Oleh pada 25 Nov 2020 kategori

dibekukan sebelum dihidupkan semula

Mungkin anda pernah melihat babak dalam filem di mana seseorang dibekukan atau diletakkan dalam keadaan "cryosleep", kemudiannya dicairkan semula beberapa lama kemudian tanpa berlakunya penuaan atau kesan-kesan lain.

Kadang-kala ini berlaku dengan sengaja seperti seseorang yang mempunyai penyakit tanpa penawar atau secara tidak sengaja seperti membeku dalam glasier.

Adakah “cryogenics” benar-benar wujud?

proses kriogenik

Sains di sebalik perkara ini sememangnya wujud dan aplikasi kepada praktis ini dikenali sebagai "cryonic" atau krionik.

Ia merupakan satu teknik yang digunakan untuk menyimpan tubuh seseorang pada suhu yang sangat rendah dengan harapan dapat menghidupkannya semula suatu hari nanti.

Teknik ini sedang dilakukan hari ini, tetapi teknologi di sebaliknya masih di peringkat awal.

Seseorang yang dipelihara dengan cara ini dikatakan dalam keadaan penangguhan krionik.

Harapan terhadap amalan ini adalah jika seseorang telah meninggal kerana penyakit yang tidak dapat disembuhkan pada ketika ini, mereka dapat "dibekukan" dan kemudian dihidupkan kembali di masa depan ketika ubatnya telah ditemui.

Hidup semula setelah mati?

bekukan manusia dan hidupkan semula

Ketika ini, adalah menjadi kesalahan undang-undang untuk melakukan penangguhan cronik terhadap seseorang yang masih hidup.

Mereka yang mahu dibekukan secara kriogenik mestilah diisytiharkan telah mati secara sah, bermakna jantung mereka telah berhenti berdegup.

Namun, jika seseorang itu telah disahkan mati, bagaimana mereka boleh dihidupkan kembali?

Menurut syarikat-syarikat yang melaksanakan prosedur ini, "disahkan mati" adalah tidak sama dengan "mati sepenuhnya". 

Mereka mendakwa bahawa mati sepenuhnya adalah pada tahap di mana semua fungsi otak berhenti.

Syarikat-syarikat ini juga mendakwa bahawa perbezaannya didasarkan pada fakta bahawa beberapa fungsi otak selular kekal walaupun jantung telah berhenti berdegup. 

Krionik mengekalkan sebahagian fungsi sel tersebut (secara teorinya) supaya orang itu dapat dihidupkan kembali di kemudian hari.

Bagaimana krionik dilakukan?

bekukan mayat

Selepas jantung anda berhenti berdegup dan disahkan mati, syarikat yang anda tandatangani perjanjian akan mengambil alih.

Pasukan tindak balas kecemasan dari syarikat tersebut akan memulakan proses secara serta-merta.

Mereka akan menstabilkan badan anda dengan membekalkan otak anda dengan oksigen dan darah yang mencukupi bagi mengekalkan fungsi minimum sehingga anda dapat dibawa ke fasiliti penangguhan krionik.

Tubuh anda dibungkus dalam ais dan disuntik dengan antikoagulan untuk mengelakkan darah anda membeku semasa perjalanan.

Pasukan perubatan bersedia menunggu ketibaan badan anda di fasiliti krionik.

Setelah anda sampai di fasiliti tersebut, pembekuan sebenar akan dimulakan.

Proses penyejukan krionik

proses kriogenik 2

Cara mudah dan pantas untuk menyejukkan badan anda adalah dengan memasukkan ke dalam cecair nitrogen yang banyak.

Dan sudah tentu ini boleh dilakukan dan walaupun anda akan membeku, namun sel-sel dalam badan anda akan hancur dan mati.

Ketika air membeku, ia mengembang. Oleh kerana sebahagian besar sel-sel terdiri daripada air, pembekuan memperluaskan "benda" di dalamnya yang merosakkan dinding sel mereka dan mati.

