Oleh pada 01 Dec 2019 kategori

Pemakaian inai pada tangan dan jari sangat sinonim dengan masyarakat kita. Sebagai sebuah negara yang majmuk, tradisi ini dilakukan oleh pelbagai lapisan masyarakat dan juga bangsa serta agama.

Namun, ia hanyalah dikaitkan dengan kaum wanita sahaja di mana pemakaian inai biasa dilihat ketika menjelang hari pernikahan dan majlis perkahwinan.

Di sebalik ini, terdapat juga kaum Adam yang turut serta meraikan amalan ini dengan memakai inai pada tangan mereka ketika hari persandingan. Ia sangat meluas sehinggakan sudah menjadi kelaziman ketika hari persandingan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya, adakah pemakaian inai oleh kaum lelaki dibenarkan dari segi syarak?

Manurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah R.Anha, inai bukanlah alat perhiasan bagi lelaki tetapi wanita:

أَوْمَتِ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَبَضَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَدَهُ فَقَالَ: ‏ مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ‏.‏ قَالَتْ بَلِ امْرَأَةٌ ‏.‏ قَالَ: لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ.‏ يَعْنِي بِالْحِنَّاءِ.

Maksudnya: Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir untuk memberitahu bahawa terdapat surat di tangannya untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW pun menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?”. Perempuan tersebut kemudiannya menjawab “Perempuan”. Lalu Baginda berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”. (Riwayat Abu Daud (4166), al-Nasa’ie di dalam al-Kubra (9311) & Ahmad di dalam Musnadnya (26258). Al-Albaani menilainya Hasan.)

Disebutkan di dalam ‘Aun al-Ma’bud, bahawa hadis di atas menggambarkan bahawa wanita sangat digalakkan untuk memakai inai. Al-Sanadi memberitahu bahawa yang dimaksudkan dengan (لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً) itu adalah bermaksud:

“Sekiranya kamu meraikan syiar untuk wanita, nescaya kamu akan memakai inai pada tanganmu”.

hukum lelaki pakai inai

Dengan mengetahui bahawa pemakaian ini adalah satu cara hiasan untuk wanita, terdapat hadis lain yang menyatakan larangan menyerupai wanita. 

Sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ‏

Maksudnya: Rasulullah SAW telah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki. (Riwayat Al-Bukhari (5885) )

Menurut Al-Imam Ibn Battal Rahimahullah, al-Tabari Rahimahullah ada menyebutkan bahawa hadis di atas mempunyai fiqhnya iaitu bahawa lelaki tidak boleh menyerupai wanita dari segi pakaian atau perhiasan yang dikhaskan untuk wanita.

Hal ini diperkuatkan lagi melalui sebuah hadis lain yang melihatkan seorang lelaki mukhannas (menyerupai wanita) dibuang daerah oleh Rasulullah SAW kerana memakai inai pada kaki dan tangannya.

Daripada Abu Hurairah RA: 

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أُتِيَ بِمُخَنَّثٍ قَدْ خَضَبَ يَدَيْهِ وَرِجْلَيْهِ بِالْحِنَّاءِ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: مَا بَالُ هَذَا‏.‏ فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ يَتَشَبَّهُ بِالنِّسَاءِ.‏ فَأُمِرَ بِهِ فَنُفِيَ إِلَى النَّقِيعِ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلاَ نَقْتُلُهُ فَقَالَ:‏ إِنِّي نُهِيتُ عَنْ قَتْلِ الْمُصَلِّينَ.

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW telah didatangkan kepada Baginda seorang mukhannas yang mana telah menginai kedua tangan dan kakinya. Maka berkata Nabi SAW: “Apa halnya dengan lelaki ini?”. Maka dikatakan: “Ya Rasulullah, lelaki ini menyerupai wanita”. Lalu Rasulullah SAW mengarahkan agar lelaki tersebut di buang daerah ke al-Naqii’. Maka mereka berkata: “Ya Rasulullah, mengapa kita tidak membunuhnya?”. Maka jawab Baginda: “Sesungguhnya aku dilarang untuk membunuh orang yang solat”. (Riwayat Abu Daud (4928). Al-Arnout mengatakan sanadnya dhoif (lemah). 

Dalam al-Majmu', Imam al-Nawawi Rahimahullah menyatakan bahawa:

أَمَّا خِضَابُ الْيَدَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ بِالْحِنَّاءِ فَمُسْتَحَبٌّ لِلْمُتَزَوِّجَةِ مِنْ النِّسَاءِ: لِلْأَحَادِيثِ الْمَشْهُورَةِ فِيهِ وَهُوَ حَرَامٌ عَلَى الرِّجَالِ إلَّا لِحَاجَةِ التَّدَاوِي

Maksudnya: Adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dikalangan perempuan berdasarkan hadis-hadis masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat. [Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr, 1/294] 

Hal ini juga dinyatakan dalam hasyiahnya oleh imam al-Syarwani Rahimahullah untuk kitab Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah, bahawa wanita yang sudah berkahwin digalakkan untuk berinai dan haram bagi lelaki.

Kesimpulan

hukum pakai inai ketika berkahwin

Setelah diteliti hadis-hadis dan juga tafsir oleh mereka yang arif, pemakaian inai di kedua-dua tangan atau kaki bagi lelaki adalah tidak dibenarkan sebaliknya ia digalakkan bagi wanita yang sudah berkahwin bagi tujuan berhias.

Hal ini disebabkan oleh berinai tergolong dalam salah satu cara perhiasan wanita.

Maka, adalah haram bagi lelaki untuk memakai inai sama ada untuk tujuan berhias mahupun berkahwin, untuk menampakkan lebih cantik dan sebagainya.

Namun, pemakaian inai oleh kaum lelaki dibolehkan untuk tujuan perubatan yang mana boleh membantu menyembuhkan sesetengah penyakit.

Perlu diingatkan bahawa pemakaian inai oleh lelaki pada tangan atau kaki, dengan memakai pada rambut adalah hal yang berbeza. Pemakaian inai pada rambut oleh lelaki adalah dibenarkan kerana terdapat hadis yang membenarkannya.

Wallahualam.

Rujukan:

1. Mufti Wilayah Persekutuan

2. Ummah Helpline

3. Sabsabby




Hakcipta iluminasi.com (2017)