendapati bahawa beban muatan berlebihan adalah punca utama kemalangan itu. Kapal MV Sewol membawa muatan kargo sebanyak 2,142 tan iaitu tiga kali ganda daripada jumlah 1,077 tan yang dibenarkan. Sementara itu, MV Sewol hanya membawa sebanyak 761 tan air balast (untuk keseimbangan) berbanding 1,695 tan yang dicadangkan. Ini menyebabkan kapal itu mudah terbalik.
  • Keselamatan kargo - Pada masa yang sama, keadaan kargo yang diletakkan secara tidak mengikut garis panduan mungkin menyebabkannya bergerak atau beralih tempat. Ini sekali gus menyumbang kepada keadaan kapal yang condong dan terbalik.
  • Kurang pengalaman - Ketika kemalangan berlaku, kapal itu dipandu oleh Juru Kemudi ketiga dan dialah yang bertanggungjawab membelok kapal itu secara tiba-tiba. Malangnya, tiada undang-undang yang mewajibkan kapten kapal berada dalam bilik kawalan ketika Juru Kemudi yang ketiga mengendalikan kapal.
  • Salah komunikasi - Panggilan kecemasan pertama dibuat oleh seorang budak lelaki yang berada di atas kapal menggunakan telefon bimbitnya. Beberapa minit kemudian, barulah anak kapal membuat panggilan kecemasan itupun kepada pihak berkuasa di Pulau Jeju iaitu destinasi mereka. Mereka sepatutnya membuat panggilan kecemasan kepada pihak yang lebih hampir dengan tempat kejadian.
  • Salah arahan - Perhatian khusus diberikan kepada arahan yang telah dikeluarkan oleh kapten kapal dan kelasi. Mereka direkodkan telah memberi arahan berulang kali kepada penumpang supaya berada di tempat masing-masing walaupun air sudah mula memasuki kapal. Kebanyakan penumpang yang terdiri daripada pelajar sekolah mematuhi arahan ini dan terkorban.

Pertuduhan

kapten kapal dan sebahagian kelasi dibicarakan di mahkamah

Kapten kapal dan sebahagian kelasi dibicarakan di mahkamah

Pada mulanya, waran tangkap telah dikeluarkan kepada pengendali keselamatan muatan dan pemeriksa kapal. Selain itu, 15 orang anak kapal yang bertanggungjawab juga telah ditahan dan dituduh sebagai cuai.

Mahkamah Daerah Gwangju telah menjatuhkan hukuman penjara selama 36 tahun kepada kapten kapal. Hakim mengatakan bahawa kapten kapal bukan satu-satunya orang yang bertanggungjawab atas kematian penumpang MV Sewol.

bangkai kapal mv sewol dinaikkan dari dasar laut

Bangkai kapal MV Sewol dinaikkan dari dasar laut

Ketua Jurutera MV Sewol pula dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun. 13 orang anak kapal yang lain dijatuhkan hukuman sehingga 20 tahun penjara atas tuduhan pengabaian dan melanggar undang-undang maritim.

CEO syarikat kargo juga didapati bersalah kerana membawa muatan berlebihan dan dipenjara selama 10 tahun. Enam orang pekerja syarikat itu juga dijatuhkan hukuman penjara.

Setelah membuat rayuan pada tahun 2015, hukuman kapten kapal dikurangkan kepada 25 tahun (penjara seumur hidup) manakala 13 anak kapal yang lain dikurangkan kepada 12 tahun. Hukuman ketua jurutera juga dikurangkan kepada 10 tahun dan CEO syarikat kargo kepada tujuh tahun sahaja.

Pengajaran tragedi MV Sewol

kronologi tragedi mv sewol

Kajian jelas menunjukkan bahawa kemalangan MV Sewol ini berpunca daripada kesilapan manusia. Pengajaran paling tragis mengenai kemalangan ini adalah hakikat bahawa beratus-ratus kanak-kanak mati akibat menerima arahan yang silap.

Tambahan pula, gagal mematuhi peraturan dan kurang prosedur keselamatan juga menyumbang kepada kemalangan ini. Beberapa lagi pengajaran yang telah diambil daripada tragedi MV Sewol seperti :

  • Kapten kapal tidak sepatutnya berehat di bilik ketika pemandu ketiga yang tidak berpengalaman mengemudi kapal sehingga membuat pusingan tiba-tiba yang membawa maut.
  • Kapal itu lewat berlepas selama dua jam dan terpaksa menambah kelajuan bagi mengejar masa.
  • Lebihan muatan kapal itu adalah untuk memaksimumkan keuntungan tanpa mengira keselamatan.
  • Media tempatan melaporkan bahawa pihak berkuasa tidak melakukan operasi mencari dan menyelamat yang tepat ketika kemalangan itu berlaku.
  • Kapten kapal tidak mengarahkan penumpang untuk mengosongkan kapal, sebaliknya menyuruh penumpang berada di tempat masing-masing walaupun dia sendiri melompat ke dalam laut bagi menyelamatkan diri sendiri.
  • Anak-anak kapal tidak diberikan latihan pengurusan bencana yang sepatutnya.

Rujukan:

1. Kejadian Kapal MV Sewol karam

2. Bagaimana tragedi ini meragut 250 orang pelajar sekolah

3. Tragedi maritim terburuk Korea Selatan




Hakcipta iluminasi.com (2017)