Oleh pada 16 Dec 2018 kategori

china bulan tiruan

Selain matahari, bulan adalah salah satu keajaiban dan kehebatan ciptaan Tuhan. Ketika waktu malam, cahaya yang dipancarkan daripada bulan dapat menerangi bumi. Walaupun cahayanya tidaklah begitu terang, sekurang-kurangnya cahaya daripada bulan ini dapat menerani jalan dan laluan pejalan kaki.

Walau bagaimanapun, para saintis dan jurutera di China berpendapat bahawa cahaya daripada bulan ini tidak cukup cerah untuk menerangi bandar Chengdu. Maka, baru-baru ini Wu Chunfeng iaitu Pengerusi Chengdu Aerosapce Science and Technology Microeletronics System Research Institute mengumumkan mereka akan melancarkan bulan tiruan menjelang tahun 2020.

8 kali ganda lebih cerah daripada bulan sebenar

lampu jalanan

Bulan tiruan yang dimaksudkan adalah satelit pencahayaan yang dijangka dapat menggantikan lampu-lampu jalanan di Chengdu. Menurut Wu, bulan tiruan ini dijangka akan menghasilkan cahaya 8 kali ganda lebih terang daripada bulan sebenar dan cukup untuk menerangi keseluruhan bandar Chengdu.

Walaupun projek ini kedengaran seperti sebuah idea tidak masuk akal, penghasilan bulan tiruan ini dijangkakan akan menguntungkan kerajaan dalam jangka masa panjang. Cahaya yang dihasilkan ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber elektrik dan penggunaan tenaga.

Malah, dalam masa 5 tahun selepas dilancarkan kelak, projek ini dijangka dapat menjimatkan kira-kira 20 bilion Yuan (sekitar RM 12.1 bilion) dalam tempoh 5 tahun.

Menurut Wu lagi, bulan tiruan ini dijangka dapat menerangi sesuatu kawasan yang mempunyai kawasan yang mempunyai diameter 10 hingga 80 kilometer. Malah, pelbagai ujian dan percubaan untuk mengetahui kemampuan bulan tiruan ini juga sebenarnya telahpun dilakukan selama beberapa tahun sebelum pengumuman ini dibuat.

Mesra alam dan tidak mengganggu ekosistem semulajadi

bulan

Pengumuman rancangan ini telah mendapat banyak respon daripada masyarakat antarabangsa. Antara kebimbangan yang timbul adalah bulan tiruan ini didakwa mungkin akan menggangu para astronomi untuk melakukan pemantauan dan cerapan.

Kang Weimin, Pengarah daripada Institute of Optics di Harbin Institute of Technology mengatakan bahawa cahaya yang dihasilkan daripada bulan tiruan ini tidaklah begitu terang, sebaliknya hanya akan menghasilkan keadaan malam yang lebih cerah dan dijamin tidak akan mengganggu ekosistem semulajadi.

Eksperimen Znamya

satelit znamya jpe

Idea bulan tiruan seperti ini sebenarnya bukanlah sesuatu idea yang baru. Malah, perkara seumpamanya pernah dilancarkan suatu ketika dahulu oleh pihak Russia. Projek ini diberi nama Eksperimen Znamya.

Pada tahun 1993, pihak Russia pernah mencipta sebuah cermin gergasi yang berfungsi untuk memantulkan cahaya daripada matahari ke Bumi. Cermin ini kemudiannya dipasang pada kapal angkasa.

Buat masa ini projek ini bukanlah dianggap sebagai sesuatu yang berjaya. Walaupun ianya mampu memantulkan cahaya ke arah Russia, iainya tidaklah begitu terang. Sekiranya dilihat daripada bumi, cahaya yang dihasilkan hanyalah seolah-olah satu kerdipan bintang kecil.

Kredit:

  1. Time Magazine
  2. The Guardian
  3. The Independent

tags : , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)