Apabila membicarakan tentang penyakit atau masalah mental, kita sering mengaitkannya dengan "gila". Ini adalah antara salah faham paling biasa kita dengar. Maka tidak hairanlah ramai yang mempunyai masalah mental ini semakin takut dan menjauhi hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sebagai contoh, kita begitu alergik dengan perkataan "psikiatri", iaitu individu yang selayaknya bercakap mengenai perkara ini. Segelintir masyarakat kita merasakan hanya orang gila sahaja yang perlu berjumpa pakar psikiatri, walhal sebenarnya lebih ramai yang memerlukan bantuan psikiatri untuk mengubati masalah ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin kita tidak sedar, penyakit mental adalah perkara yang serius. Amat menyedihkan apabila individu dengan masalah mental sering dihina atau diperli. Malah, ada anggota keluarga atau kenalan rapat sendiri menganggap bahawa seseorang itu sengaja "buat-buat" mempunyai penyakit mental. Inilah stigma masyarakat yang perlu diubah.

Berbalik pada tajuk. Artikel kali ini bukanlah mahu membincangkan bagaimana merawat penyakit mental (kerana kami bukanlah individu yang layak). Namun, kami ingin berkongsi bagaimana salah anggap mengenai penyakit mental ini telah mencapai tahap ekstrim di Somalia sehingga segelintir masyarakatnya memperkenalkan ritual rawatan yang merbahaya sehingga boleh meragut nyawa pesakit itu sendiri!

Kadar pesakit mental tinggi

pesakit mental dirantai

Somalia merupakan salah satu negara yang mempunyai kadar penyakit mental tertinggi di dunia dan dengan sistem penjagaan kesihatan yang hancur akibat perang selama bertahun-tahun lamanya, kebanyakan pesakit tidak mendapat bantuan perubatan. Ramai pesakit yang dirantai ke pokok atau di rumah untuk mengawal perlakuan mereka.

Menurut Indeks Keamananan Dunia pada tahun 2013, Somalia adalah negara kedua paling berbahaya di dunia setelah Afghanistan. Negara yang dilanda perang ini penuh dengan keganasan, korupsi dan ketagihan dadah dan semua faktor ini mempengaruhi rakyat Somalia, baik secara fizikal dan psikologi.

Satu dari tiga orang Somalia menderita beberapa jenis penyakit mental dan statistik ini sangat mengejutkan apabila anda tahu bahawa kadar penyakit mental global adalah satu dari 10.

Disebabkn kemiskinan yang melampau dan kekurangan peranan kerajaan pusat, tidak ramai doktor atau hospital yang dibangunkan untuk membantu orang yang menghidap penyakit mental. Ini merupakan situasi yang menyedihkan apabila terdapat begitu ramai pesakit tetapi tidak ada doktor dan hospital yang mencukupi untuk rawatan.

Dukun dan kepercayaa karut sebagai rawatan

dubuk

Akibat masalah mental ini sudah berlarutan lama dan seolah-olah tiada penawarnya, segelintir orang Somalia telah "mencipta" kaedah mereka sendiri untuk merawat pesakit ini. Malah, kaedah "rawatan" ini boleh dianggap terlalu ekstrim dan tiada asasnya dalam dunia sains dan perubatan. 

Ramai orang Somalia tidak menganggap penyakit mental sebagai satu penyakit. Sebaliknya, mereka percaya bahawa ia adalah satu bentuk gangguan roh jahat. Akibatnya, dukun tempatan hanya fokus pada cara-cara mengusir roh jahat dan ritual yang dijalankan ini melibatkan banyak perkara yang mengakibatkan kesakitan dan penyiksaan.

Antara "rawatan" yang dbuat termasuklah penggunaan haiwan dubuk. Sebilangan warga Somalia percaya dubuk adalah makhluk mistik dapat mengintip dunia roh. Oleh itu, orang yang menderita gangguan mental sering kali dilemparkan ke kandang terkurung bersama dengan haiwan karnivor yang cukup ganas ini.

rawatan pesakit mental somalia

Dubuk tidak peduli dengan manusia yang memasuki wilayah mereka dan mereka akan menyerang mangsa yang tidak bernasib baik, mencakar dan menggigit sehingga mati. Ramai yang percaya dubuk menggunakan kekuatan ajaibnya untuk mengusir roh jahat dan jika pesakit itu mampu bertahan hingga pagi, pesakit itu seharusnya sudah sembuh.

Malangnya, tidak ramai yang mampu bertahan hidup sehingga keesokan paginya, terutama anak-anak kecil. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang tidak mampu mendapatkan "rawatan" mahal ini yang berharga kira-kira $5000. Jumlah ini lebih banyak daripada purata pendapatan keluarga di Somalia sepanjang tahun. Agak pelik rawatan mengarut sebegini begitu mahal walaupun tiada bukti saintifik mengenainya, ini benar-benar satu scam!

Namun, bagi keluarga yang tidak dapat membayar "rawatan" luar biasa seperti ini, mereka akan mengikat ahli keluarga mereka yang mempunyai penyakit mental ini kadang-kadang di rumah dan kadang-kadang ke pokok, meninggalkan mereka di hutan sehingga mati.

Masa depan pesakit mental di Somalia

rawatan pesakit mental 164

Apabila sesuatu budaya setempat itu disulami dengan kepercayaan tahyul, ia biasanya sukar diubah. Namun, itu tidak bermakna tiada tindakan boleh dilakukan untuk menolong orang Somalia. Seorang lelaki digelar "Dr. Hab” berusaha menamatkan amalan kejam ini dan membuka hospital kesihatan mental di seluruh negara tersebut.

Kempen Dr. Hab didorong oleh kejadian pada tahun 2005 ketika beliau menyaksikan sekumpulan pesakit wanita dikejar di jalanan oleh para pemuda. "Tidak ada yang menolong mereka," katanya. "Saya memutuskan selepas itu saya harus membuka hospital mental pertama Somalia."

Dr. Hab atau nama sebenarnya Abdirahman Ali Awale bukanlah seorang doktor sebaliknya jururawat psikiatrik. Beliau mendapat latihan khas selama tiga bulan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan telah menjadi penyedia kesihatan mental yang paling dihormati di negara ini.

Tiga kali sehari, orang Somalia dapat mendengar iklannya diputar di radio meminta mereka untuk membawa rakan dan ahli keluarga yang mempunyai penyakit mental ke hospitalnya daripada mencampakkan mereka ke dalam kandang dengan binatang yang boleh membunuh.

Setakat ini, Dr. Hab telah membuka enam pusat rawatan di Somalia dan beliau turut membantu orang yang menderita penyakit seperti kemurungan dan skizofrenia. Walaupun beliau selalu berjuang untuk mendapatkan bekalan perubatan dan harus berhadapan fahaman tahyul setempat yang berbahaya, Dr. Hab berjaya menyelamatkan lebih dari 15,000 nyawa.

Kredit:

  1. BBC News
  2. UNHCR
  3. Reuters



Hakcipta iluminasi.com (2017)