Syarikat-syarikat krionik perlu mengeluarkan dan / atau menggantikan air ini dengan sesuatu yang dikenali sebagai cryoprotectant, seperti antibeku dalam kenderaan.

Campuran berasaskan gliserol ini melindungi tisu organ anda dengan menghalang pembentukan kristal ais. Proses ini disebut "vitrifikasi" dan memungkinkan sel hidup dalam tempoh anda dibekukan.

Selepas proses vitrifikasi, badan anda disejukkan dengan ais kering hingga mencapai -130°C.

Selepas pra-penyejukan ini, tibalah masanya untuk memasukkan badan anda ke dalam bekas individu yang akan dimasukkan ke dalam tangki logam yang diisi dengan nitrogen cecair.

Proses ini akan menyejukkan badan anda hingga suhu sekitar -195.556°C.

Prosedur ini sangatlah mahal di mana harganya boleh mencecah sehingga RM 800,000 untuk memelihara seluruh badan anda.

Jika anda optimis atau wang tidak mencukupi, anda boleh membelanjakan hanya RM 240,000 sahaja bagi memelihara otak anda dengan pilihan yang dikenali sebagai "neurosuspension".

Syarikat-syarikat ini berharap teknologi di masa depan akan membolehkan mereka mengklon atau menjana semula bahagian badan yang lain.

Adakah ia benar-benar boleh dilakukan?

dr james bedford kriogenik 938

Banyak pengkritik mengatakan bahawa syarikat-syarikat yang melakukan cyronic hanya mengaut keuntungan daripada pelanggan yang mempunyai impian hidup abadi, dan tidak akan berjaya melakukannya.

Malah, saintis-saintis yang melakukan prosedur ini berkata bahawa sehingga kini mereka tidak berjaya menghidupkan semula sesiapa dan menjangkakan tidak dapat berbuat demikian dalam masa terdekat.

Cabaran terakhir adalah jika proses pemanasan tidak dilakukan pada kelajuan dan suhu yang tepat, sel-sel dapat membentuk kristal ais dan pecah.

Walaupun belum ada lagi manusia yang menjalani penangguhan krionik dapat dihidupkan semula, sesetengah organisma hidup boleh dan telah berjaya dihidupkan semula dari kematian atau keadaan hampir mati.

CPR dan defibrilator dapat membawa mangsa kemalangan dan serangan jantung kembali dari kematian setiap hari.

Pakar bedah saraf sering menggunakan proses di mana badan pesakit disejukkan sehingga mereka dapat membedah aneurisma tanpa merosakkan atau memecahkan saluran darah yang berdekatan.

Embrio manusia yang dibekukan di klinik kesuburan, dinyahbeku dan ditanam dalam uterus ibu membesar sempurna menjadi manusia normal.

Sesetengah katak atau amfibia lain mempunyai protein yang dihasilkan daripada sel-sel yang bertindak sebagai antibeku semulajadi yang boleh melindungi haiwan ini jika membeku sepenuhnya.

Ahli kriobiologi berharap teknologi nano boleh membuatkan proses menghidupkan semula manusia menjadi kenyataan.

Nanoteknologi boleh menggunakan mesin mikroskopik untuk memanipulasi atom tunggal bagi membina atau memperbaiki hampir semua perkara, termasuklah sel dan tisu manusia.

Mereka berharap suatu hari nanti, nanoteknologi akan memperbaiki bukan sahaja kerosakan selular yang disebabkan oleh proses pembekuan, tetapi juga kerosakan yang disebabkan oleh penuaan dan penyakit.

Sesetengah ahli kriobiologi telah meramalkan bahawa manusia akan berjaya dihidupkan semula secara krionik yang pertama mungkin berlaku seawal tahun 2045.

Apa pendapat anda?

Rujukan:

1. Cryonics Institute

2. Apa Itu Kriogenik?

3. Express



Hakcipta iluminasi.com (2017)